Ini Kepentingkan Mengehadkan Tempoh Jawatan Perdana Menteri

Ini Kepentingkan Mengehadkan Tempoh Jawatan Perdana Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju agar tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/03/2025 - Disunting : 21/03/2025

Petition to

Ini Kepentingkan Mengehadkan Tempoh Jawatan Perdana Menteri

Tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan salah satu isu pokok yang kini hangat diperkatakan dalam arena politik negara. Di Malaysia, had berkenaan masih belum ditetapkan walaupun setelah tampuk pemerintahan bertukar sebanyak sembilan kali.

Pun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersetuju untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun yang akan memerlukan pindaan dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan agar kajian bagi perkara itu diteliti dengan lebih mendalam. Beliau yang bersetuju dengan cadangan itu menerangkan bahawa ia masih memerlukan persetujuan semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen.

Untuk info, janji untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tiga tahun lalu.

 

Tempoh jawatan setiap Perdana Menteri di Malaysia

Dalam meneliti isu tempoh jawatan Perdana Menteri, eloklah sekiranya kita mengetahui berapa lamakan tempoh jawatan itu disandang oleh setiap Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

  1. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj: 13 tahun (31/8/1957 – 22/9/1970)
  2. Tun Abdul Razak Hussein: 5 tahun (22/9/1970 – 14/1/1976)
  3. Tun Hussein Onn: 5 tahun (15/1/1976 – 16/7/1981)
  4. Tun Dr Mahathir Mohamad: 22 tahun (16/7/1981 – 30/10/2003)
  5. Tun Abdullah Ahmad Badawi: 5 tahun (31/10/2003 – 3/4/2009)
  6. Datuk Seri Najib Tun Razak: 9 tahun (3/4/2009 – 9/5/2018)
  7. Tun Dr Mahathir Mohamad: 1 tahun (10/5/2018 – 24/2/2020)
  8. Tan Sri Muhyiddin Yassin: 1 tahun (1/3/2020 – 20/8/2021)
  9. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob: 1 tahun (21/8/2021 – 24/11/2022)

Tempoh sebagai Perdana Menteri paling lama dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu selama 22 tahun. Anwar pula sudah memasuki tahun ketiganya sebagai Perdana Menteri sejak dilantik pada 24 November 2022.

 

Negara dengan had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri/ Presiden

Dalam pada itu, beberapa negara sudahpun meletakkan had kepada tempoh jawatan Perdana Menteri atau Presidennya. Menurut artikel di The Conversation, majoriti sistem presiden atau separa-presiden di seluruh dunia sudahpun meletakkan had pada tempoh jawatan Presiden. 

Sebaliknya sekitar 16% yang masih belum berbuat demikian disifatkan sebagai demokrasi yang tidak berfungsi sebaiknya, tetapi adalah sistem autoritarian atau separa-autoritarian.

Kajian mendapati tiada negara yang benar-benar mempraktikkan demokrasi membenarkan presidennya untuk dilantik selama lebih lima atau enam tahun, dan berkhidmat lebih daripada dua penggal berturut-turut.

Seperti di Amerika Syarikat, Presiden hanya boleh memegang jawatan itu sebanyak dua penggal seumur hidup, dengan tempoh empat tahun setiap penggal . Sebaliknya bagi Korea Selatan, jawatan Presiden hanya dihadkan kepada satu penggal yang bersamaan dengan lima tahun sepanjang hidup.

Di samping itu, terdapat juga negara yang mengehadkan tempoh Presiden secara berterusan dan bukan bagi sepanjang hidup antaranya Brazil dengan had dua penggal (8 tahun) berturut dan Perancis dengan had dua penggal (10 tahun) berturut.

 

Status had tempoh pemimpin di negara-negara ASEAN

Dalam kalangan ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pula, hanya Malaysia, Singapura dan Cambodia yang tidak meletakkan sebarang had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri. Berikut merupakan senarai negara-negara ASEAN dengan had tempoh jawatan Perdana Menteri/ Presiden:

  • Filipina: Satu penggal 6 tahun bagi Presiden.
  • Thailand: Dua penggal 4 tahun (maksimum 8 tahun) bagi Perdana Menteri.
  • Myanmar: Dua penggal 5 tahun (maksimum 10 tahun) bagi Perdana Menteri.
  • Indonesia: Dua penggal 5 tahun (maksimum 10 tahun) bagi Presiden dan Perdana Menteri.
  • Laos: Dua penggal 5 tahun (maksimum 10 tahun) bagi Presiden dan Perdana Menteri.
  • Vietnam: Penggal 5 tahun tanpa had bagi Presiden dan Perdana Menteri.
  • Singapura: Penggal 6 tahun tanpa had bagi Presiden, dan tiada had bagi Perdana Menteri.
  • Malaysia: Tiada had bagi Perdana Menteri.
  • Cambodia: Tiada had bagi Perdana Menteri.

*Nota kaki: Brunei tiada Perdana Menteri/ Presiden kerana merupakan negara monarki.

