Benarkah Dakwaan Melayu Lebih Cepat Dikenakan Tindakan 3R Berbanding Pihak Lain?
Written by sharifahtrp — March 12, 2026

Benarkah Dakwaan Melayu Lebih Cepat Dikenakan Tindakan 3R Berbanding Pihak Lain?

Oleh : sharifahtrp

Diterbitkan : 3/12/26 - Disunting : 3/12/26

Keputusan:

Please complete the required fields.



Dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia, setiap individu memegang tanggungjawab untuk menghormati kepercayaan yang diamalkan sesiapa sahaja. Dalam pada itu, negara telah menggubal undang-undang yang melarang mana-mana pihak untuk menyentuh isu sensitif melibatkan agama (religion), bangsa (race) dan raja (royalty) atau lebih dikenali sebagai 3R, bagi melindungi keharmonian yang dinikmati sekian lama.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan isu 3R masih menjadi antara masalah utama di dalam negara apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyentuh isu sensitif sama ada dengan sengaja mahupun tidak.

Walaupun kerajaan dilihat mengambil tindakan tegas dalam isu 3R, namun terdapat pihak yang menimbulkan dakwaan bahawa tindakan hanya diambil terhadap golongan tertentu dan bersifat selektif.

 

Ada Yang Percaya Tindakan Isu 3R Tidak Konsisten

Ini adalah seperti yang dijelaskan oleh bekas Menteri Belia & Sukan Khairy Jamaluddin dalam Episod 191 siri podcast Keluar Sekejap, apabila terdapat komen yang ditinggalkan bahawa penguatkuasaan yang diambil bagi kes membabitkan isu 3R adalah tidak konsisten atau selektif.

Menurut komen-komen sedemikian, orang Melayu Islam dikatakan akan lebih cepat dikenakan tindakan undang-undang apabila membabitkan isu 3R berbanding bangsa lain. Sebaliknya tiada sebarang penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap pelaku yang menghina agama Islam.

“Tetapi bila jelas ditunjuk bahawa orang ini dituduh, orang tak cakap pun dia dituduh. Ada persepsi yang mengatakan bahawa bila Melayu cakap sahaja, cepat kena tindakan undang-undang. Bila bukan Melayu menghina atau mengguris agama Islam, tak ada tindakan undang-undang. Saya tak pasti, adakah ini persepsi atau realiti? Sebab kalau tengok dalam kes ini, memang kena tuduh pun,” kata KJ merujuk kepada kes seorang pelajar yang memijak al-Quran sekitar Februari 2026.

Mengulas perkara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata situasi sedemikian boleh dikaitkan dengan budaya ‘whataboutism’ yang turut berlaku di negara lain apabila wujudnya ketegangan antara dua pihak. Beliau melihat perkara itu sebagai simptom keadaan polarisasi yang wujud dalam masyarakat negara. Dalam situasi ini, mana-mana pihak boleh merasakan dirinya sebagai ‘mangsa keadaan’ dan bukanlah tertakluk kepada kaum Melayu semata-mata.

 

 

Rumusan Beberapa Kes 3R Di Malaysia Yang Telah Dikenakan Dakwaan Atau Tindakan

Bagi menjawab persoalan ini, kami telah melakukan carian untuk menyemak sama ada benarkah golongan bukan Melayu tidak dikenakan atau lambat dikenakan tindakan apabila membabitkan isu 3R berbanding kaum Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak. Carian kami bagaimanapun tidak menemukan statistik yang lengkap beserta etnik atau agama pelaku dalam kes membabitkan isu 3R.

Oleh itu, di sini kami mengumpulkan beberapa kes utama 3R yang berlaku di dalam negara, di mana pelaku telah didakwa atau dikenakan tindakan di bawah undang-undang, yang direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Pelajar UMPSA Pijak Al-Quran

Tarikh kesalahan dilakukan: Hujung Februari 2026

Tarikh kesalahan didakwa: 3 Mac 2026

Sekitar hujung Februari 2026, kecoh apabila tular hantaran di media sosial Threads yang menunjukkan imej al-Quran dipijak oleh seorang individu. Sehubungan itu, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) K. Vikneswaran, 21, telah ditahan reman dari 25 Februari hingga 3 Mac.

Pada 3 Mac, dia telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan satu komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kemudiannya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin

 

Lelaki Hina Al-Quran & Pemergian Allahyarham Pak Lah

Tarikh kesalahan dilakukan: April 2025

Tarikh hukuman dijatuhkan: 11 Mac 2026

Lelaki bernama John Mule Alai, 48, yang berasal dari Sarawak telah dikenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 atas kesalahan memuat naik komen di Facebook yang menghina Al-Quran dan menyinggung pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2025. Dia telah didakwa di bawah  Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan aplikasi media sosial secara tidak wajar dengan niat mengganggu orang lain.

