Benarkah Ada Makanan & Minuman Yang Tak Boleh Diberi Kepada Bayi Kecil?
Oleh : sharifahtrp
Diterbitkan : 3/31/26 - Disunting : 3/31/26
Keputusan:
Secara umumnya, kebanyakan bayi akan mula diberi makan pada usia enam bulan. Namun dalam membesarkan si kecil, pelbagai persoalan bermain di minda ibu ayah.
Bila boleh mula minum air kosong? Bila boleh bagi bayi makanan yang ada garam dan gula? Boleh ke bayi makan madu?
Di sini kami senaraikan makanan dan minuman yang dilarang sama sekali serta perlu dielakkan buat bayi dan kanak-kanak yang masih kecil.
Kandungan Garam Tinggi Boleh Sebabkan Kematian Bayi
Menurut Healthline, bayi tidak boleh diberi garam tambahan memandangkan buah pinggangnya masih belum berkembang sepenuhnya dan tidak boleh menapis jumlah garam yang banyak.
Malah, bayi yang diberi terlalu banyak garam boleh mengalami masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung apabila dewasa kelak.
Dalam kes yang ekstrem, bayi yang mengambil garam terlalu banyak boleh menyebabkan dia terpaksa dikejarkan di hospital, malah sehingga maut.
Selain itu, bayi juga dilahirkan menggemari makanan yang manis, masin dan mempunyai rasa umami. Oleh itu jika makanan masin diberi secara berulang, bayi mungkin akan lebih memilih makanan dengan tinggi kandungan garam tambahan.
Bayi Terima Kandungan Natrium Secukupnya Dari Susu & Makanan Semula Jadi
Walaupun manusia memerlukan natrium yang terkandung di dalam garam setiap hari, namun bayi bawah enam bulan sudah mendapat keperluan hariannya daripada susu ibu atau susu formula sepenuhnya. Manakala bayi antara tujuh ke 12 bulan mendapatkan natrium dari susu dan yang wujud secara semula jadi dalam makanan.
Dalam pada itu, pakar mencadangkan agar tiada sebarang garam ditambah ke makanan bayi sebelum mencapai usia setahun. Malah ada juga yang memberi saranan agar bayi tidak diberi garam tambahan sehingga umur dua tahun.
Gula Tambahan Tidak Digalakkan Buat Bayi Bawah 2 Tahun
Selain garam, American Academy of Pediatrics (AAP) juga tidak menggalakkan gula tambahan diberi kepada bayi sebelum usia dua tahun. Sebaliknya gula semula jadi seperti yang terkandung dalam buah-buahan atau susu sudah mencukupi bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi.
Satu kajian meneliti kesan catuan gula terhadap individu yang lahir antara Oktober 1951 hingga Mac 1956, dengan mereka yang lahir sebelum Julai 1954 berdepan catuan gula sama ada sejak di dalam kandungan atau sebelum usia dua tahun. Kajian mendapati risiko diabetes dan darah tinggi berkurang bagi mereka selepas puluhan tahun kemudian.
“Risiko menurun dengan pendedahan kepada catuan gula yang lebih lama, khususnya catuan yang berterusaan lebih enam bulan selepas dilahirkan. Mereka dengan pendedahan catuan paling lama mempunyai 35% kurang risiko diabetes dan 20% kurang risiko darah tinggi berbanding mereka yang tidak pernah berdepan catuan gula,” menurut dapatan kajian tersebut.
Memetik BBC, pakar mempercayai bahawa 1,000 hari pertama bayi merupakan tempoh mustahak yang boleh membentuk kesihatan seseorang pada masa hadapan, termasuklah sama ada mereka menggemari makanan manis.
Madu Dilarang Bagi Bayi Bawah 1 Tahun
Bagi kebanyakan orang, madu sering digunakan bagi menggantikan gula dan dianggap lebih sihat. Namun pemberian madu kepada bayi bawah satu tahun adalah dilarang sama sekali, sama ada secara mentah ataupun dimasak.
Ini kerana madu boleh mengandungi bakteria Clostridium botulinum yang menghasilkan neurotoksin di dalam usus bayi, seterusnya menyebabkan botulism yang menyerang sistem saraf sehingga dapat menyebabkan kelumpuhan.
Elak Ikan Tinggi Merkuri Buat Kanak-Kanak Kecil
Selain garam dan gula tambahan, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) juga memberi saranan agar mengelakkan memberi ikan dengan kandungan merkuri tinggi kepada kanak-kanak kecil, seperti King Mackerel, jerung, ikan todak dan tuna mata besar. Ini kerana merkuri boleh membawa mudarat kepada otak dan sistem saraf kanak-kanak.
Namun diingatkan bahawa kebanyakan ikan tidak mempunyai kandungan merkuri tinggi dan merupakan sumber protein yang penting untuk perkembangan otak.
Bayi Hanya Boleh Minum Air Kosong Selepas 6 Bulan
Satu lagi perkara yang menjadi perdebatan dalam kalangan orang ramai adalah sama ada bayi kecil boleh diberi minum air kosong kerana risau mereka tidak cukup air dan dehidrasi, terutamanya ketika cuaca panas.
Namun menurut Cleveland Clinic, AAP menegaskan saranannya agar bayi tidak diberi sebarang air kosong dalam beberapa bulan awal hidupnya. Tambahnya lagi, bayi sudah mendapatkan hidrasi yang secukupnya daripada susu ibu atau susu formula .
Memberi air kosong kepada bayi dengan saiz perut yang masih sangat kecil bermakna kurang nutrisi yang akan diterima olehnya apabila pengambilan kalori semakin berkurang.
Malah dalam kes serius, air kosong boleh mengganggu keseimbangan natrium dalam tubuh badan bayi dan menyebabkan ‘keracunan air’ yang dikenali sebagai hyponatremia. Terlalu banyak air dalam tubuh badan bayi boleh mencairkan darah seterusnya mengakibatkan simptom yang serius seperti sawan, koma dan kerosakan otak kekal.
Hanya beri air kosong kepada bayi selepas usia enam bulan iaitu sewaktu mereka sudah mula makan.
Susu Lembu Boleh Sebabkan Pendarahan Usus Pada Bayi Kurang Setahun
Bagaimana pula dengan susu lembu seperti susu penuh krim, susu tepung atau lain-lain susu yang bukan susu formula? Menurut CDC, susu lembu elok diberikan kepada bayi hanya selepas berusia satu tahun, kerana ia berisko menyebabkan pendarahan usus sebelum usia itu.
Ini kerana susu lembu mengandungi terlalu banyak kandungan protein dan mineral yang menyebabkan buah pinggang bayi perlu bekerja lebih keras untuk menapisnya. Perkara ini sama juga bagi susu kambing.



0
Komen