 

Negara tanpa had tempoh Perdana Menteri/ Presiden

Walau bagaimanapun, masih banyak kerajaan termasuk di negara membangun yang tidak meletakkan had bagi tempoh jawatan Presiden atau Perdana Menteri seperti:

  • Australia
  • Belgium
  • China
  • India
  • Itali
  • Jepun
  • Kanada
  • Netherlands
  • New Zealand
  • Norway
  • Sweden
  • United Kingdom

Bagi sesetengah negara seperti Belgium, Kanada dan New Zealand, walaupun tempoh jawatan Perdana Menteri tidak dihadkan, namun pemimpin itu mestilah mengekalkan sokongan daripada ahli parlimen/ wakil bagi mengekalkan jawatannya.

 

Fidel Castro pegang rekod sebagai pemimpin paling lama di dunia

Tanpa meletakkan had tempoh bagi Perdana Menteri/ Presiden, individu yang memegang jawatan itu boleh mengekalkannya buat masa yang lama tanpa had. 

Sebagai contoh, Fidel Castro menjadi pemimpin negara paling lama di dunia apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden selama 49 tahun. Ini diikuti dengan Presiden pertama Taiwan, Chiang Kai-shek yang memegang jawatan itu selama 47 tahun. Presiden kedua Gabon, Omar Bongo Ondimba pula memegang tampuk pemerintahan negaranya selama lebih 41 tahun.

Buat masa kini, terdapat beberapa pemimpin negara, terutamanya di Afrika, dengan tempoh memegang jawatan paling lama iaitu:

  • Presiden Equatorial Guinea, Teodoro Obiang Nguema: 38 tahun.
  • Presiden Cameroon, Paul Biya: 35 tahun.
  • Presiden Congo, Denis Sassou: 34 tahun, tidak termasuk lima tahun jeda.
  • Perdana Menteri Cambodia, Hun Sen: 33 tahun.
  • Perdana Menteri Uganda, Yoweri Museveni: 32 tahun.
  • Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei: 29 tahun.
  • Presiden Sudan, Omar al-Bashir: 28 tahun.
  • Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev: 28 tahun.
  • Presiden Chad, Idriss Deby: 27 tahun.
  • Presiden Tajikistan, Emomali Rakhmon: 25 tahun.
  • Presiden Eritrea, Isaias Afwerki: 24 tahun.

 

Kepentingan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri/ Presiden

Berdasarkan artikel dalam The Conversation, mengehadkan tempoh bagi jawatan pemimpin negara bertujuan bagi melindungi demokrasi di samping memastikan persaingan demokratik dapat dijalankan.

Mengehadkan tempoh tersebut juga penting agar dapat mengekalkan pembahagian yang diperlukan antara pemimpin sebagai pejabat/ institusi dan seseorang yang memegang jawatan tersebut. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko pemimpin terbabit cuba untuk memanjangkan tempoh khidmatnya hanya bergantung kepada populariti atau karisma.

Di samping itu, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri/ Presiden dapat mewujudkan penggantian dalam kepemimipinan, sekaligus membantu rakyat menguji sama ada seorang pemimpin benar-benar penting buat kestabilan negara. 

Malah, perubahan dalam tampuk pemerintahan dapat membuktikan kepada rakyat bahawa stabiliti dan kemakmuran negara bukan semata-mata disebabkan oleh seorang pemimpin, tetapi berkait dengan parti atau gerakan politik.

Selain itu, meletakkan had terhadap tempoh jawatan pemimpin dapat melindungi kebebasan institusi perlembagaan utama seperti Mahkamah dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Ini kerana pemimpin negara seringkali memainkan peranan dalam melantik jawatan tertentu dalam institusi-institusi terbabit. Jika dibiarkan terlalu lama, mereka boleh mendapat kawalan ke atas institusi tertentu.

 

Tun Dr Mahathir tak setuju hadkan tempoh PM 10 tahun walaupun pernah mencadangkan had dua penggal sebelum ini

Di Malaysia, persetujuan Anwar untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri berdepan kritikan ramai, termasuk juga oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang merupakan Perdana Menteri paling lama di Malaysia, telah mencadangkan agar tempoh jawatan itu dihadkan kepada dua penggal ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-7 negara.

Namun kali ini, Dr Mahathir berpendapat bahawa had tempoh tersebut bukanlah ukuran terhadap kejayaan pentadbiran sesebuah negara.

“Jika 10 tahun sekali pun, sekiranya seorang itu orang yang tidak baik, dia boleh lakukan bermacam-macam benda yang merosakkan negara. Namun, sekiranya dia seorang Perdana Menteri yang berjaya, baik dan disukai ramai, maka 10 tahun tidak mencukupi. Itu pendapat sayala,” ujarnya dipetik Sinar Harian.


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1373248/janji-had-tempoh-jawatan-pm-kepada-10-tahun-akan-dilaksana-anwar
2. https://theconversation.com/presidential-term-limits-help-protect-democracy-long-ones-can-be-dangerous-243620
3. https://www.visualcapitalist.com/visualizing-term-limits-of-heads-of-government-around-the-world/
4. https://worldpopulationreview.com/country-rankings/political-term-limits-by-country
5. https://www.aljazeera.com/news/2018/3/12/the-worlds-7-longest-serving-rulers
6. https://www.reuters.com/article/world/malaysia-pushes-for-two-term-limit-for-prime-ministers-idUSKBN1Y71AI/
7. https://pru.sinarharian.com.my/info-berita/16708/had-tempoh-10-tahun-bukan-ukuran-kejayaan-perdana-menteri---tun-m

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 hours ago