Benarkah Umat Islam Boleh Ziarah Kubur Ketika Hari Raya Aidilfitri?

Benar
Benarkah Umat Islam Boleh Ziarah Kubur Ketika Hari Raya Aidilfitri?

Ziarah kubur ketika hari raya telah menjadi kebiasaan orang ramai

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/04/2023 - Disunting : 11/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Umat Islam Boleh Ziarah Kubur Ketika Hari Raya Aidilfitri?

Setiap kali pada hari raya, sudah tentu ramai umat Islam yang menziarahi kubur orang tersayang yang telah pergi dahulu. Namun begitu, ada yang menganggap amalan itu satu bentuk bidaah dan tidak harus dilakukan kerana akan menimbulkan kesedihan pada hari yang sepatutnya diraikan dengan gembira. Mari kita fahami lebih lanjut hukum melawat kubur pada Hari Raya.

 

Hukum menziarahi kubur

Secara umumnya, hukum melawat kubur adalah sunat dan dituntut dalam Islam. Walaupun Rasulullah SAW pernah melarang umat Islam menziarahi kubur, namun diizinkannya kemudian berdasarkan sebuah hadis. 

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زِيَارَةِ القُبُور فَزُورُهَا

Maksudnya: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.” (Riwayat Muslim)

Gambar hiasan. Kredit gambar: Batu nisan dan kepuk kubur pahang/ Facebook

Malah, menziarahi kubur adalah salah satu cara untuk mengingati kematian seperti hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW menangis sewaktu menziarahi kubur ibunya, lalu bersabda: 

استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت

Maksudnya: “Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”. (Riwayat Muslim)

 

Hukum bagi wanita

Bagi wanita, hukum menziarahi kubur adalah berbeza mengikut keadaan. Hukum wanita menziarahi kubur pada asalnya adalah makruh. Hal ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW sebelum rukhsah menziarahi kubur diberikan. 

لَعَنَ زَوَّارَاتِ القُبُور

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW melaknat wanita yang menziarahi perkuburan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hukum ini juga diberi kerana wanita mempunyai hati yang lebih lembut dan sensitif dan boleh menjadi sebab mereka menangis atau meninggikan suara ketika menziarahi kubur.

Kredit gambar: Thirdman/ Pexels

Namun begitu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sunat untuk wanita menziarahi kubur Rasulullah SAW, kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat, dengan syarat menjaga adab-adab berziarah. Terdapat juga pendapat lain yang mengharuskan perkara ini jika wanita tersebut jauh daripada sebarang fitnah. 

 

Menziarahi kubur pada hari raya

Terdapat dua pandangan berkenaan hukum menziarahi kubur pada hari raya. Pendapat pertama adalah yang memakruhkannya dan menganggapnya sebagai bidaah kerana tiada nas Rasulullah SAW ke kubur pada hari raya. Sebaliknya Rasulullah SAW bergembira saling kunjung-mengunjungi dan melayani tetamu. 

Walaupun begitu, pendapat yang diambil secara umum di Malaysia adalah harus memandangkan tiada larangan secara khusus untuk menziarahi kubur pada hari raya. Malah, Imam al-Harawi dalam syarah sahih muslim berkata: “Tidak ada hadis sahih yang menerangkan ketentuan hari untuk melakukan ziarah kubur dan tidak pula ada had berapa kali ziarah.”

Kredit gambar: Islam Itu Indah Dan Lengkap/ Facebook

Di samping itu, Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyah (Mesir) menyebut walaupun tiada masa ziarah kubur ditentukan, tetapi memandangkan hari raya sebagai hari umat Islam bergembira, maka tidak disunatkan melakukan perkara yang akan menyebabkan kesedihan. Syeikh Dr. Majdi Asyur, Setiausaha Dar al-Ifta’ al-Misriyah berkata sesetengah orang seolah-olah menjadikan hari raya sebagai hari khas untuk menziarahi kubur. Jika menziarahi kubur menyebabkan seseorang itu menjadi sedih, hukumnya adalah makruh. 

Jabatan Mufti Negeri Pahang menyimpulkan bahawa menziarahi kubur selepas solat raya sebagai suatu amalan yang baik. Namun, pada masa yang sama, hendaklah memastikan adab menziarahi kubur dari sudut percakapan, tingkah laku dan pakaian terjaga.

 

Boleh ziarah kubur pada hari raya

Islam tidak melarang umatnya untuk menziarahi kubur pada hari raya, malah harus melakukannya. Namun begitu, hendaklah supaya berpada-pada dan tidak sedih yang melampau kerana hari raya sepatutnya disambut dengan gembira. 

Ustaz Azhar Idrus berkata menjadi kebiasaan orang ramai menziarahi kubur ketika hari raya kerana mereka pulang ke kampung ketika itu. Mereka yang duduk berdekatan kubur tidak sepatutnya menjadikan kebiasaan menziarahi kubur hanya ketika hari raya.


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1944-irsyad-fatwa-ke-42-hukum-ziarah-kubur-pada-hari-raya
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2346-irsyad-al-hadith-siri-ke-257-hadith-hadith-menziarahi-kubur-bagi-wanita
3. http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/perkhidmatan/unit-fatwa/kemusykilan-agama-islam/sosial/427-hukum-ziarah-kubur-sempena-hari-raya-aidilfitri
4. https://mufti.pahang.gov.my/wp-content/uploads/2020/11/hukum-ziarah-perkuburan-pada-hari-raya-pertama-selepas-solat-hari-raya.pdf
5. Youtube Ustaz Azhar Idrus Official

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago