Adakah Review Produk Secara Jujur Boleh Didakwa Sebagai Fitnah?

Salah
Adakah Review Produk Secara Jujur Boleh Didakwa Sebagai Fitnah?

Sesetengah pelanggan akan memberi ulasan mengenai sesuatu produk yang dibeli sama ada secara positif mahupun negatif

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/05/2025 - Disunting : 12/05/2025

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Review Produk Secara Jujur Boleh Didakwa Sebagai Fitnah?

Baru-baru ini, kecoh isu seorang pemilik perniagaan yang meminta pelanggannya untuk bertemu dengannya dan membuat permohonan kerana telah memberi komen buruk berkenaan produknya. 

Difahamkan bahawa peniaga itu juga akan mengambil tindakan undang-undang jika perkara sedemikian berlaku lagi pada masa akan datang.

Dalam masa sama, food reviewer terkenal iaitu Jason turut memberi pendapatan mengenai sikap sesetengah peniaga yang tidak dapat menerima kritikan daripada pelanggan mereka.

Perkara ini secara tidak langsung mencetuskan persoalan sama ada ulasan jujur yang ditinggalkan berkenaan kualiti makanan boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan undang-undang.

Baca Artikel Berkaitan: Beri Reviu Hingga Burukkan Makanan, Wanita Mohon Maaf Kepada Kieda Crepe [Video]

Baca Artikel Berkaitan:[Video] Jason Suarakan Hak Pengguna, Persoal Ego Peniaga Melenting Apabila Dikritik

 

Akta Fitnah terpakai untuk ulasan yang tidak tepat

Sebelum itu mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap sesuatu ulasan buruk yang ditinggalkan. Ia merujuk kepada undang-undang berkaitan fitnah (defamation) seperti yang tertakluk di bawah Akta Fitnah 1957.

Menerusi undang-undang ini, seseorang boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat pihak yang mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat atau fitnah yang boleh merosakkan reputasinya. 

Terdapat dua kategori utama fitnah iaitu secara lisan (slander) dan bertulis (libel). Fitnah lisan merujuk kepada fitnah yang dilakukan secara verbal dan lebih sukar dibuktikan kerana memerlukan saksi yang mendengar suatu kenyataan. Fitnah bertulis pula dilakukan menerusi hantaran media sosial, mesej dalam aplikasi WhatsApp atau surat dan lebih mudah dibuktikan kerana terdapat rekod.

Berdasarkan Akta Fitnah 1957, individu yang didapati bersalah dalam kes fitnah boleh diperintahkan untuk menarik balik kenyataan serta membuat permohonan maaf secara terbuka. Malah, mereka juga boleh dikenakan tindakan membayar ganti rugi dalam bentuk pampasan kewangan kepada mangsa fitnah mengikut kerosakan reputasi yang dialami, yang boleh mencecah puluhan malas ratusan ribu ringgit dalam kes serius.

 

Terdapat 3 elemen dalam mewujudkan kes fitnah

Menurut laman web Azmi & Associates, suatu kenyataan atau ulasan dianggap sebagai fitnah jika ia boleh merosakkan reputasi seseorang dengan mendedahkannya kepada cemuhan awam, penghinaan, atau kesangsian.

Sebaliknya, pendapat terhadap suatu perkara berkait kepentingan awam yang dilakukan tanpa niat jahat dan berdasarkan fakta merupakan kenyataan yang adil (fair comment).

Berdasarkan penjelasannya, perbezaan antara kedua-duanya bergantung kepada sifat kenyataan tersebut. Kenyataan fitnah mendakwa mengandungi fakta yang boleh merosakkan karakter seseorang, manakala kenyataan yang adil memberi ruang kepada individu untuk mengetengahkan pendapatnya walaupun yang kasar, jika dibuat secara munasabah dan dengan niat baik (in good faith).

Terdapat tiga elemen yang boleh mewujudkan kes fitnah iaitu:

  1. Kenyataan berbentuk fitnah
  2. Kenyataan merujuk kepada plaintif
  3. Kenyataan diterbitkan atau dimaklumkan kepada pihak ketiga

 

Laporkan fakta tentang produk beserta bukti tidak dianggap fitnah

Bercakap dengan seorang peguam, dia memaklumkan bahawa tindakan saman ke atas ulasan makanan kebiasaannya dilakukan di bawah Akta Fitnah 1957. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu dibuktikan termasuklah ulasan yang dilakukan bersifat tidak benar dan berniat untuk menjatuhkan reputasi perniagaan.

Jika seseorang melaporkan perkara berfakta tentang suatu produk walaupun berbaur negatif, ia tidak boleh dianggap sebagai fitnah. Sebagai contoh, seorang individu yang mengadu produk dijual terlalu mahal yang dapat dibuktikan dengan resit pembelian.

