Benarkah Bajet 2023 Memberi Manfaat Kepada Orang Kaya?

Benar
Benarkah Bajet 2023 Memberi Manfaat Kepada Orang Kaya?

Intipati Bajet 2023 telah dibentangkan ketika sidang Parlimen 7 Oktober 2022

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/10/2022 - Disunting : 12/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Bajet 2023 Memberi Manfaat Kepada Orang Kaya?

Setelah Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober 2022, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen telah mengeluarkan sebuah video TikTok yang menerangkan perbelanjaan di dalam Bajet 2023 mengutamakan orang kaya. Menurutnya, subsidi di bawah perbelanjaan mengurus (operational expenditure) akan menurun pada tahun 2023, manakala perbelanjaan pembangunan (developmental expenditure) dianggar meningkat hampir dua kali ganda. Perbelanjaan mengurus adalah penting bagi golongan B40 (pendapatan kurang RM4,850) dan M40 (pendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970) berbanding perbelanjaan pembangunan yang mengutamakan golongan kaya atau T20. 

Wong Chen berkata jumlah subsidi yang diberikan pada tahun 2022 dianggarkan sebanyak RM59 bilion. Namun begitu, jumlah tersebut akan berkurangan sehingga RM47 bilion bagi tahun 2023 dengan pengurangan sebanyak RM12 bilion. Di samping itu, perbelanjaan pembangunan kebiasannya berjumlah anggaran RM50 bilion setahun, tetapi nilai tersebut di dalam Bajet 2023 hampir dua kali ganda lebih tinggi iaitu RM97 bilion. 

 

Bajet 2023 dan perbandingannya dengan Perbelanjaan 2022

Menteri Kewangan Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa Bajet 2023 memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion, yang meningkat daripada RM332 bilion bagi tahun 2022. Bajet 2023 dipecahkan mengikut komponen Belanja Mengurus (RM272.3 bilion), Belanja Pembangunan (RM95 bilion) dan Kumpulan Wang COVID-19 (RM5 bilion). Tengku Zafrul berkata Bajet 2023 tertumpu kepada usaha demi melindungi kebajikan rakyat yang bukan sahaja merangkumi golongan B40, tetapi juga golongan M40, wanita dan kanak-kanak, dan belia. 

Cadangan bajet bagi perbelanjaan mengurus tahun 2023 meningkat sebanyak RM38.8 bilion (16.6%) dari RM233.5 bilion pada tahun 2022 kepada 272.3 bilion. Salah satu komponen penting di bawah perbelanjaan mengurus adalah perbelanjaan subsidi. Setakat 25 Jun 2022, perbelanjaan subsidi bagi tahun 2022 dianggarkan sebanyak Rm77.3 bilion, iaitu tertinggi dalam sejarah dan lebih tinggi berbanding nilai yang dipetik Wong Chen. 

Anggaran tersebut termasuk subsidi bagi petrol, diesel dan gas petroleum (LPG), minyak masak dan kepenggunaan lain seperti telur, tepung dan bil elektrik serta bantuan kewangan. Walau bagaimanapun, anggaran subsidi di bawah Bajet 2023 berkurang sekitar RM22 bilion kepada RM55 bilion. Nilai ini menunjukkan pengurangan subsidi bagi tahun 2023 melebihi 25% berbanding tahun 2022.

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

 

Pada tahun 2022, sebanyak RM8.2 bilion diperuntukkan bagi 9.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Di bawah Bajet 2023, BKM hanya akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM0.4 bilion. Apabila ditambah dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM2.5 bilion, jumlah bantuan yang diperuntukan bagi tahun 2023 adalah RM10.7 bilion, kurang RM1 bilion berbanding tahun 2022. 

Dari segi perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan sebanyak RM95 bilion di dalam Bajet 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak RM21.4 bilion daripada RM77.6 bilion bagi perbelanjaan pada tahun 2022. Ini tidaklah menunjukkan peningkatan 50% seperti didakwa Wong Chen, tetapi peningkatan pada kadar lebih 25% adalah masih tinggi dan lebih tinggi berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus.

 

Kadar cukai di dalam Bajet 2023

Selain itu, Bajet 2023 turut melihat perubahan dalam kadar cukai dengan keutamaan diberikan kepada golongan M40. Bagi pendapatan tahunan antara RM50 ribu (RM4,166 sebulan) hingga RM70 ribu (RM5,833 sebulan) kadar cukai baru adalah 11% berbanding 13% sebelum ini. Kadar cukai bagi pendapatan tahunan antara RM70 ribu hingga RM100 ribu (RM8,333 sebulan) pula diturunkan daripada 21% kepada 19%. Pada masa yang sama, banjaran pendapatan RM250 ribu hingga RM400 ribu akan digabungkan dengan banjaran pendapatan RM400 ribu dan RM600 ribu dan dikenakan kadar cukai 25%, naik 0.5% berbanding sebelum ini

 

Bajet 2023 mengurangkan subsidi dan bantuan kewangan serta memberi manfaat kepada golongan T20

Walaupun perbelanjaan mengurus bagi Bajet 2023 meningkat sekitar 16% berbanding tahun 2022, subsidi dianggarkan akan menurun RM22 bilion (25%) dengan pengurangan RM1 bilion bagi bantuan kewangan. Pada masa yang sama, perbelanjaan pembangunan bagi Bajet 2023 pula meningkat lebih 25% berbanding tahun 2022. Hal ini dilihat sebagai perkara yang akan memberi keutamaan kepada golongan kaya atau T20 kerana perbelanjaan pembangunan sering kali dipelopori oleh mereka. 

Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dilihat dengan lebih mendalam untuk mengatakan Bajet 2023 mengutamakan orang kaya. Di samping perbelanjaan pembangunan yang meningkat, golongan T20 juga menikmati kelebihan dari pemberian Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 yang tidak lagi mengambil kira pendapatan ibu bapa. Mereka juga telah sedia dan akan terus menikmati subsidi petrol secara menyeluruh pada kadar yang lebih tinggi berbanding golongan B40 dan M40. Dari segi cukai pendapatan, golongan T20 dengan banjaran pendapatan RM250 ribu hingga RM400 ribu hanya mengalami peningkatan sebanyak 0.5% dan tiada peningkatan kadar cukai bagi banjaran pendapatan lebih tinggi. 


Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago