Benarkah Agama Selain Islam Tidak Boleh Disebarkan Di Malaysia?

Salah
Benarkah Agama Selain Islam Tidak Boleh Disebarkan Di Malaysia?

Terdapat kumpulan tertentu yang menjalankan penyebaran atau dakwah agama kepada orang awam di dalam negara

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/01/2025 - Disunting : 06/01/2025

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Agama Selain Islam Tidak Boleh Disebarkan Di Malaysia?

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan beberapa individu didakwa cuba menyebarkan risalah ajaran Mormon kepada orang ramai di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, Kuala Lumpur. Tindakan mereka kemudiannya telah ditegur oleh seorang individu sebelum mendapat perhatian ramai.

Sehubungan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap perkara tersebut. Namun perkara ini mungkin menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat sama ada penyebaran agama bertentangan dengan undang-undang negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dan meminta agar orang ramai menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan yang bercanggahan dengan perlembagaan dan undang-undang negara perlu dihentikan kerana boleh menyebabkan keresahan dalam masyarakat awam, terutamanya mereka yang beragama Islam.

Baca Artikel Berkaitan: Sebar Risalah Kristian: “Tindakan Bercanggah Dengan Perlembagaan Perlu Dihentikan” – Menteri Agama

 

Malaysia amalkan hak kebebasan beragama

Seperti yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama. Walaupun agama rasmi negara ialah Islam, namun agama-agama lain masih bebas diamalkan. 

Menurut Perkara 11, setiap rakyat berhak menganut dan mengamalkan agamanya. Di samping itu, setiap kumpulan agama berhak ke atas perkara berikut:

  1. Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
  2. Menubuhkan dan menyelenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat
  3. Memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang.

Dalam masa sama, perkara tersebut menetapkan bahawa mana-mana penganut berhak mengembangkan agamanya, tetapi tertakluk kepada Fasal (4) iaitu:

(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Penetapan ini jelas menunjukkan bahawa perkembangan atau penyebaran agama lain dalam kalangan umat Islam di negara ini boleh dihalang menerusi undang-undang yang digubal.

 

Undang-undang halang penyebaran agama lain pada umat Islam

Terdahulu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, negeri Selangor telah menggubalkan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988.

Difahamkan bahawa undang-undang sedemikian di peringkat Wilayah Persekutuan juga sedang diusahakan setakat artikel ini ditulis. Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sebelum ini dijangka akan dibentangkan pada tahun 2024.

Na’im pada November 2023 berkata kerajaan akan meneruskan usaha kerajaan terdahulu dalam menggubal akta sedemikian bagi menjamin akidah umat Islam. Tambahnya lagi, proses penggubalan RUU tersebut masih di peringkat kajian di Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata sedemikian selepas Ahli Parlimen Jasin ketika itu, Zulkifli Ismail meminta agar kerajaan menyegerakan pembentangan RUU tersebut yang pernah dicadangkan PAS sebelum itu. Katanya, undang-undang syariah sedemikian perlu diwujudkan di peringkat Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Menurut Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023 yang disediakan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di dalam negara, hukuman berbeza termasuk penjara dan sebat boleh dikenakan mengikut setiap negeri yang mempunyai undang-undang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Sebaliknya, orang Islam dibenarkan untuk berdakwah tanpa sekatan undang-undang. 

Dalam laporan sama, dicatatkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa ‘tiada masalah’ bagi orang Islam melawat tempat-tempat ibadah agama lain. Namun dalam masa sama, undang-undang tidak membenarkan umat Islam mengambil bahagian dalam upacara atau amalan agama tersebut bagi mengelakkan penyebarannya.

MalaysiaKini pada 2021 pula melaporkan bahawa hanya tiga negeri, selain Wilayah Persekutuan, yang masih tidak mempunyai enakmen berhubung larangan pengembangan agama bukan Islam iaitu Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak. Malah kerajaan Sabah ketika itu menolak cadangan untuk mewujudkan undang-undang sedemikian di negerinya.

Bercakap mengenai RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan), bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ia hanya diguna pakai di peringkat Wilayah-Wilayah Persekutuan. Tambahnya lagi, bagi negeri yang masih belum mempunyai enakmen sedemikian, ia bergantung kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Beliau berkata sedemikian setelah menerima persoalan daripada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST). Idris turut menegaskan bahawa RUU yang sedang diusahakan itu hanya terpakai bagi orang Islam, sebaliknya agama lain boleh disebarkan kepada orang bukan Islam.

 

MCCBCHST berkata Kanun Keseksaan halang penyebaran Islam ke rumah ibadat agama lain

Walaupun penyebaran agama Islam kepada penganut agama lain tidak dihalang dalam negara ini, namun MCCBCHST sebelum ini tidak bersetuju dengan pendapat Mufti Terengganu Mohamad Sabri Haron bahawa orang Islam boleh ke tempat ibadah bukan Islam bagi penyebaran dakwah. Perkara ini adalah selepas Sabri berkata umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan, tetapi dibenarkan jika ingin memperkenalkan Islam dan untuk berdakwah.

Dalam pada itu, MCCBCHST memetik beberapa undang-undang di bawah Kanun Keseksaan yang dikatakan menghalang penyebaran agama Islam ke rumah ibadat bukan Islam seperti berikut:

(i) Seksyen 298 – melukakan hendak melukakan perasaan agama seseorang.

(ii) Seksyen 298 A – menyebabkan, dan sebagainya, di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan, dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

(iii) Seksyen 505 (c) – Kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam; dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Setiap kumpulan agama berhak untuk melarang mana-mana kumpulan agama lain daripada menyebarkan agama mereka di tempat ibadat mereka,” kata MCCBCHST.

 

Penyebaran Agama Lain Tidak Dihalang Tetapi Tertakluk Kepada Undang-Undang

Berdasarkan perlembagaan negara, ternyata bahawa agama selain Islam boleh dikembangkan dengan syarat ia tidak disebarkan kepada umat Islam. Sebaliknya, tiada larangan agama Islam disebarkan kepada penganut agama lain. Namun begitu, MCCBCHST berpendapat ada undang-undang di bawah Kanun Keseksaan yang menghalang penyebaran Islam ke rumah ibadat agama lain.

Memandangkan insiden yang dinyatakan pada awal penulisan ini berlaku di Kuala Lumpur, timbul persoalan jika ia sebenarnya melanggar undang-undang sedangkan masih belum ada rang undang-undang yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Dr Zulkifli sebelum ini berkata kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan bagi pengukuhan akidah umat Islam, selain daripada melakukan penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

Sebagai sebuah negara dengan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama, adalah menjadi tanggungjawab sosial agar sentiasa menghormati kepercayaan satu sama lain bagi mengekalkan keamanan 

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Golongan Murtad Boleh Dikenakan Hukuman Bunuh Di Malaysia?


Rujukan:

1. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/Perlembagaan%20Persekutuan-Ma.Html
2. https://www.edisi9.com.my/2021/02/sebar-agama-lain-kepada-umat-islam-dilarang-perlembagaan/
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rang-undangundang-sekat-sebar-agama-lain-kepada-orang-islam-sedang-diusahakan-445022
4. https://my.usembassy.gov/ms/2023-report-on-international-religious-freedom-malaysia-ms/
5. https://www.malaysiakini.com/news/590839
6. https://www.malaysiakini.com/news/715167

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 weeks ago