Benarkah Ada Produk China ‘Dijenamakan Semula’ Sebagai Buatan Negara Lain?

Benar
Benarkah Ada Produk China ‘Dijenamakan Semula’ Sebagai Buatan Negara Lain?

Timbul dakwaan produk China diisytiharkan sebagai Buatan Malaysia sebelum dihantar ke Amerika Syarikat bagi mengelak tarif tinggi

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/04/2025 - Disunting : 26/04/2025

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Ada Produk China ‘Dijenamakan Semula’ Sebagai Buatan Negara Lain?

Pada 24 April, media antarabangsa Bloomberg melaporkan bahawa terdapat dakwaan produk China diubah laluannya agar menerusi Malaysia dan diisytiharkan sebagai produk buatan Malaysia.

Difahamkan bahawa amalan ini dilakukan bagi mengelakkan tarif AS ke atas barangan China sebanyak 145%. Sebaliknya, produk Malaysia hanya dikenakan tarif AS sebanyak 24%, menjadikan ia samaran yang bagus untuk barangan yang sebenarnya berasal dari China.

Berdasarkan laporan Bloomberg, lima peniaga memaklumkan bahawa amalan tersebut ditawarkan oleh broker dari China kepada peniaga dalam talian di AS dan mula melonjak sejak ‘Liberation Day’.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya sama ada benar-benar berlakunya amalan produk China diisytihar sebagai buatan negara lain termasuklah Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Produk China Didakwa Dipalsukan Sebagai Buatan Malaysia Bagi Elak Tarif AS Tinggi

 

Apa Itu Tarif?

Sebelum meneliti perkara tersebut, penting untuk mengetahui apakah itu tarif dan mengapakah ia dikenakan terhadap negara-negara lain.

Secara ringkasnya, tarif merupakan cukai yang dikenakan ke atas barangan import, yakni barangan yang dibeli oleh sesebuah negara daripada negara lain. Oleh yang demikian, tarif tinggi yang dikenakan akan menyebabkan harga suatu produk turut melonjak.

Menurut Tax Foundation, tarif ke atas produk import berfungsi sebagai ‘sekatan perdagangan’ yang bertujuan untuk:

  • Meningkatkan harga barangan luar negara.
  • Mengurangkan kuantiti produk dan servis oleh negara luar.
  • Mewujudkan beban ekonomi bagi pengeksport asing.

Memandangkan banyak syarikat mempunyai rantaian bekalan yang melalui banyak sempadan negara berbeza, setiap sempadan boleh menyebabkan kos produk yang lebih tinggi akibat dikenakan tarif berganda. 

Persoalannya, benarkah China mengisytiharkan produknya sebagai buatan negara lain, termasuklah Malaysia, demi mengelak daripada membayar tarif tinggi dikenakan oleh AS?

 

MITI pernah desak syarikat China elak guna nama Malaysia untuk jenamakan semula produk

Walaupun sebelum isu ini dilaporkan oleh Bloomberg, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong pada Disember 2024 telah mendesak syarikat China agar mengelakkan daripada menggunakan Malaysia untuk ‘menjenamakan semula’ produknya demi mengelak tarif AS.

Carian kami bagaimanapun tidak menemukan laporan lain berkenaan produk dari republik itu yang dibawa masuk ke negara untuk dilabelkan sebagai Buatan Malaysia.

 

Produk China diisytiharkan sebagai buatan negara lain demi elak tarif AS

Pun begitu, produk China dilaporkan telah dihantar menerusi beberapa negara termasuk Korea Selatan dalam amalan untuk mengelak tarif AS yang tinggi.

Pada 23 April, laporan Nikkei Asia menyatakan bahawa Perkhidmatan Kastam Korea (KCS)  mengumumkan bahawa terdapat syarikat China yang mengubah haluan eksport menerusi Korea Selatan dan memalsukan produk sebagai buatan negara itu. 

Pihak berkuasa Korea Selatan berkata eksport melibatkan penipuan bernilai 29.5 bilion won (RM90 juta) telah dibongkarkan pada suku pertama 2025 sahaja. Jumlah ini menghampiri eksport sedemikian bernilai 34.8 bilion won (RM110 juta) bagi keseluruhan tahun 2024. Malah, pihak terbabit juga mendapati 97% daripada produk yang dipalsukan label itu adalah yang akan dihantar ke AS.

Untuk info, barangan import dari Korea Selatan dikenakan tarif 10% oleh AS sebagai sebahagian daripada penangguhan 90 hari duti timbal balik. Ini merupakan perbezaan yang ketara dengan produk China yang dikenakan tarif 145% dan telah diambil peluang oleh syarikat China.

Sebagai contoh, pada November 2024, siasatan ke atas beberapa gudang telah dilakukan kerana disyaki terlibat dalam kes pemalsuan tilam dihasilkan di China sebagai produk Korea Selatan yang dieksport ke AS.

Satu lagi kes dilaporkan pada Januari 2025 apabila sebuah syarikat yang ditubuhkan di Korea Selatan oleh rakyat China mengimport bahan-bahan bateri dari negaranya dan mengubah pembungkusan serta label sebelum dihantar ke AS.

Kredit gambar: Daniel Bernard/ Unsplash

Selain Korea Selatan, Vietnam juga menjadi ‘destinasi’ bagi laluan produk China yang bakal dihantar ke AS. Kaunselor Kanan Trump bagi perdagangan dan pembuatan, Peter Navarro, mendakwa satu per tiga daripada eksport VIetnam ke AS sebenarnya adalah produk China yang dihantar melalui negara itu.

