Sudah menjadi tugas seorang peguam untuk mewakili tertuduh di mahkamah, walaupun dia dipercayai benar-benar melakukan sesuatu kesalahan atau jenayah. Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan sesetengah masyarakat apabila peguam dilihat ‘membela’ pesalah.
Malah, ada yang sehingga menyifatkan peguam sebagai kerjaya yang ‘mempunyai sebelah kakinya di dalam neraka’.
Setiap tertuduh berhak mendapatkan khidmat guaman
Sebelum itu, penting untuk memahami tentang hak seseorang untuk diwakili peguam apabila dia dituduh melakukan sesuatu kesalahan.
Berdasarkan Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang.
Selain itu, Perkara 8 (1) menjelaskan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Malah, mahkamah juga menggunakan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’. Sebaliknya, pihak pendakwaan perlu mengemukakan hujah yang membuktikan seseorang itu bersalah sebelum keputusan mahkamah dijatuhkan. Oleh itu, setiap individu yang dituduh berhak diwakili oleh peguam.
Tidak salah menjadi peguam, tetapi boleh jatuh haram
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, kitab Fatawa Islamiyyah menjelaskan bahawa pekerjaan peguam bukanlah suatu kesalahan secara umumnya.
Peguam yang mewakili pihak yang benar bagi menuntut kebenaran ialah sifat yang terpuji, namun diharamkan mewakili pihak bersalah. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.
Surah al-Maidah (2)
Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa halal atau tidak kerjaya seorang peguam tertakluk kepada keputusan yang dilakukan dan kaedah digunakan. Katanya, jika seorang peguam menegakkan perkara yang tidak benar, maka ia jatuh haram.
“Tengok pada kaedah, sekiranya (peguam) membela perkara yang batil menjadi hak, dan yang hak menjadi batil, hukumnya haram,” katanya.
Penipuan atau ‘perjury’ tidak dibenarkan dalam perbicaraan mahkamah
Namun begitu, bagaimana pula dengan tertuduh yang secara terang-terangan melakukan kesalahan tersebut?
Ustaz Azhar berkata terdapat peguam bela yang mengetahui bahawa seseorang itu bersalah, namun cuba untuk membuktikan dia tidak bersalah. Oleh yang demikian, hasil pendapatan yang diterima oleh peguam daripada kes tersebut dianggap haram menurut Islam.
“Kalau dia (peguam bela) yakin orang ini tidak bersalah dan dia bela orang ini, maka halal pendapatannya. Tapi kalau dia yakin orang inilah yang bunuh orang itu, tapi dia bijak dan akan ubah fakta supaya orang ini tidak nampak membunuh dan akhirnya dibebaskan, dia dipanggil bertolong-tolong atas perkara zalim,” katanya.
Malah, dari segi undang-undang sendiri, jika seorang peguam meminta anak guamnya untuk mengubah fakta atau menipu ketika perbicaraan testimoni, dia sebenarnya telah melakukan kesalahan sumpah bohong atau ‘perjury’.
Memandangkan seorang individu yang dipercayai bersalah masih berhak mendapatkan khidmat guaman, oleh itu apakah tugasan peguam yang mewakilinya jika bukan untuk membebaskannya?
Ustaz Azhar berkata peguam bela bertanggungjawab dalam perbicaraan agar tertuduh tidak dikenakan hukuman yang tidak adil. Ini termasuk juga mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman berdasarkan kepada hujah-hujah yang bersesuaian.
Tuduhan ditentukan oleh Hakim dan bukan Peguam
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa peguam yang membela pihak yang diketahui bersalah adalah berdosa. Katanya lagi, wang yang diterima daripada perkara itu lebih buruk daripada hasil pelacuran.
Sehubungan itu, pengamal undang-undang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata seseorang yang dituduh hanya layak ditentukan bersalah ataupun tidak oleh hakim di mahkamah.
Tambahnya, peguam sebenarnya bukanlah membela pesalah, tetapi mewakili tertuduh di mahkamah dan memastikan perbicaraan dijalankan dengan adil dan saksama mengikut proses undang-undang.
“Peguam sebenarnya sebahagian daripada pegawai mahkamah, pemudah cara kepada proses keadilan dalam perlembagaan. Bukan semata-mata membela orang yang salah,” katanya.
Tugas peguam dalam sejarah Islam
Seperti yang dijelaskan di atas, presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata peguam bertanggungjawab mewakili tertuduh agar hukuman yang adil dapat diberikan.
Dalam sejarah Islam, Saidina Ali RA pernah memainkan peranan sebagai seorang peguam dalam kes seorang wanita yang mengakui dia melakukan zina, namun sebenarnya ia berlaku tanpa kerelaannya. Walaupun hampir dihukum pada mulanya, pembelaan yang dilakukan oleh Ali menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab RA ketika itu mengubah keputusannya dan membebaskan wanita tersebut.
Malah, terdapat juga kisah Ali membela seorang lelaki yang dituduh telah mencabul seorang wanita. Namun begitu, wanita tersebut sebenarnya telah memfitnahnya dengan membuat cerita, dan meletakkan putih telur pada kainnya (difahamkan agar kelihatan seperti air mani).
Jelas Musa, terdapat kaedah guaman yang diharuskan dalam Islam yang dikenali sebagai shafa’ah atau permohonan belas kasihan agar membatalkan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas tertuduh.
Dia juga berkata tidak menjadi kesalahan jika seorang peguam mewakili tertuduh tanpa mengetahui bahawa dia sememangnya telah melakukan suatu kesalahan atau jenayah.
Peguam boleh mewakili tertuduh jika yakin dia tidak melakukan kesalahan
Secara umumnya, tidak salah bagi seorang peguam mewakili tertuduh jika yakin dia tidak melakukan kesalahan. Namun, jika peguam mengetahui anak guamnya benar-benar melakukan suatu jenayah, dia tidak seharusnya menyembunyikan perkara itu. Sebaliknya, dia hanya bertugas dalam mewakili tertuduh dan memastikan hukuman dijalankan secara adil dan saksama.