Kita sering diajar untuk bercakap dengan lancar tanpa tergagap-gagap atau terhenti seketika. Filler words atau kata ‘pengisi’ seperti ‘umm’, ‘aaa’ dan ‘apa nama’ juga dikatakan tidak harus digunakan. Ahli linguistik Leonard Bloomfield membahagikan ‘perkataan teragak-teragak’ yang disebut oleh seseorang apabila sedang memikirkan sesuatu kepada kegagapan (uh, um), berdehem (ahem!), dan melengahkan (aaa, apa, iaitu). Persoalannya, adakah percakapan yang mempunyai perkataan-perkataan berkaitan tidak bagus?
Penggunaan filler words atau kata ‘pengisi’
Menurut Steven D. Cohen, seorang pensyarah komunikasi di University of Baltimore, kata ‘pengisi’ wujud di dalam setiap bahasa dan setiap budaya. Di Malaysia, sudah tentu kita biasa mendengar seseorang menggunakan ‘aaa’, ‘apa itu’ atau ‘macam’ apabila bercakap. Di dalam Bahasa Inggeris pula, bunyian atau perkataan seperti ‘uhh’, ‘urm’, ‘like’ dan ‘you know’ sering digunakan. Ia turut terkandung dalam budaya lain seperti ‘o sea’ dalam bahasa Sepanyol dan ‘etto’ dalam bahasa Jepun.
Scott Fraundorf, seorang profesor psikologi di University of Pittsburgh berkata dua kata ‘pengisi’ bagi setiap seratus perkataan membantu pendengar memahami apa yang diperkatakan dengan lebih elok. Tambahan pula, sebuah kajian ke atas penggunaan perkataan sebegini mendapati tidak menggunakan langsung atau menggunakan secara berlebihan menampakkan seperti seseorang itu tidak membuat persediaan atau tidak berpengalaman. Perucapan yang paling bagus adalah dengan menggunakan kata ‘pengisi’ secara sederhana.
Kajian oleh James Pennebaker, seorang profesor di University of Texas membuktikan bahawa kadar penggunaan kata ‘pengisi’ adalah sama banyak di antara lelaki dan wanita. Dia juga mendapati lelaki lebih gemar menggunakan ‘uh’, manakala wanita sering menyebut ‘um’. Penggunaan kata ‘pengisi’ lebih tinggi dalam kalangan orang muda kerana mereka lebih kurang keyakinan sosial, tetapi penggunaan akan semakin berkurang atau hilang apabila mereka semakin berumur.
Kepentingan filler words atau kata ‘pengisi’
Beberapa kajian turut menemui kepentingan kata ‘pengisi’ bukan sahaja kepada pengucap, tetapi kepada pendengar juga. Kajian oleh Pennebaker mendapati kata ‘pengisi’ dilihat sebagai penanda sosial dan personaliti serta mempunyai hubung kait dengan keberhemahan pengucap. Di dalam sebuah kajian lain, kata ‘pengisi’ membantu pendengar mengingati semula apa yang diucapkan. Ia juga dapat menarik perhatian pendengar kepada aliran ucapan dan kadang-kala membantu pendengar meramal apa yang bakal diucapkan. Malah, kata ‘pengisi’ dapat memperkukuhkan pemahaman pendengar terhadap perucapan tersebut.
Penggunaan filler words dalam kadar yang sederhana adalah bagus
Walaupun sebelum ini penggunaannya dilihat sebagai sesuatu yang menjadikan percakapan seseorang tidak bagus, kajian-kajian terkini mendapati penggunaan yang sederhana akan menghasilkan perucapan yang terbaik. Malah, ia turut digunakan oleh tokoh-tokoh ternama seperti Dr Mahathir Mohamad dan Barack Obama. Tidak menjadi masalah untuk menggunakan kata ‘pengisi’ asalkan seseorang itu dapat menyambung semula perucapannya selepas itu.