Pada 29 Mac 2026, satu insiden berlaku di Jalan Raya Barat, Klang membabitkan seorang pemandu mabuk yang merempuh penunggang motosikal sehingga meragut nyawanya.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memandu secara berbahaya dan memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar penunggang motosikal terbabit.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata hasil ujian saringan mendapati pemandu yang memandu kereta jenis Honda City terbabit di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah.
Dalam pada itu, banyak pihak menggesa agar tindakan keras diambil terhadap golongan pemabuk yang menyebabkan kehilangan nyawa orang awam.
Malah, blok pembangkang turut menggesa kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Baca Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Ramai Gesa Undang-undang Lebih Ketat
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Mabuk Sebabkan Kematian: Pembangkang Desak Kerajaan Kaji Hukuman Mati
Insiden ini membangkitkan satu persoalan, iaitu sama ada kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah lebih kerap di Malaysia berbanding negara-negara jiran. Berikut kami perincikan data bagi negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia sebagai perbandingan.
Di Malaysia sendiri, pemandu mabuk bukanlah sebab utama berlakunya kemalangan maut. Memetik FMT, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Oktober 2025, berkata hanya 0.5% kemalangan maut di Malaysia yang disebabkan oleh pemandu mabuk bagi tempoh antara 2022 hingga Jun 2025.
Menurutnya, statistik kemalangan maut akibat pemandu mabuk adalah seperti berikut:
Malah, Laporan Status Global 2018 berhubung Keselamatan Jalan Raya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan Malaysia antara negara terendah dengan peratus kematian kemalangan akibat alkohol, iaitu kurang 1%. Peratus ini adalah lebih rendah berbanding negara-negara maju termasuk Singapura, Jepun, Korea Selatan, Kanada dan United Kingdom.

Menurut Awani, data oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa sebanyak 149 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk telah didakwa bagi tempoh Januari 2021 hingga September 2024.
Memandu dalam keadaan mabuk merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman berbeza bergantung kepada keadaan seperti berikut:
Laporan sama bagi tahun 2018 mencatatkan Singapura mempunyai 6% kematian akibat kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan faktor alkohol.
Memetik Straits Times, memandu dalam keadaan mabuk merupakan antara masalah utama kesalahan jalan raya di republik itu, dengan 1,716 pelaku telah ditahan pada 2025. Pada tahun sama, sebanyak 156 kes kemalangan akibat pemandu mabuk dicatatkan yang termasuk 12 kematian. Apabila dibandingkan dengan jumlah kemalangan maut pada tahun itu, 8% kematian jalan raya di Singapura adalah disebabkan oleh pemandu mabuk.
Walaupun angka tahanan dan kemalangan akibat pemandu mabuk berkurang sedikit berbanding tahun 2024, namun jumlah kematian kekal sama bagi kedua-dua tahun.
Berdasarkan laporan lain oleh Straits Times, data bagi Januari hingga September 2024 mencatatkan 123 kemalangan di Singapura yang disebabkan oleh pemandu mabuk yang mengakibatkan 10 kematian. Di samping itu, sebanyak 1,260 pemandu ditahan atas kesalahan sama.
Memetik CNA, undang-undang Singapura menetapkan had 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas yang akan dikurangkan kepada 15mg/100ml nafas.
Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda antara SGD2,000 ke SGD10,000, atau dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya dua tahun. Manakala mereka yang mengulangi kesalahan itu boleh didenda antara SGD5,000 ke SGD20,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta tidak dibenarkan memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Di samping itu, Laporan Status Global 2018 berhubung Keselamatan Jalan Raya WHO turut mencatatkan 14% kematian akibat kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan faktor alkohol di Thailand.
Satu artikel jurnal yang diterbitkan pada 2022 mendedahkan bahawa Thailand mempunyai kematian akibat kemalangan jalan raya terbanyak di Asia Tenggara, iaitu pada kadar 32.7 bagi setiap 100,000 orang, atau purata 60 orang sehari. Daripada keseluruhan jumlah kematian akibat kemalangan, sebanyak 14% disebabkan oleh memandu dalam keadaan mabuk.
