Rantaian perdagangan minyak global terganggu akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran. Iran kemudiannya telah menutup laluan Selat Hormuz untuk memberi tekanan ekonomi terhadap Amerika Syarikat, sekaligus menyekat perjalanan 20% perdagangan minyak mentah di dunia. Malaysia turut merasai impak daripada konflik di Asia Barat ini, apabila harga minyak mentah global naik mendadak, seterusnya meningkatkan harga petroleum di dalam negara.
Namun timbul kebingungan dalam kalangan orang ramai tentang mengapa harga minyak dalam negara turut melonjak sedangkan Malaysia juga merupakan antara negara pengeluar bahan api petroleum.
Setakat 9 April, harga petroleum di stesen minyak adalah RM4.27 seliter bagi RON95 tanpa subsidi, RM5.35 seliter bagi RON97 dan RM6.72 seliter bagi diesel di Semenanjung Malaysia. Harga diesel ini merupakan harga tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah.
Baca Artikel Berkaitan: Harga Bahan Api Tertinggi Dalam Sejarah, Batik Air Malaysia Tawar Cuti Tanpa Gaji & Kurangkan Penerbangan
Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global
Sebelum itu, penting untuk mengetahui tentang jumlah petroleum yang digunakan di Malaysia. Menurut data di Worldometer, sebanyak 747,112 tong petroleum digunakan setiap hari bagi tahun 2024. Ini meletakkan Malaysia di negara ke-27 dengan jumlah penggunaan petroleum tertinggi di dunia.
Sebaliknya, data sama menunjukkan Malaysia hanya menghasilkan 570,072 tong minyak petroleum setiap hari, yang meletakkannya di kedudukan ke-29 di dunia. Ini jelas bahawa petroleum yang dihasilkan oleh negara tidak mencukupi bagi menampung penggunaan harian. Maka negara juga bergantung kepada petroleum yang diimport dari negara-negara pengeluar lain.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), pengeluaran domestik minyak yang tidak mencukupi menyebabkan negara perlu import minyak dari luar bagi memenuhi permintaan petrol, diesel, LPG dan bahan api pesawat.
Apa yang membuatkan bekalan petroleum di Malaysia terkesan dengan konflik di Asia Barat adalah apabila kebanyakan minyak mentah yang diimport dihantar melalui Selat Hormuz iaitu sebanyak 38%. Angka ini adalah lebih tinggi berbanding minyak mentah yang diimport dari rantau-rantau lain seperti Asia Tenggara, Afrika Barat dan Asia Barat (14%).
Menurut PETRONAS, sejak tercetusnya krisis di Asia Barat, harga minyak mentah telah meningkat sehingga 40% yang ditambah pula dengan peningkatan kos logistik dan insurans secara mendadak.
Malah Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, menjelaskan bahawa Malaysia merupakan penerima harga dan bukan penentu harga dalam perdagangan minyak. Keadaan ini membuatkan harga minyak tempatan bergantung kepada penanda aras global seperti Brent crude dan bukan ditentukan di peringkat domestik.
“Ini kerana Malaysia adalah penerima harga (price taker) dan bukan penentu harga. Jadi apabila konflik geopolitik termasuk risiko di laluan strategik seperti Selat Hormuz mengakibatkan harga minyak dunia naik, Malaysia tidak boleh menetapkan harga sendiri secara terasing. Seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan harga global akibat gangguan geopolitik akan tetap memberi kesan kepada Malaysia dan impak kegunaan domestik,” katanya dipetik Berita Harian.
Mungkin ramai yang menganggap harga minyak Malaysia tidak akan terkesan dengan konflik Asia Barat, namun berdasarkan laporan The Edge, Malaysia telah menjadi pengimport bersih minyak mentah sejak tahun 2022. Sebagai contoh bagi tahun 2025, Malaysia telah mengeksport USD 5.5 bilion minyak mentah tetapi mengimport hampir USD15.4 bilion.
Dalam masa sama, Malaysia juga masih mengeksport minyak ke negara-negara lain. Berdasarkan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), destinasi eksport utama minyak mentah negara merangkumi Thailand, Jepun dan Australia. Manakala petrol ditapis dihantar ke Singapura, Indonesia dan Australia.
Namun mungkin ada yang mempersoalkan, mengapakan Malaysia mengeksport minyak ke negara lain sedangkan jumlah yang dihasilkan tidak cukup untuk menampung permintaan domestik.
Sebenarnya, minyak yang digali di Malaysia merupakan daripada jenis yang berkualiti tinggi. Salah satunya adalah Tapis, minyak mentah yang hanya ditemui di Malaysia dan dikatakan sebagai minyak paling berkualiti di dunia yang diklasifikasikan sebagai ‘light and sweet‘. Dengan kandungan sulfur yang sangat rendah (0.04%) dan densiti rendah, ia adalah lebih mudah ditapis menjadi produk premium seperti gasolin dan minyak jet.
Syarikat kejuruteraan, Thialf, berkata minyak mentah dari negara lain seperti Iran pula selalunya dikategorikan sebagai ‘medium’ atau ‘heavy sour’. Sifat minyak ini yang lebih padat dengan kandungan sulfur tinggi dianggap sebagai berkualiti rendah dan lebih sesuai digunakan dalam penghasilan diesel, tar jalan dan produk petrokimia lain.
Oleh itu, minyak mentah dari Malaysia dapat dijual pada harga premium berbanding minyak yang diimport, seterusnya memperoleh pendapatan lebih tinggi menerusi strategi ‘sell high, buy low‘.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa lebih bagus untuk hentikan eksport dan proses sahaja minyak yang digali di Malaysia secara tempatan. Namun Thialf menjelaskan bahawa reka bentuk kilang penapisan minyak di Malaysia kebanyakannya khas bagi memproses minyak mentah medium dan berat. Ini bermakna ia dapat beroperasi dengan lebih cekap menggunakan minyak mentah yang diimport berbanding minyak tempatan.
Tidak mengejutkan apabila harga minyak di Malaysia turut terkesan dengan konflik di Asia Barat walaupun merupakan antara negara pengeluar minyak. Walaupun Malaysia mengeksport minyak mentah dan minyak ditapis kepada negara-negara lain, namun lebih 50% minyak tempatan telah diimport dari luar.
Daripada jumlah ini, 38% minyak perlu dihantar menerusi Selat Hormuz, sekali gus menjelaskan kenaikan harga di pasaran tempatan akibat ketidaktentuan geopolitik di rantau itu. Malah Malaysia juga merupakan ‘price taker’ yang bermakna harga minyak tempatan bukan ditentukan di peringkat domestik, sebaliknya bergantung kepada penanda aras global seperti Brent crude.