 

Isu Tarian ‘Vel Vel’ Oleh Kru 3 Pagi Era FM

Tarikh tular video: Awal Mac 2025

Tarikh kompaun dikenakan: 11 Mac 2025

Sekitar awal Mac 2025, kecoh apabila penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin didakwa melakukan aksi yang mempersenda agama Hindu iaitu dengan menyebut perkataan ‘Vel Vel’ yang merupakan salah satu ucapan suci agama itu dan melakukan gerak-geri yang tidak wajar.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka serta pihak pengurusan tertinggi Era FM telah mengemukakan permohonan maaf, sebelum tiga penyampai radio terbabit direhatkan buat sementara siasatan dalaman dijalankan. Satu notis penggantungan kemudiannya telah dihantar oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 7 Mac.

Pada 11 Mac, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan kadar kompaun RM250,000 terhadap pengendali stesen radio Era FM iaitu Maestra Broadcast Network System (MBNS) Sdn Bhd atas isu tersebut, manakala lesen penyiaran Era FM tidak digantung selepas meneliti rayuan yang dihantar.

 

Harith Iskander & Cecelia Yap Berjenaka Dengan Perkataan ‘Ham’

Tarikh hantaran dibuat: 18 Januari 2025

Tarikh hukuman dijatuhkan: 5 Mac 2025

Pelawak terkenal negara, Harith Iskander, turut berdepan hukuman susulan tindakan memuat naik hantaran jelik di media sosial yang melibatkan agama Islam. Dalam hantaran itu, dia ‘berjenaka’ bahawa berasa imannya tergugat apabila melihat produk ‘Ham Sap Kopi’ kerana perkataan ‘ham’ yang sering kali dikaitkan dengan babi membuat dia bingung sama ada itu adalah makanan atau minuman. Hantaran ini dibuat susulan isu produk ‘Ham & Cheese’ di pasaraya KK Mart di Universiti Malaya tidak lama sebelum itu.

Dalam masa sama, pengguna Facebook dikenali sebagai Cecelia Yap turut meninggalkan komen yang menghina Islam pada hantaran oleh pelawak itu.

Pada 5 Mac 2025, kedua-dua mereka dikenakan kompaun RM10,000 masing-masing oleh MCMC atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam mengikut  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Isu Stokin Di KK Mart Ada Kalimah Allah 

Tarikh tular gambar: 13 Mac 2024

Tarikh kesalahan didakwa: 26 Mac 2024

Tarikh hukuman dijatuhkan: 15 Julai 2024

Pada 13 Mac 2024, tular apabila pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, memuat naik hantaran di Facebook yang memaparkan imej stokin dengan kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway. Pada malam hari sama, KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf atas penjualan stokin berjenama Miranosock yang diambil dari China dan serta-merta menarik balik jualannya.

Isu ini turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim, Menteri Agama Dr Mohd Na’im, dan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus. Susulan laporan daripada orang ramai, pihak polis telah membuka siasatan sekitar minggu yang sama.

Pada 26 Mac, kurang dua minggu daripada tarikh tular, Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bersama isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang juga dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama, disebabkan melukakan perasaan umat Islam berhubung isu berkenaan.

Akhirnya pada 15 Julai tahun sama, Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu tersebut.

 

Berdasarkan rumusan di atas, boleh dikatakan tindakan terhadap isu 3R diambil secara konsisten tanpa mengira kaum atau latar belakang pelaku. Dari segi kepantasan hukuman dijatuhkan pula, ia mungkin bergantung kepada banyak perkara termasuklah apabila pelaku yang didakwa mengaku tidak bersalah.

Namun ini hanyalah berdasarkan pemerhatian kami ke atas beberapa ke 3R yang hangat dalam negara memandangkan tiada statistik rasmi yang berjaya ditemukan bagi tujuan ini.

 

Siasatan Babit Isu 3R Tidak Berat Sebelah – Saifuddin Nasution

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan membabitkan isu 3R di dalam negara dijalankan dengan adil dan tidak bersifat berat sebelah. Beliau menjelaskan bahawa pihak polis bertanggungjawab menjalankan siasatan selepas menerima aduan ataupun laporan, sebelum kertas siasatan kes yang diselesaikan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pendakwaan di mahkamah.

Pada 26 Februari 2026, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa peningkatan dalam jumlah penahanan membabitkan isu 3R adalah disebabkan oleh agenda politik. Ini selepas penahanan yang dijalankan membabitkan penyelaras himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah), Zamri Vinoth dan Cikgu Chandra.

“Semua individu yang melakukan kesalahan akan disiasat tanpa mengira status. PDRM komited menangani isu yang boleh menyebabkan kegentaran awam, menggugat keamanan negara dan keharmonian masyarakat. PDRM perlu diberi kepercayaan untuk menjalankan siasatan secara telus dan semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu 3R,” katanya.

 

 


Rujukan:

0

Komen