Ada individu yang percaya bahawa sesebuah kerajaan akan lebih stabil jika ditadbir oleh pemerintah yang sama saban tahun. Penukaran tampuk pemerintahan kerajaan akan menyebabkan sesebuah kerajaan itu menjadi goyah dan menjadikan negara terdedah dengan ketidakstabilan politik. Mari kita lihat adakah Malaysia akan menjadi sebuah negara tidak stabil sekiranya terdapat pertukaran kerajaan.
Indeks Negara Rapuh
Sebuah ciapan oleh seorang pengguna Twitter menyatakan bahawa lima negara paling stabil dan makmur, iaitu Finland, Norway, Iceland, New Zealand dan Denmark, menukar parti pemerintahan hampir setiap kali pilihan raya. Negara stabil diukur menggunakan Fragile States Index (FSI) atau Indeks Negara Rapuh tahun 2022.
Kepada anda yang tak tahu, top 5 negara2 yang politiknya paling “stabil dan makmur” ialah negara2 yang bertukar2 parti pemerintahnya pada hampir setiap pilihanraya. pic.twitter.com/YOoYZVSeFT
— Raja Dugem IV ♕ (@HM_DaKieng) October 20, 2022
Di dalam rentetannya, dinyatakan bahawa Finland telah bertukar kerajaan sebanyak 4 kali sejak 1995, Norway 5 kali sejak 1997, Iceland 6 kali sejak 1991 dan New Zealand 3 kali sejak 1990. Sebaliknya, Malaysia pula hanya menukar tampuk pemerintahan kerajaan buat pertama kali pada 2018 sejak merdeka pada 1957. Pergolakan politik Malaysia sejak dua tahun lepas telah menyebabkan perubahan kerajaan sebanyak 2 kali lagi dalam tempoh itu.
FSI dikeluarkan oleh badan bukan untung Fund For Peace (FFP) setiap tahun dan merangkumi 178 negara. Indeks tersebut diukur menggunakan 12 tanda aras/ penunjuk risiko dan kerentanan yang dihadapi oleh setiap negara. FSI diukur menggunakan skala 1 hingga 120, dengan 1 paling stabil dan 120 paling rapuh. FSI membahagikan indeks kepada beberapa kategori iaitu very sustainable (sangat mampan), sustainable (mampan), very stable (sangat stabil), more stable (lebih stabil), stable (stabil), warning (amaran), elevated warning (amaran meningkat), high warning (amaran tinggi), alert (bahaya), high alert (bahaya tinggi) dan very high alert (sangat bahaya). Selain daripada lima negara di atas, Switzerland juga termasuk di dalam kategori negara sangat mampan.
Indeks Negara Rapuh Malaysia
Bagi tahun 2022, Malaysia dengan indeks 56.4 berada dalam kategori negara stabil dan menurun 0.5 mata berbanding tahun 2021. Malah, FSI Malaysia telah menunjukkan penurunan yang sekata setiap tahun sejak tahun 2017. Pada tahun 2018, iaitu ketika tampuk pemerintahan negara bertukar kali pertama daripada kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan, negara menunjukkan penurunan indeks sebanyak 9 mata, penurunan tertinggi dalam tempoh 5 tahun.
Keadaan ini menunjukkan walaupun kerajaan berubah pada tahun 2018, Malaysia menjadi semakin stabil dan bukan sebaliknya berdasarkan FSI. Ia adalah bertepatan dengan negara-negara yang berada dalam kategori sangat mampan walaupun berulang kali menukar parti pemerintah. Malah, jika dibandingkan dengan negara-negara dalam kategori sangat mampan, Malaysia menunjukkan penurunan indeks yang lebih tinggi dalam masa 5 tahun sebanyak lebih kurang 20 mata. Negara-negara sangat mampan pula menunjukkan penurunan dalam 10 hingga 15 mata, dengan Switzerland menunjukkan sedikit peningkatan pada tahun 2019 dan 2020.
Di samping itu, FSI Malaysia bagi tahun 2022 jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara lain, Malaysia adalah negara ketiga dengan indeks terendah selepas Singapura (negara mampan) dan Brunei. Perkara ini bermakna Malaysia negara ketiga stabil di rantau Asia Tenggara.
Kestabilan Malaysia tidak terjejas dengan perubahan kerajaan
Menurut FSI, jelas bahawa kestabilan Malaysia tidak dipengaruhi pertukaran kerajaan. Penurunan mata indeks cuma berkurang sejak 2020 selepas kerajaan mengalami pergolakan dan perubahan parti pemerintah sekali lagi. Satu lagi indeks lain yang boleh diguna pakai dalam mengukur kestabilan negara adalah Political Stability Index atau Indeks Kestabilan Politik yang dikeluarkan oleh World Bank. Indeks kestabilan negara naik mendadak pada tahun 2018 dan capai mata tertinggi dalam tempoh 5 tahun selepas perubahan kerajaan. Namun begitu, indeks tersebut menurun kembali pada tahun 2019 dan 2020, sebelum menaik sedikit pada tahun 2021.