Ini juga termasuklah melaporkan produk yang dibeli sudah rosak seperti busuk, basi atau dihinggap ulat, yang disertakan dengan gambar sebagai bukti.

Malah jika pihak peniaga berniat untuk mengambil tindakan undang-undang seperti saman akibat cubaan menjatuhkan reputasinya, bukti yang dikumpul boleh digunakan bagi menafikan tuduhan tersebut. 

“Syarikat mempunyai setiap hak untuk memulakan sebarang tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang dipercayai membuat cubaan dengan niat untuk menjatuhkan reputasi mereka melalui pengeluaran pernyataan berbaur fitnah. Namun individu tersebut perlulah memberi justifikasi yang kukuh beserta bukti sebagai pembelaan ke atas tuduhan fitnah tersebut,” ujarnya.

 

Komen makanan tidak sesuai dengan cita rasa bukanlah fitnah

Dalam situasi membuat ulasan makanan, dia menjelaskan bahawa kenyataan seseorang yang merasakan suatu produk itu tidak sedap atau tidak sesuai dengan cita rasanya dianggap sebagai komen yang adil dan tidak boleh dijatuhkan sebagai fitnah.

Pun begitu, dia mengingatkan bahawa terdapat juga individu yang secara sengaja meninggalkan sebahagian fakta bagi mengelirukan orang ramai dan boleh menjadi fitnah.

Di samping itu, niat menjatuhkan fitnah juga bergantung kepada situasi. Sebagai contoh, jika seorang individu telah mengambil semua langkah berjaga-jaga dalam mengeluarkan kenyataan yang dianggap biasa kepada orang ramai, ia boleh menjadi sebagai bentuk justifikasi terhadap dakwaan syarikat bahawa dia berniat menjatuhkan reputasi.

Namun katanya lagi, jika individu tersebut merupakan seorang bekas pekerja di sesebuah syarikat dan telah mengeluarkan kenyataan tidak benar, maka kebarangkalian wujud niat untuk menjatuhkan fitnah adalah sangat tinggi.

Contoh lain yang boleh dianggap sebagai fitnah pula adalah pempengaruh yang dibayar oleh pesaing bagi menjatuhkan reputasi sesebuah perniagaan atau yang sengaja mengeluarkan kenyataan fitnah demi meningkatkan bilangan pengikut di media sosial.

Apabila ditanya berkenaan pempengaruh yang memberikan ulasan jujur terhadap makanan, dia berkata kenyataan yang dikeluarkan perlulah dengan secara berhati-hati, terutamanya bagi mereka yang mempunyai jumlah pengikut tinggi. 

 

Peguam berpendapat tiada niat fitnah dalam kes baru-baru ini

Berkenaan kes di atas, dia turut berpendapat bahawa tiada sebarang niat fitnah dari pelanggan terbabit, lebih-lebih lagi setelah dimaklumkan bahawa produk tersebut tidak sesuai dengan citarasanya sendiri.

Katanya lagi, walaupun pelanggan itu membandingkan dengan produk lain, namun ia tidak menjadi masalah sekiranya perkara itu dapat dibuktikan benar.

Dalam masa sama, dia turut mengingatkan bahawa kenyataan tidak benar yang dilakukan secara bertulis walaupun menerusi status WhatsApp boleh dihukum secara fitnah memandangkan dapat dilihat oleh kenalannya.

Tangkap layar review yang diberikan oleh seorang pelanggan jenama pencuci mulut terkenal.

 

Ulasan Secara Jujur Tidak Semestinya Berniat Fitnah

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ulasan yang diberi secara jujur, walaupun berbaur negatif, dan dibuat berdasarkan cita rasa sendiri tidak sepatutnya menjadi tuduhan fitnah. 

Sebaliknya bagi ulasan yang negatif yang diberikan dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang boleh didakwa sebagai fitnah dan dikenakan tindakan undang-undang menerusi Akta Fitnah 1957.

Pun begitu, rakan peguam kami memaklumkan bahawa peniaga atau syarikat mempunyai hak untuk memulakan tuntutan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang dirasakan berniat menjatuhkan reputasinya. Oleh itu diingatkan bahawa sebarang kenyataan negatif yang dilakukan terhadap sesuatu produk disertakan dengan bukti dalam bentuk gambar.


Rujukan:

1. https://lom.agc.gov.my/ilims/upload/portal/akta/LOM/EN/Act%20286.pdf
2. https://www.azmilaw.com/insights/social-media-influencers-honest-review-v-defamation

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 days ago