Adakah Tayar Kereta Lama Tidak Elok Dipakai?

Salah
Adakah Tayar Kereta Lama Tidak Elok Dipakai?

Tayar kereta lama adalah tayar yang dihasilkan pada tahun-tahun terdahulu dan disimpan lama sebelum digunakan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/05/2023 - Disunting : 08/05/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Tayar Kereta Lama Tidak Elok Dipakai?

Seorang pengguna Twitter, Afyan Mat Rawi, telah berkongsi pengalamannya menukar tayar kereta dan diberikan tayar lama. Dia kemudian ke bengkel semula untuk bertanya berkenaan tayar tersebut dan akhirnya memilih untuk diberikan pembayaran balik.

Pelabur Bijak membalas kenyataan Afyan dan berkata tayar lama sepatutnya dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran kerana ia akan luput tidak lama lagi.

Daripada perbincangan ini, mungkin timbul persoalan sama ada tayar kereta lama masih elok dipakai ataupun tidak. Mari kita teliti perkara tersebut dalam hantaran kali ini. 

 

Tarikh tayar dihasilkan

Jika dilihat pada ciapan asal Afyan, terdapat nombor 3519 pada sisi tayar. Nombor ini sebenarnya adalah digit kod Department of Transportation (DOT) dan menunjukkan tarikh penghasilan tayar. Dua digit pertama merujuk kepada minggu, manakala dua digit belakang adalah tahun. Oleh itu, 3519 bermaksud tayar dihasilkan pada minggu ke-35 tahun 2019. 

Selain daripada nombor empat digit tersebut, terdapat juga digit-digit lain yang diletakkan pada sisi tayar. Faisal Rahim telah berkongsi gambar spesifikasi tayar di akaun Twitternya. 

 

Jangka hayat tayar

Persatuan Pengeluar Getah Amerika Syarikat (RMA) tidak mempunyai tahap piawai bagi tarikh luput tayar kereta. Hal ini adalah kerana tayar boleh mengalami kerosakan bergantung kepada suhu, beban, tekanan tayar, kelajuan dan sebagainya. 

Sebaliknya, Persatuan Pengeluar Getah British (BRMA) menetapkan tayar hanya dipakai sehingga usia 10 tahun maksimum. Walaupun begitu, tayar yang tidak digunakan dan telah dihasilkan melebihi enam tahun tidak patut digunakan. 

Menurut AG Safety and Health pula, kebanyakan pengeluar kereta memberi peringatan kepada pengguna supaya menukar tayar setiap enam tahun kerana tayar akan luput enam tahun daripada tarikh penghasilannya.  

Tayar yang dihasilkan pada tahun 2019 bermakna ia telah berumur empat tahun pada 2023 dan bakal luput dalam masa seawal dua hingga enam tahun akan datang

 

Kerosakan terhadap tayar yang tidak diguna

Berdasarkan beberapa siri uji kaji oleh Michelin, sebuah syarikat penghasilan tayar, membuktikan bahawa tayar cuma akan mulai proses penuaan setelah ia dipasang pada kereta. 

Uji kaji oleh Osaka City University di Arab Saudi mendapati tahap penuaan bagi tayar yang disimpan selama sepuluh tahun dari tarikh penghasilan adalah sama dengan tayar yang telah digunakan selama dua tahun. Malah, jika tayar disimpan selama 20 tahun pada suhu 40 darjah celsius, ia akan menunjukkan tahap penuaan sama seperti tayar yang telah digunakan bagi 40,000 km perjalanan.

Uji kaji di Korea Selatan mendapati prestasi yang sama antara tayar baru dan tayar yang disimpan selama tiga tahun. Kerosakan pada tayar juga serupa bagi kedua-dua tayar dalam ujian kelajuan tinggi. 

Sebuah organisasi permotoran Jerman, General German Automobile Club, turut menjalankan sebuah uji kaji dan mendapati bahawa kadar geseran pada tayar yang disimpan tiga tahun adalah sama dengan tayar baru. 

Namun begitu, sudah tentu ia tertakluk kepada cara penyimpanan yang betul. Getah pada tayar yang disimpan dengan betul hanya akan mengalami sedikit turun naik suhu. Perkara ini hanya menyebabkan sedikit sahaja atau tiada langsung kesan ke atas prestasi tayar. 

 

Tayar pada kereta yang jarang digunakan

Selain daripada kerisauan ke atas tayar yang belum digunakan, lebih penting untuk kita ambil tahu tentang keadaan tayar pada kereta yang jarang digunakan. Getah pada tayar adalah bahan yang akan teroksida apabila terdedah kepada cahaya matahari, panas dan oksigen dalam udara. Kebiasaannya, getah yang teroksida akan menjadikan tayar keras dan hilang sifat fleksibel.

Walaupun kereta jarang dibawa dan bunga tayar kelihatan tebal, getah tayar tetap akan merosot akibat teroksida. Bridgestone Malaysia menyatakan bahawa penuaan tayar pada kereta yang jarang digunakan boleh menyebabkan retakan halus pada tayar. Malah, tayar akan cepat rosak jika terdedah kepada cahaya matahari yang terik.

Penuaan tayar sebenarnya boleh diperlahankan dengan cara memandu kereta tersebut. Bridgestone mengesyorkan supaya kereta dipandu sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu untuk jarak yang singkat. Putaran tayar akan memindahkan antioksida atau antiozon dalam getah ke permukaan luar bunga tayar dan dinding sisi. Antioksida yang dipindahkan ini akan menghasilkan lapisan perlindungan dan melambatkan kesan penuaan tayar.

 

Tayar kereta yang dihasilkan kurang daripada 6 tahun lepas masih boleh dipakai

Tayar kereta boleh dipakai sehingga 6 tahun selepas tarikh penghasilannya. Hasil beberapa uji kaji yang dilakukan menunjukkan tayar yang disimpan dengan elok mempunyai kualiti serupa dengan tayar baru. Namun begitu, penting untuk menyemak tarikh penghasilan tayar supaya dapat membeli tayar pada harga yang berpatutan. Tayar juga disarankan ditukar selepas enam hingga 10 tahun penggunaannya.


Rujukan:

1. https://paultan.org/2019/09/24/tayar-baru-yang-disimpan-lama-boleh-rosak-sendiri/
2. https://ag-safety.extension.org/tire-safety-expiration-dates/
3. https://autobuzz.my/2017/07/13/tyres-not-bananas-says-michelin-malaysia/
4. https://www.martins-rubber.co.uk/blog/what-causes-rubber-to-deteriorate/
5. https://www.wapcar.my/bm/nak-beli-tayar-keluaran-tahun-2019-tetapi-ada-tarikh-luput-selamat-atau-bahaya-37519

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago