Adakah Wajib Utamakan Qada Solat Fardu Berbanding Solat Sunat Tarawih?

Benar
Adakah Wajib Utamakan Qada Solat Fardu Berbanding Solat Sunat Tarawih?

Solat fardu yang ditinggalkan sama ada secara sengaja atau tidak wajib digantikan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 23/03/2023 - Disunting : 23/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Wajib Utamakan Qada Solat Fardu Berbanding Solat Sunat Tarawih?

Pengguna Twitter, Mohammad Faeez Harith, telah bertanya kepada beberapa guru agama berkenaan permasalahan melakukan solat sunat dalam keadaan masih terdapat solat fardu yang belum diganti (qada).

 

Kewajiban solat

Solat merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam, iaitu lima perkara asas yang wajib dilakukan oleh orang beriman. Merupakan Rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah, solat adalah ibadah yang dimulakan dengan takbiratul ihram, mengikut rukun-rukun tertentu dan diakhiri dengan salam.

Sabda oleh Rasulullah SAW:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat maka hilanglah agama pada dirinya kerana solat itu tiang agama” [Hadis riwayat al-Baihaqi (255) dalam Syu`ab al-Iman]

Islam membahagikan solat kepada dua iaitu solat fardu dan solat sunat. Solat fardu adalah solat yang wajib dijalankan dan merangkumi lima waktu sehari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sekiranya solat fardu ditinggalkan sama ada dengan sengaja ataupun tidak, ia adalah hutang kepada Allah SWT dan wajib digantikan secara solat qada. Meninggalkan solat dengan sengaja seperti malas atau mengikut hawa nafsu adalah berdosa besar. 

 

Hukum qada solat fardu

Secara umumnya, hukum menggantikan solat fardu adalah wajib dilakukan serta-merta apabila teringat. Namun begitu, mazhab Syafie memberikan kelonggaran kepada tempoh untuk qada solat dalam situasi tertentu. Menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang meninggakan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa, sunat baginya menggantikan solat itu serta-merta.

Di dalam hadis Sahih al-Bukhari (597) dan Sahih Muslim (1598), Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang terlupa solat (terlepas solat disebabkan terlupa) maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatnya semula”.

 

Melakukan solat sunat sebelum qada solat fardu

Di dalam ciapan di atas, TG Mawlana Ahmad Lutfi Muharam berkata haram melakukan amalan sunat jika masih belum melaksanakan amalan wajib yang perlu dilakukan segera, seperti qada solat fardu. Perkara ini adalah benar mengikut mazhab Maliki dan Hanbali yang mengharamkan solat sunat tertentu jika belum selesai qada solat fardu. 

Bekas mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengambil pandangan daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami. Menurutnya, jika solat fardu yang ditinggalkan adalah kerana uzur, tiada larangan untuk melakukan solat sunat sebelum selesai qada solat fardu. Sebaliknya, solat sunat haram dilakukan jika terdapat solat fardu yang ditinggalkan dengan sengaja dan belum diganti. 

Walaupun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berpandangan qada solat wajib disegerakan, tetapi masih boleh melakukan solat sunat yang bersebab seperti solat Dhuha dan Tahiyyatul Masjid. Ustaz Azhar Idrus juga berpegang pada pandangan bahawa boleh dilakukan kedua-dua qada solat dan solat sunat. Perkara ini turut dipersetujui oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, tetapi katanya lebih elok jika menunaikan kewajiban yang fardu terlebih dahulu.

 

Mengikut jemaah solat tarawih dengan niat qada solat

Apabila tiba bulan Ramadan, rata-rata umat Islam berhajat untuk melakukan solat sunat tarawih secara berjemaah. Walaupun individu yang belum qada solat fardu tidak digalakkan melakukan solat sunat, mereka masih boleh mendapat pahala solat berjemaah. 

Menurut Ustaz Azhar Idrus, individu yang ingin qada solat masih boleh bersama-sama mengikut jemaah dengan berniat sebagai makmum. Contohnya, dengan berniat qada solat Subuh sebagai makmum kepada imam yang solat sunat tarawih. 

Qada solat mengikut jemaah bukan sahaja boleh dilakukan bagi solat Subuh, tetapi bagi mana-mana solat fardu tidak kira bilangan rakaat. 

 

Wajib utamakan qada solat fardu sebelum melakukan solat sunat

Solat fardu yang ditinggalkan wajib diganti serta-merta dan diutamakan sebelum melakukan solat sunat. Namun begitu, terdapat beberapa pendapat yang mengizinkan solat sunat dilakukan walaupun masih belum selesai qada solat fardu. Perkara yang terbaik adalah dengan mengutamakan qada solat fardu dan melakukan solat sunat bersama-sama.


Rujukan:

1. https://dakwahdantarbiah.com/pengenalan-ibadah-solat
2. https://emuallaf.islam.gov.my/papar_maklumat.php?ID=23
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4186-al-kafi-1608-mana-lebih-utama-mendahulukan-qadha-solat-fardhu-dahulu-atau-mengerjakan-solat-fardhu-tunai
4. https://maktabahalbakri.com/qadha-solat-atau-solat-sunat/#_ftn2
5. https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/hukum/soal-jawab-agama/bolehkah-tunaikan-solat-sunat-jika-masih-ada-sembahyang-fardu-yang-belum-sempat-qada/
6. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1741-qada-solat-atau-solat-sunat-mana-lebih-utama
7. Ustaz Azhar Idrus Official Youtube [https://www.youtube.com/watch?v=I8CES8KeW6o]

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago