Adakah Simpanan KWSP Seorang Islam Tidak Boleh Diagihkan Kepada Waris Bukan Islam Selepas Kematiannya?

Benar
Adakah Simpanan KWSP Seorang Islam Tidak Boleh Diagihkan Kepada Waris Bukan Islam Selepas Kematiannya?

Simpanan KWSP oleh pencarum beragama Islam akan diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid setelah meninggal dunia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/01/2025 - Disunting : 24/01/2025

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Simpanan KWSP Seorang Islam Tidak Boleh Diagihkan Kepada Waris Bukan Islam Selepas Kematiannya?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan instrumen caruman yang berfungsi sebagai dana simpanan persaraan. Memandangkan ia bertujuan untuk menyediakan dana bagi kegunaan selepas bersara, wang KWSP secara umumnya hanya boleh dikeluarkan setelah ahli bersara pada umur 55 tahun atau 60 tahun. 

Jika seorang ahli telah meninggal dunia sebelum mencapai umur persaraan, wang simpanan KWSP akan diagihkan kepada waris. Bagi ahli yang beragama Islam, simpanan tersebut akan diagihkan mengikut faraid. Bagi mereka yang bukan beragama Islam pula, simpanan KWSP boleh diwariskan kepada benefisiari yang dinamakan.

Namun begitu, timbul persoalan bagaimana pula bagi seorang ahli yang memasuki Islam, tetapi tidak mempunyai waris Muslim dan telah menamakan benefisiari bukan Islam. Seorang individu mendakwa bahawa rakannya yang merupakan seorang mualaf telah meninggal dunia, namun simpanan KWSP tidak diberi walau satu sen kepada penamanya yang merupakan anak berusia 13 tahun bukan Muslim. Katanya ini kerana KWSP merupakan harta pusaka yang tidak boleh diwariskan oleh seorang Islam kepada bukan Muslim.

 

Penamaan KWSP Berbeza Antara Ahli Islam & Bukan Islam

Pertama sekali, penting untuk mengetahui bagaimanakah penamaan KWSP dilakukan oleh ahli kepada waris mereka. Bagi ahli beragama Islam, waris yang dinamakan hanya bertindak sebagai Wasi (pentadbir) yang akan mengurus dan mengagihkan simpanan tersebut secara faraid.

Sebaliknya, ahli bukan Islam akan menamakan benefisiari yang berhak mewarisi simpanan tersebut. Dalam masa sama, ahli sama ada Islam mahupun bukan Islam boleh menamakan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai Pentadbir untuk keseluruhan simpanan (100%). Jika penama bukan Islam masih di bawah 18 tahun, ARB akan bertindak sebagai Pemegang Amanah sehingga dia mencapai umur tertentu untuk menerima harta tersebut.

Oleh itu, bagaimana pula dalam situasi ahli KWSP yang memeluk Islam tetapi tidak mempunyai waris beragama Islam? 

 

Simpanan KWSP adalah harta pusaka dan tidak boleh diwariskan kepada bukan Islam

Merujuk kepada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-49 telah memutuskan bahawa wang KWSP dan wang simpanan merupakan harta pusaka. Oleh kerana itu, ia wajib dibahagikan mengikut hukum faraid.

Di samping itu, hukum pembayaran simpanan KWSP bagi ahli yang memeluk agama Islam telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-61.

Muzakarah memutuskan bahawa seorang ahli KWSP yang baru memeluk Islam perlu menukar penama kepada seorang Islam berbanding benefisiari bukan Islam yang dinamakan sebelum itu. 

Dalam keadaan tiada penama Islam atau waris Islam yang berhak atas harta seorang Islam yang telah meninggal dunia, harta tetap tidak akan menjadi hak kepada penama bukan Islam. Sebaliknya kesemua simpanan KWSP itu akan diserahkan kepada Baitulmal.

Hukum syarak menetapkan bahawa orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan juga sebaliknya. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Usamah bin Zaid RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ

Maksudnya: “Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa simpanan KWSP seorang mualaf tidak boleh diagihkan kepada waris yang bukan beragama Islam.

 

Boleh wasiatkan harta pada bukan Islam

Walaupun begitu, harta seorang Islam termasuk simpanan KWSP boleh diwariskan kepada individu yang bukan Islam menerusi wasiat. Namun harus diingat, hanya 1/3 daripada jumlah harta yang boleh diwasiatkan berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqas RA:

عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia.”

Riwayat al-Bukhari

 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memberi wasiat kepada kafir adalah diharuskan sama seperti memberi sedekah dan hibah, berdasarkan kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

“Para fuqaha’ dari kalangan Hanafiah, Hanabilah dan kebanyakan daripada Syafi’eyyah menyatakan sah memberi wasiat seseorang Muslim itu kepada kafir Zimmi atau kafir Zimmi kepada Muslim. Ini kerana orang kafir itu tidak dinafikan hak permilikannya seperti sah jual beli dan hibah kepada orang kafir begitu juga dengan wasiat.”

 

Malah Allah SWT telah berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Surah al-Mumtahinah (8)

Namun, wasiat sama ada untuk penerima Muslim atau kafir harus menyatakan bahawa harta tersebut bukan untuk kegunaan maksiat termasuk  mengimarahkan gereja, penulisan kitab Injil dan Taurat dan berkenaan dengan ajaran sesat.

Di samping itu, dinyatakan juga lebih afdal sekiranya harta diwasiatkan kepada kaum keluarga terdekat yang memerlukan tetapi tidak menerima faraid harta. 

 

Simpanan KWSP tidak boleh dihibah

Dalam masa sama, harus diingat bahawa simpanan KWSP tidak boleh dihibahkan kepada waris bagi mereka yang beragama Islam. Ini kerana simpanan tersebut bukanlah dibawah penguasaan pencarum, tetapi penguasaan kerajaan. Antara syarat hibah adalah harta yang dimiliki oleh seseorang.

 

Harta pusaka seorang Islam tidak boleh diwariskan kepada waris bukan Islam

Memandangkan harta KWSP jatuh sebagai harta pusaka setelah seseorang meninggal dunia, maka ia tidak boleh diwariskan kepada waris bukan Islam. Malah, seorang ahli KWSP yang baru memeluk Islam perlu mencari penama baharu yang juga beragama Islam bagi menggantikan penama sebelum ini yang bukan Muslim.

Jika seorang mualaf tiada penama atau waris Muslim, maka kesemua hartanya akan diserahkan kepada Baitulmal. Namun dalam masa sama, 1/3 daripada jumlah harta pusaka seorang Islam, termasuk simpanan KWSP, boleh diwasiatkan kepada bukan Islam. Oleh itu, seorang mualaf masih boleh mengagihkan sebahagian daripada simpanan KWSP kepada waris bukan Islam menerusi wasiat.


Rujukan:

1. https://www.kwsp.gov.my/ms/
2. https://www.kwsp.gov.my/ms/w/artikel/penamaan-kwsp
3. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15206
4. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15209
5. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11833
6. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3674-al-kafi-1362-bolehkah-seseorang-muslim-mewasiatkan-hartanya-kepada-non-muslim

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 days ago