Betul Ke Tak Boleh Makan Ketika Waktu Imsak Jika Berpuasa?
Oleh : sharifahtrp
Diterbitkan : 3/9/26 - Disunting : 3/9/26
Keputusan:
Dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, bersahur sebelum masuk waktu solat Subuh merupakan sunat yang sangat dituntut dalam Islam kerana membezakan antara puasa seorang Muslim dan ahli kitab.
Ini adalah seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Amr bin al-‘As RA, Rasulullah SAW bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: “Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”
Riwayat Muslim (1096)
Antara perkara yang diamalkan sesetengah golongan umat Islam ialah tidak lagi makan setelah masuknya waktu Imsak, kebiasaannya kira-kira 10 minit sebelum azan Subuh di Malaysia.
Namun amalan ini mungkin menimbulkan kebingungan dalam masyarakat Muslim sama ada seseorang benar-benar tidak boleh makan atau minum ketika waktu Imsak jika berpuasa pada hari tersebut.
Umat Islam Berpuasa Selepas Subuh Hingga Maghrib
Sebelum itu, penting untuk mengetahui waktu berpuasa mengikut syariat, iaitu seperti firman Allah SWT dalam ayat 187 surah Al-Baqarah:
وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam, iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
Menurut tafsiran Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah, ayat di atas bermakna seseorang yang mahu berpuasa boleh makan dan minum sejak malam hinggalah ternampaknya cahaya subuh atau fajar sadiq. Ini bermakna seorang Muslim yang berpuasa wajib menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkannya dari waktu selepas Subuh, sehinggalah masuk waktu Maghrib.
Oleh itu, bagaimana pula dengan waktu imsak? Dari segi istilah, imsak bermakna menahan diri dari sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa.
Ulama Arab Saudi, Assim al-Hakeem, terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat Islam apabila bercakap soal waktu seseorang perlu berhenti makan ketika sahur, dengan sesetengah daripada mereka yang mempraktikkan berhenti sahur sebelum masuk waktu imsak.
Namun menurut beliau, Nabi Muhammad SAW telah makan dan minum sehinggalah azan Subuh mula berkumandang. Sebaliknya, meletakkan waktu Imsak sebagai waktu berjaga-jaga merupakan satu bentuk pembaharuan yang dibuat oleh umat Islam. Assim turut menjelaskan bahawa sunat untuk seseorang melewatkan waktu sahur iaitu sehingga betul-betul sebelum masuk waktu Subuh.
“Lebih lewat anda bersahur, lebih bagus untuk anda sebagai pengikut sunnah Rasulullah SAW,” kata beliau.
@muslim_vibez.ghWhy Drinking is allowed after adhan (Suhoor time)♬ original sound – MUSLIM_vibez
Waktu Imsak Sebagai Waktu Berjaga-Jaga Agar Tak Terbatal Puasa
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagaimanapun menjelaskan waktu imsak sebagai waktu untuk ihtiyat atau berjaga-jaga agar seseorang tidak makan atau minum melebihi waktu solat Subuh sehingga membatalkan puasanya.
Dalam masa sama, terdapat hadis yang menceritakan tentang sifat sahur Nabi SAW serta arahan Baginda ketika bersahur, antaranya:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.
Maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.
Riwayat Al-Bukhari (1921), Riwayat Al-Tirmizi (703)
Bacaan 50 ayat al-Quran dijangkakan mengambil masa kira-kira lima ke 10 minit, iaitu bersamaan dengan waktu imsak yang biasanya ditetapkan.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti menegaskan bahawa waktu imsak bukanlah waktu bermulanya puasa dan seseorang masih boleh makan dan minum sehingga sebelum masuk waktu solat Subuh.
Mengulas isu sama, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata sunat untuk seseorang berhenti makan dan minum ketika masuk waktu Imsak. Jika dalam keadaan seseorang terlewat bangun untuk sahur, beliau berkata mereka disunatkan agar makan dan minum dengan cepat selepas masuk waktu Imsak (sebelum masuk waktu Subuh).
“Nabi SAW tak makan (ketika sahur) sehingga waktu Subuh sebelum berhenti. Nabi SAW berhenti awal, lebih kurang 50 ayat al-Quran, baru masuk waktu Subuh. 50 ayat al-Quran itu diuji oleh para ulama, lebih kurang 10 minit. Itu waktu imsak,” jelasnya.
Wajib Luahkan Makanan & Minuman Jika Terdengar Azan Subuh Ketika Puasa
Bagaimana pula dalam keadaan seseorang yang sedang bersahur dan tiba-tiba kedengaran azan Subuh berkumandang? Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, jika terdapat makanan atau minuman di dalam mulut saat mendengar azan, seseorang perlulah meluahkannya dan teruskan berpuasa. Jika makanan atau minuman itu ditelan, puasanya akan terbatal dan wajib digantikan semula.
Mungkin ada yang pernah mendengar hadis bahawa Rasulullah SAW membenarkan seseorang menghabiskan makanan atau minumannya walaupun azan telah berkumandang, seperti sabda Baginda dalam riwayat Abu Hurairah RA:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendengar seruan (azan) dan bekas berada di tangan kamu, maka janganlah kamu meletaknya (bekas) sehingga sempurna hajatnya daripada itu”.
Riwayat Abu Daud
Namun para ulama bersepakat bahawa azan (al-nida’) yang dimaksudkan ialah azan pertama subuh oleh Bilal bin Rabah, iaitu sebelum terbitnya fajar dan masuk waktu Subuh. Azan ini bertujuan sebagai petanda kepada orang yang sedang berqiamullail untuk pulang ke rumah bersahur dan untuk mengejutkan orang yang tidur.
Sebaliknya seseorang boleh bersahur sehingga berkumandanganya azan yang kedua yang menandakan benar-benar masuknya waktu Subuh. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”.
Riwayat al-Bukhari (620)



0
Komen