Malah masalah ini adalah lebih ketara ketika negara baru sahaja menyambut perayaan Tahun Baharu. Memetik The Nation, The Department of Disaster Prevention and Mitigation (DDPM) menyenaraikan sebanyak 187 kemalangan jalan raya dengan 21 kematian pada 3 Januari 2026. Antara punca utama adalah memandu melebihi had laju (35.29%) dan memandu dalam keadaan mabuk (21.39%).
Menteri Kehakiman Pol Lt Gen Rutthapon Naowarat berkata memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan punca utama kemalangan ketika tempoh cuti. Dia memetik statistik kesalahan pada 2 Januari 2026, iaitu sebanyak 1,349 kes memandu sambil mabuk daripada keseluruhan 1,401 kes. Wilayah dengan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk tertinggi ialah Nonthaburi iaitu sebanyak 290 kes.
Malah daripada 30 Disember 2025 hingga 2 Januari 2024, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol merangkumi hampir 95% daripada jumlah kesalahan jalan raya.
Berdasarkan Bangkok Post, statistik bagi 31 Disember 2025 menunjukkan bahawa 95.04% kesalahan membabitkan memandu di bawah pengaruh, dengan 56 kes melibatkan bahan lain.
Walaupun tidak dinyatakan dalam laporan WHO di atas, namun Indonesia juga mencatatkan jumlah kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya disebabkan oleh pengaruh alkohol.
Merujuk satu jurnal artikel yang diterbitkan pada 2025, data bagi tahun 2019 mencatatkan 888 kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh alkohol di seluruh negara itu, dengan 241 jumlah kematian. Penyelidik berkata bahawa angka yang dicatatkan ini menunjukkan bahawa alkohol merupakan salah satu faktor utama dalam kemalangan jalan raya di Indonesia.
Jumlah kemalangan menunjukkan sedikit penurunan bagi tahun 2020, dengan 726 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan sekurang-kurangnya 201 kematian disebabkan oleh pemandu mabuk. Data oleh Dinas Perhubungan Indonesia menunjukkan bahawa 60% kemalangan yang berlaku adalah dipengaruhi oleh kemampuan ataupun tingkah laku pemandu, yang termasuk berada di bawah pengaruh alkohol.
Sebagai perbandingan, data Polri yang dipetik dari laman web Kompas menunjukkan sejumlah 107,500 kemalangan jalan raya yang dicatatkan bagi tahun 2019. Ini bermakna peratus kes kemalangan disebabkan oleh alkohol adalah sekitar 0.8% sahaja. Manakala bagi kematian pula, sekitar 1% kemalangan maut di Indonesia yang disebabkan oleh pengaruh alkohol berbanding jumlah keseluruhan 23,530 kematian.
Menurut Moto GP Indonesia, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah merupakan kesalahan yang akan dikenakan tindakan tegas, dengan had alkohol di dalam darah 0% bagi pemandu komersial dan 0.1% bagi pemandu persendirian. Pelaku boleh dikenakan hukuman denda, digantung lesen serta dipenjara jika disabit kesalahan.
Berdasarkan perbandingan data di atas, jelas bahawa Malaysia merupakan antara negara dengan kes kemalangan maut disebabkan oleh pengaruh alkohol yang terendah di Asia Tenggara. Peratus kemalangan maut disebabkan oleh pemandu mabuk yang tertinggi dicatatkan oleh Thailand, diikuti Singapura dan Indonesia.
Namun harus diingat bahawa data yang digunakan merangkumi statistik bagi tahun berbeza iaitu 2022 hingga Jun 2025 bagi Malaysia, 2025 bagi Singapura, 2022 bagi Thailand dan 2019 bagi Indonesia, akibat kekangan data yang tersedia bagi kegunaan awam.