Pun begitu, beberapa kajian perdagangan meletakkan eksport Vietnam ke AS yang merupakan produk China antara 7% dan 16% berbanding dakwaan satu pertiga tersebut.

Menurut Reuters, satu sumber berkata, “Dalam sesetengah keadaan, kapal membawa barang buatan China berlabuh di pelabuhan Vietnam sekadar cukup masa bagi mendapatkan dokumen yang mengesahkan produk tersebut dihasilkan di Vietnam sebelum berlepas.”

Kerajaan Vietnam juga telah mengumumkan bahawa ia akan membendung ‘penipuan perdagangan’ tanpa menyatakan sebarang perincian.

Kredit gambar: Jacob Pretorius/ Unsplash

 

Pelabur China mahu buka kilang produk di Indonesia

Selain isu pemalsuan produk China di bawah jenama negara lain, Indonesia juga berdepan masalah lambakan barangan buatan China di negaranya. Menurut Asia Times, produk China berkos rendah yang sering diseludup masuk bagi mengelak tarif tinggi telah mendatangkan masalah bagi syarikat pengeluar di Indonesia.

Dikaitkan dengan tarif AS sekali lagi, terdapat juga pelabur China dilaporkan mengemukakan usul bagi membuka kilang tekstil di beberapa wilayah Indonesia. Ini dilihat sebagai satu usaha bagi mengelak tarif 145% yang dikenakan oleh AS terhadap produk China. 

“Sama ada kilang milik China di Indonesia akan dapat mengelak tarif 145% ke atas produk China adalah satu soalan sementara Trump meningkatkan perang perdagangannya dengan mengajak negara lain untuk meletakkan ‘tarif sekunder’ ke atas pengeluar China,” lapor Asia Times.

Kredit gambar: Aennnana/ Unsplash

Malaysia jadi destinasi ‘penjenamaan semula’ minyak dari Iran dan Venezuela ke China

Sekadar info, selain China, Iran juga telah menghantar produknya menerusi Malaysia sebelum dieksport ke negara lain. Menurut TNETS pada tahun 2020, Iran didakwa ‘menjenamakan semula’ minyak mentahnya yang akan dihantar ke China di Malaysia.

Data mendapati eksport minyak mentah Iran ke Malaysia telah menaik secara tiba-tiba sejak Januari tahun itu. Dalam masa sama, angka rasmi menunjukkan penurunan yang besar dalam eksport minyak Iran ke China pada empat bulan pertama 2020. Keadaan ini menimbulkan syak wasangka bahawa minyak dihantar ke Malaysia sebenarnya berakhir di China.

“Malaysia tidak pernah menjadi pembeli utama minyak Iran dan penghantaran tersebut tidak dinyatakan di dalam laporan Kastam Malaysia bagi tempoh ini. Ini menunjukkan bahawa minyak Iran yang sampai di Malaysia entah bagaimana ditukar hak pemilikannya dan dihantar di destinasi lain, kemungkinan China,” jelasnya.

Malah, amalan sedemikian juga dilaporkan dilakukan oleh Venezuela menerusi Malaysia.

 

Terdapat Produk China Yang Dihantar Ke AS Dilabel Sebagai Buatan Negara Lain

Menerusi carian kami, terdapat syarikat China yang sememangnya terlibat dengan amalan menghantar barangan buatannya ke AS menerusi negara lain di mana produk diisytiharkan sebagai dihasilkan di negara terbabit. Antara negara yang menjadi ‘destinasi’ bagi amalan sedemikian adalah Korea Selatan, Vietnam dan Malaysia.

Dalam masa sama, Malaysia turut menjadi negara pilihan bagi Iran dan Venezuela dalam penghantaran minyak mentah yang telah ‘dijenamakan semula’ ke China.

Terkait dakwaan produk China diisytiharkan sebagai Buatan Malaysia, penganalisis perdagangan Malaysia memberi amaran bahawa ini boleh menyebabkan kedudukan negara dalam pasaran global terjejas, seterusnya meletakkan pengeksport yang sah dalam risiko berdepan pemeriksaan yang lebih ketat.

Kumpulan-kumpulan perdagangan turut mendesak pihak berkuasa Malaysia agar menyiasat sebarang penyalahgunaan identiti kebangsaan di samping mempertahankan integriti eksport negara.


Rujukan:

1. https://news.bloombergtax.com/international-trade/made-in-malaysia-sellers-bombarded-with-ways-to-evade-tariffs
2. https://taxfoundation.org/taxedu/glossary/tariffs/
3. https://www.scmp.com/news/asia/southeast-asia/article/3288972/malaysia-warns-chinese-firms-using-it-base-rebadge-avoid-us-tariffs
4. https://www.business-standard.com/world-news/made-in-korea-mislabel-chinese-goods-bypass-us-trump-tariff-125042400941_1.html
5. https://asia.nikkei.com/Economy/Trade-war/Chinese-goods-evade-Trump-tariffs-via-false-Made-in-Korea-labeling
6. https://www3.nhk.or.jp/nhkworld/en/news/20250422_10/
7. https://www.bbc.com/news/articles/crm332189djo
8. https://thediplomat.com/2025/04/hold-vietnam-pledges-to-crack-down-on-illicit-transshipment-of-chinese-goods-report/
9. https://asiatimes.com/2025/04/indonesia-bracing-for-flood-of-rerouted-chinese-exports/#
10. https://tnetsglobal.com/iranian-oil-shipments-to-china-rebranded-in-malaysia-to-circumvent-sanctions/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 days ago