Adakah Lembaga Penapis Filem (LPF) Dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Berkaitan?

Salah
Adakah Lembaga Penapis Filem (LPF) Dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Berkaitan?

Orang ramai sering mengaitkan LPF dengan FINAS dalam hal berkaitan penapisan filem

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/02/2023 - Disunting : 01/02/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Lembaga Penapis Filem (LPF) Dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Berkaitan?

Sejak kebelakangan ini, orang ramai banyak berbincang tentang penapisan filem, terutamanya berkaitan filem Pulau yang dikatakan memaparkan aksi lucah. Terbaru, Lembaga Penapis Filem (LPF) didakwa telah memotong banyak babak di dalam filem Harum Malam sehingga mengejutkan Yusof Haslam, seorang pengarah filem, di tayangan perdananya. 

Rentetan dengan itu, ramai yang sering mengaitkan LPF dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan ada yang menganggap LPF berada di bawah bidang kuasa FINAS. Mari kita semak berkenaan LPF dan FINAS dan jika mereka berkaitan.

Kredit: beautifulnara

 

Lembaga Penapis Filem

LPF merupakan sebuah lembaga yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Penapisan filem telah bermula di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Bermula sejak tahun 1908, penapisan ketika itu berada di bawah bidang kuasa pihak polis. Film Censor kemudian diwujudkan pada tahun 1917 dan masih di bawah pentadbiran pihak polis. Pada 1 Mei 1954, LPF telah ditubuhkan dan sejak itu telah diletakkan di bawah kementerian yang bertanggungjawab dalam keselamatan dalam negeri. 

LPF ditubuhkan dan berfungsi berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620). Melalui akta tersebut, LPF bukan sahaja berkuasa dalam penapisan filem tetapi juga penapisan bahan publisiti filem. LPF juga boleh mempunyai Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik secara langsung oleh menteri. Pegawai Penguat Kuasa akan menyiasat sebarang kesalahan di bawah akta serta mempunyai kuasa untuk menangkap tanpa waran seseorang yang dipercayai bersalah.

Melalui LPF, kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam penapisan dan pelarangan filem. Hal ini bermaksud sebarang keputusan oleh LPF tidak boleh dicabar di mahkamah. 

Di samping itu, walaupun LPF berkuasa dalam penapisan filem, namun menurut Adrian Teh, seorang pengarah filem (seperti Paskal dan Air Force), LPF tidak akan membuat sebarang suntingan atau edit kepada filem. Filem yang telah ditapis akan disunting semula oleh penerbit atau pengarah jika perlu untuk mendapatkan kelulusan.

 

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia

FINAS telah ditubuhkan pada 26 Julai 1980 yang bertujuan untuk mengkaji dan membuat cadangan, serta merangka undang-undang. Akta FINAS 1981 (Akta 244) telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1981. Sejak Mei 2013, FINAS telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). FINAS sebelum ini pernah berada di bawah bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Berbeza dengan LPF, FINAS tidak bertanggungjawab dalam penapisan filem atau sebarang penerbitan. Sebaliknya, FINAS memberi sokongan kepada pembikin filem melalui Dana Kandungan Digital (DKD) dan penyediaan perkhidmatan pasca produksi untuk pembangunan sesebuah filem. Bekas Pengerusi FINAS, Zurainah Musa berkata FINAS tidak akan menghalang sesiapa untuk menerbitkan hasil karya seni mereka, tetapi menyeru supaya penggiat seni “peka terhadap sensitiviti penonton di negara ini yang kaya dengan budaya dan agama.”

 

LPF dan FINAS merupakan entiti berbeza

LPF dan FINAS berada di bawah kementerian yang berbeza dan mempunyai fungsi yang jelas berlainan. Bidang kuasa LPF terhad kepada penapisan kandungan filem sebelum ditayangkan kepada orang ramai, manakala FINAS bertanggungjawab dalam membangunkan industri filem tempatan seperti memberikan dana kepada pembikin filem dan menjalankan bengkel-bengkel berkenaan filem.

Bekas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pernah menyoalkan penempatan LPF di bawah KDN berbanding KKMM yang berkuasa dalam hal pembikinan filem. Bekas Timbalan Menteri KDN I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata LPF diletakkan di bawah KDN kerana “faktor keselamatan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi asas LPF”. Menurutnya, LPF diletakkan di bawah KDN untuk memastikan kandungan filem yang bakal ditayangkan kepada umum tidak melanggar empat aspek utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan. 


Rujukan:

1. https://lpf.moha.gov.my/lpf/index.php/ms/maklumat-koporat/sejarah-lpf
2. https://lpf.moha.gov.my/lpf/images/Perundangan/AKTA-PENAPISAN-FILEM.pdf
3. https://www.finas.gov.my/en/trivia-finas-hari-ini-dalam-sejarah/
4. https://www.malaysiakini.com/hiburan/627688
5. https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=216556

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago