Benarkah Air Banjir Berwarna Biru Kehijauan Boleh Menjadi Bahaya?

Benar
Benarkah Air Banjir Berwarna Biru Kehijauan Boleh Menjadi Bahaya?

Kecoh apabila air banjir di sekitar Ladang Pinang Emas, Bukit Besi di Dungun, Terengganu berwarna biru kehijauan.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/12/2024 - Disunting : 03/12/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Air Banjir Berwarna Biru Kehijauan Boleh Menjadi Bahaya?

Situasi banjir telah melanda Malaysia sejak November 2024, menyebabkan sembilan negeri terkesan dengan bencana alam tersebut. Dengan keadaan banjir yang semakin meruncing, banyak pihak yang mengingatkan agar orang ramai tidak bermain dalam air banjir memandangkan ia kotor dan mempunyai risiko dijangkiti penyakit.

Namun, masyarakat tertarik melihat keadaan banjir di Ladang Pinang Emas, Bukit Besi di Dungun, Terengganu. Di sekitar kawasan ladang kelapa sawit itu, airnya kelihatan jernih dan berwarna biru kehijauan, berbeza berbanding banjir di kebanyakan tempat lain yang berwarna perang seperti warna teh.

Orang ramai dalam pada itu menyifatkan air di sana lebih bersih berbanding di tempat lain. Namun ada juga yang berkata air tersebut berbahaya kerana mengandungi bahan kimia. Mari kita semak lebih lanjut mengenai perkara ini.

Baca Artikel Berkaitan: “Tiba-tiba Jadi Maldives Island” – Air Banjir Jernih Warna Hijau Di Terengganu Jadi Tumpuan

 

Air kelihatan berwarna biru

Untuk memahami tentang warna air yang berbeza, penting agar mengetahui tentang warna asal atau semula jadinya terlebih dahulu. Walaupun air kelihatan jernih tanpa warna, ia sebenarnya mempunyai sedikit warna biru (blue tint). Perkara ini terjadi kerana air memantulkan semula warna biru dari cahaya matahari dan menyerap warna-warna lain, terutamanya merah. 

Namun warna biru ini lebih jelas kelihatan dalam jumlah yang banyak. Kerana itulah air minuman di dalam gelas kelihatan jernih, manakala air laut mempunyai warna yang benar-benar biru.

Warna air boleh dibahagikan kepada warna yang dapat dilihat dan warna sebenar. Warna yang dapat dilihat adalah warna air yang terhasil tanpa menyingkirkan sebarang partikel yang terapung seperti algae, sedimen dan mineral atau partikel terlarut seperti mineral dari batu-batuan dan tanah. Sebaliknya warna sebenar dapat dilihat setelah menyingkirkan kesemua partikel terapung.

 

Warna air berubah disebabkan oleh mineral

Menurut Presiden Ozarks Environmental Services, air berwarna biru mempunyai kandungan partikel terlarut yang sangat rendah. Namun begitu, warna air boleh berubah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu seperti banjir (soil runoff), sedimen, algae dan terutama sekali, mineral.

Apabila batu di dalam air terhakis, mineral daripadanya akan terlarut di dalam air sekaligus mengubah warna air. Antara mineral yang biasa mengubah warna air menjadi merah, jingga, hijau atau biru ialah zat besi, manganese dan kalsium karbonat.

 

‘Algal bloom’ boleh sebabkan warna air menjadi biru, hijau dan sebagainya

Selain mineral, pembentukan alga dan cyanobacteria juga boleh menyebabkan warna air berubah. Kedua-dua organisme ini hidup di dalam air dan boleh membiak dengan pantas, juga digelar sebagai ‘algal bloom’. Algal bloom boleh terjadi di dalam air bertakung yang mengandungi nutrien seperti baja dalam keadaan banjir dan najis di dalam air kumbahan.

Algal bloom kelihatan seperti buih, lapisan minyak atau cat di atas permukaan air dan boleh mengubah warna air menjadi hijau, biru, perang, merah dan lain-lain. Namun terdapat juga algal bloom yang tidak kelihatan.

Menurut Environment Protection Agency Victoria (Australia), selepas situasi banjir yang besar, kandungan nutrien, aliran yang rendah dan cahaya boleh mewujudkan keadaan yang ideal untuk alga membiak dengan terlalu banyak. 

Contoh algal bloom di lautan. (Kredit gambar: California Department of Water Resources)

Memandangkan Ladang Pinang Emas merupakan sebuah ladang kelapa sawit, tidak mengejutkan jika tanah di sekitar kawasan tersebut mempunyai kandungan baja tinggi yang bertindak sebagai nutrien bagi alga, seterusnya menyebabkan warna banjir menjadi biru kehijauan.

