Adakah Telinga Perlu Dikorek Untuk Mengeluarkan Tahi Telinga?

Salah
Adakah Telinga Perlu Dikorek Untuk Mengeluarkan Tahi Telinga?

Mengorek telinga adalah tabiat yang biasa dilakukan oleh ramai orang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/07/2022 - Disunting : 14/07/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Telinga Perlu Dikorek Untuk Mengeluarkan Tahi Telinga?

Telinga merupakan organ yang penting untuk pendengaran dan keseimbangan badan. Ia mempunyai tiga bahagian iaitu telinga luar (pina dan salur telinga), telinga tengah di belakang gegendang telinga (tulang telinga) dan telinga dalam (koklea dan salur separuh bulat). Tahi telinga akan dihasilkan oleh sel-sel di dalam saluran telinga. Persoalannya, perlukah kita mengorek telinga dan mengeluarkan tahi telinga tersebut?

Kredit gambar: Greg Rosenke/ Unsplash

Tahi telinga sebenarnya adalah penting untuk kesihatan telinga. Kandungannya yang asidik akan membentuk lapisan acidic coat yang mencegah jangkitan kuman serta melembapkan kulit di sekitar saluran telinga. Tahi telinga juga mengandungi lipid-rich cerumen yang bertujuan untuk mengelak pengumpulan air di dalam telinga dan kemasukan bendasing seperti debu dan kotoran. Malah, ia penting untuk menghalang kemasukan serangga-serangga kecil.

 

Mencuci tahi telinga

Kaedah mengorek telinga yang kebiasaannya dilakukan menggunakan putik kapas hanya akan menolak tahi telinga jauh ke dalam saluran telinga. Saluran yang semakin sempit di bahagian tengah akan menyebabkan tahi telinga membentuk plak dan boleh mencederakan gegendang telinga. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan jangkitan kuman dikenali sebagai otitis externa.

Dr Mohd Shaiful Nizam, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), menjelaskan bahawa telinga tidak perlu dikorek untuk membuang tahi telinga. Telinga akan mengeluarkan tahi telinga dengan sendirinya melalui pergerakan mulut serta rahang, dan pertumbuhan kulit dalam telinga. Dia turut berkongsikan kes gegendang telinga koyak akibat tabiat mengorek telinga.

Telinga tidak perlu dikorek

Penggunaan putik kapas atau sebarang alatan lain untuk mengeluarkan tahi telinga dan membersihkan telinga jelas boleh memudaratkan telinga dan menyebabkan masalah yang lebih besar. Walau bagaimanapun, kita boleh menggunakan kain untuk membuang tahi telinga yang telah terkeluar di lubang telinga.

Jika telinga terasa seperti tersumbat dan kurang pendengaran, kita perlu segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pakar Perunding ENT Avisena Specialist Hospital, Dr Iqbal Farim Rizal Wong, berkata bahawa jika keadaan ini disebabkan oleh tahi telinga yang keras, ia boleh dilembutkan menggunakan ubat titis telinga dahulu. Doktor juga mungkin akan melakukan kaedah ear syringing iaitu membersihkan tahi telinga yang keras menggunakan air.


Rujukan:

1. http://www.myhealth.gov.my/your-ear/
2. https://www.remaja.my/3-sebab-kenapa-korang-tak-perlu-korek-doktor-ini-jelas-fungsi-sebenar-tahi-telinga/
3. https://twitter.com/Dr_Shaiful/status/1546769048074985473
4. https://www.sinarharian.com.my/article/27281/LIFESTYLE/Sinar-Aktif/jangan-korek-telinga
5. https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/03/431918/jangan-korek-telinga

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago