Berpuasa pada bulan Ramadan adalah rukun Islam yang ketiga dan wajib dilakukan oleh semua umat Islam. Namun begitu, terdapat juga golongan yang tidak diwajibkan untuk berpuasa iaitu wanita sedang mengalami haid atau nifas, individu sakit teruk dan individu bermusafir. Selain itu, wanita mengandung atau sedang menyusukan anak juga diberi keringanan (rukhsah) daripada berpuasa.
Apabila tiba musim Ramadan, pasti timbul isu berkenaan individu beragama Islam yang makan di khalayak ramai. Mungkin individu tersebut tidak diwajibkan berpuasa dalam keadaan tertentu. Namun begitu, adakah makan di khalayak ramai sewaktu Ramadan dibenarkan menurut Islam?
Hukum makan di khalayak ramai
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, individu yang tidak wajib berpuasa harus makan di siang hari dalam bulan Ramadan. Namun begitu, lebih afdal bagi mereka untuk makan di tempat tersembunyi bagi mengelakkan buruk sangka dan fitnah ke atas diri mereka, yang seterusnya akan menyebabkan orang lain mendapat dosa.
Perkara ini adalah berdasarkan sebuah riwayat berkenaan seorang buta bernama Ibrahim al-Nakha’ie dan anak muridnya yang rabun, Sulaiman bin Mehran al-A’masy. Ketika mereka ingin menuju ke masjid, Ibrahim meminta agar Sulaiman menggunakan jalan lain kerana tidak mahu orang ramai mengumpat seorang rabun memimpin seorang buta, lantas menyebabkan mereka berdosa.
Sulaiman kemudian berkata, apa salahnya jika mereka yang mengumpat itu berdosa sedangkan mereka berdua akan mendapat ganjaran pahala kerana diumpat. Ibrahim menjawab, “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”.
Oleh itu, lebih baik jika kita mengelakkan diri daripada keadaan yang boleh difitnah, sekaligus menghalang orang ramai daripada mendapat dosa fitnah.
Isu berkenaan makan di khalayak ramai dalam bulan Ramadan juga dinyatakan di dalam sebuah fatwa oleh mantan Mufti Besar Arab Saudi. Menurutnya, individu yang tidak berpuasa kerana uzur atau musafir wajib makan secara bersembunyi. Hal ini adalah kerana orang awam tidak tahu akan keuzuran atau musafir seseorang dan boleh menjadi fitnah sengaja tidak berpuasa. Walau bagaimanapun, jika orang sekelilingnya tahu akan keadaan dirinya iaitu sama ada uzur atau sedang musafir, tidak salah untuk makan di hadapan mereka.
Undang-undang makan di khalayak ramai dalam bulan Ramadan
Walaupun tiada larangan yang jelas menurut Islam, makan di khalayak ramai adalah satu kesalahan berdasarkan undang-undang syariah di Malaysia. Berdasarkan Seksyen 15 di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, individu yang makan di tempat awam dalam bulan Ramadan telah melakukan kesalahan jenayah syariah.
Begitu juga bagi penjual yang menjual makanan atau minuman kepada individu Islam untuk makan serta-merta ketika itu juga. Bagi kedua-duanya, pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan berulang, individu boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
Islam tidak melarang makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan
Memandangkan tiada sebarang hadis atau larangan yang menyatakan tidak boleh makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan, tidaklah berdosa bagi sesiapa melakukannya. Akan tetapi, lebih afdal bagi mereka makan secara sorok-sorok untuk mengelakkan daripada buruk sangka dan bagi menghormati bulan Ramadan. Malah, ia juga boleh menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah di setiap negeri.
Walaupun begitu, orang ramai tidak seharusnya cepat berburuk sangka terhadap individu Islam yang makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadan. Apatah lagi wanita yang jelas kelihatan sedang mengandung. Benar bahawa mereka disarankan untuk makan secara tersembunyi, namun bagi individu mengalami gastrik teruk atau wanita mengandung yang sudah mula menggigil, mereka mungkin perlu makan serta-merta.