Di samping itu, ladang tersebut juga terletak di Bukit Besi yang merupakan sebuah bandar perlombongan dengan kegiatan perlombongan bijih besi dijalankan pada suatu masa dahulu. Ini bermakna, terdapat kemungkinan kawasan tersebut telah dicemari pelbagai mineral atau bahan kimia yang boleh mengubah warna air banjir yang bertakung.

 

Bukan semua kawasan air berwarna biru kehijauan berbahaya

Walaupun air bertakung berwarna biru kehijauan boleh menjadi berbahaya, namun ia tidak terpakai bagi kawasan air semula jadi yang tidak tercemar seperti sungai, tasik dan laut.

Sebagai contoh, tasik glacier atau ‘Emerald Lake’ mendapat warna biru kehijauan daripada partikel batu halus yang terapung di dalam air. Sedimen yang digelar ‘tepung batu’ ini menyerap dan memantulkan cahaya matahari yang berbeza di tasik dan sungai berdekatan, sekaligus menghasilkan warna sedemikian.


Selain itu, walaupun warna air laut boleh berubah disebabkan oleh algal bloom, namun terdapat juga laut yang mempunyai warna biru kehijauan secara semula jadi.

Berdasarkan artikel di HowStuffWorks, kedalaman laut juga menjadi faktor kepada warna airnya sama ada biru gelap atau biru kehijauan. Ahli lautan (oceanographer) NASA, Gene Carl Feldman, menerangkan warna laut di Greece kelihatan biru kehijauan kerana mempunyai pasir atau batu-batuan berwarna putih di dasarnya.

Apabila cahaya matahari terpancar pada dasar lautan, ia akan dipantulkan semula dan memancarkan warna biru yang dapat dilihat di laut. Namun begitu, sebahagian besar lautan adalah berwarna biru gelap atau gelap sama sekali memandangkan hampir tiada cahaya yang dapat masuk sejauh 656 kaki di bawah air laut.

Kredit gambar: Chor Tsang/ Unsplash

Malah, warna laut juga boleh dipengaruhi oleh phytoplankton, sejenis alga, yang hidup di dalamnya. Organisme ini menggunakan klorofil, sejenis pigmen hijau, untuk hidup seterusnya menyebabkan air laut menjadi warna hijau. Ada juga phytoplankton yang membuatkan air laut menjadi warna kuning, kemerah-merahan atau perang. 

Untuk info, phytoplankton penting kerana ia menghasilkan hampir separuh oksigen di dalam Bumi. Namun apabila terjadinya algal bloom, ia boleh menghasilkan toksin yang berbahaya.

Dalam pada itu, terdapat juga tempat semula jadi yang mengandungi air berwarna biru berbahaya. Sebagai contoh, tasik Kawah Ijen mempunyai warna biru yang terang disebabkan ia mempunyai kandungan asid sulfurik yang tinggi. Namun kandungan yang terdapat di ‘tasik’ itu bukanlah air, tetapi sebenarnya cecair lava. Ia dikenali sebagai tasik berasid paling bahaya di dunia.

 

Air Bertakung Berwarna Biru Kehijauan Mungkin Bahaya

Jelaslah bahawa air bertakung, termasuk air banjir, berwarna biru kehijauan mungkin berbahaya dan tidaklah bersih. Sebaliknya warna itu boleh terhasil disebabkan keadaan algal bloom atau kewujudan mineral serta bahan kimia. 

Bagi keadaan air banjir di Ladang Pinang Emas, tidak pasti apakah sebab ia berwarna biru. Namun ia boleh disebabkan oleh kehadiran algal memandangkan nutrien dari baja dapat menjadi makanan bagi organisme tersebut.

Walaupun kebanyakan alga tidak berbahaya, namun terdapat juga yang menghasilkan toksin dan boleh menyebabkan penyakit serius buat manusia dan haiwan. Sentuhan secara langsung boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit, mata, telinga, hidung dan mulut. Jika seseorang meminum air atau memakan haiwan laut yang terjejas dengan alga, dia boleh mengalami masalah gastro seperti muntah, cirit-birit, demam dan sakit kepala. Dalam kes yang lebih serius, toksin dari alga boleh memberi kesan kepada hati atau sistem saraf.


Rujukan:

1. https://www.news-leader.com/story/sports/outdoors/2015/01/21/green-turquoise-brown-water-color-differs/22125369/
2. https://www.epa.vic.gov.au/for-community/environmental-information/water/heavy-rainfall-events/how-to-manage-waste-after-a-flood/health-risks-from-flood-waters
3. https://www.ketengah.gov.my/bukit-besi/
4. https://science.howstuffworks.com/environmental/earth/oceanography/why-is-ocean-different-colors-different-places.htm

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 weeks ago