Ramai yang merasakan harga rumah di Malaysia berada pada tahap yang tinggi sehingga menyebabkan rumah menjadi aset yang sukar dimiliki. Pada masa yang sama, purata gaji pula tidak mencukupi bagi individu, apatah lagi untuk membeli rumah sendiri. Pada tahun 2019, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia melaporkan sebanyak 30,664 rumah dengan nilai RM18.82 bilion yang tidak terjual. Persoalannya, benarkah rumah-rumah tidak dapat dijual kerana kenaikan harga rumah yang mendadak di samping gaji yang rendah?
Peningkatan harga rumah dan pendapatan
Dr Suraya Ismail, Pengarah Institut Kajian Khazanah, berkata harga rumah telah meningkat melebihi 8% setahun sejak tahun 2009. Antara punca kenaikan harga rumah yang mendadak ini adalah pembelian rumah yang banyak pada zaman itu. Ia berlaku kerana pihak bank memudahkan pinjaman perumahan dengan mengurangkan kadar bayaran bulanan dan meningkatkan tempoh pinjaman. Berdasarkan data oleh Pusat Informasi Hartanah Negara (NAPIC), harga rumah telah meningkat hampir 2 kali ganda pada tahun 2020 berbanding 2010.
Berkenaan kadar pendapatan pula, data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa purata gaji hanya mengalami kadar pertumbuhan antara 4% hingga 9% dari tahun 2012 hingga 2019. Kadar ini kemudiannya mengalami penurunan sebanyak 9% pada tahun 2020.
Harga rumah yang dianggap mampu milik adalah rumah yang berharga maksimum 3 kali ganda pendapatan tahunan. Mengambil purata pendapatan yang dilaporkan bagi tahun 2020, perkara ini bermaksud individu dengan purata pendapatan RM2,933 hanya mampu membeli rumah berharga kurang RM106,000. Namun begitu, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2015 menunjukkan bahawa harga purata rumah di Malaysia adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan. Kajian juga mendapati bahawa median harga rumah ketika itu ialah RM242,000, manakala median gaji tahunan ialah RM55,020.
Terkini, Profesor Dr Noor Rosly Hanif dari Fakulti Perniagaan International University of Malaya-Wales Kuala Lumpur berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan purata pendapatan menurun sehingga 50 peratus. Situasi ini menyebabkan jurang antara pendapatan dan kadar mampu milik rumah terus meningkat.
Rumah tidak terjual
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong berkata antara sebab rumah tidak terjual adalah kerana kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank. Pinjaman yang diluluskan pula mempunyai margin pembiayaan tidak ideal sehingga menyebabkan peminjam tidak mampu membeli rumah kerana pembayaran awal yang perlu dilakukan adalah tinggi.
Dr. Suraya turut menjelaskan berkenaan harga rumah yang tidak menurun walaupun terdapat lambakan rumah baru. Pertama, tuan rumah sedia ada tidak mahu harga rumah jatuh kerana akan menyebabkan penurunan aset dan kerugian. Kedua, kehendak pemaju untuk menjual rumah kepada warga asing menyebabkan harga rumah kekal dan tidak menurun. Malah, pda Oktober 2019, kerajaan sendiri menggalakkan pembelian rumah oleh warga asing apabila mencadangkan penurunan had harga minimum rumah dari RM1 juta kepada RM600,000 untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah tidak terjual.
Harga rumah di Malaysia meningkat mendadak tetapi purata pendapatan kekal pada tahap rendah
Berdasarkan data-data yang dikumpul dan kajian yang dijalankan, jelas bahawa kenaikan purata pendapatan tidak setara dengan peningkatan harga rumah yang mendadak. Malah, laporan kaji selidik oleh Juwai IQI, sebuah firma teknologi hartanah, mengunjurkan bahawa harga rumah akan menghadapi peningkatan sebanyak 3% hingga 12% pada tahun hadapan.