Konflik yang berlaku di Asia Barat sememangnya mengganggu rantaian bekalan minyak mentah apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak global ditutup.
Situasi ini menyebabkan dunia mengalami peningkatan harga bahan api petroleum, sekali gus meningkatkan kos bagi banyak industri sebelum terpaksa ditanggung oleh pengguna.
Dalam masa sama, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai satu bahan penting yang banyak digunakan di seluruh dunia yang turut terkesan dengan gangguan rantaian bekalan minyak mentah global.
Dalam laporan oleh Astro Awani pada 21 April, Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, satu lagi kesan konflik Asia Barat ini adalah gangguan terhadap rantaian bekalan bahan petrokimia yang digunakan secara meluas bagi penghasilan plastik.
Mungkin ramai yang menganggap plastik hanya digunakan bagi menghasilkan beg dan perkakas plastik bagi tujuan pembungkusan. Namun bahan ini sebenarnya digunakan dalam pelbagai industri termasuk perubatan dan pertanian.
Menurut Nurhisham, kebimbangan turut dirasai mengenai bekalan bagi barangan asas pengguna memandangkan ada pengeluar plastik yang memaklumkan stok bahan mentah hanya boleh bertahan sekitar dua minggu sahaja lagi.
Namun setakat ini, bekalan bahan mentah bagi industri plastik dijangka kekal stabil sehingga Mei dan awal Jun sebelum negara terpaksa mendapatkannya semula.
Dalam masa sama, kerajaan turut menjalankan kajian mengenai impak gangguan terhadap bekalan bahan mentah plastik dan kesannya terhadap beberapa industri utama.
Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, petrokimia bukan sahaja digunakan untuk penghasilan plastik, tetapi turut merangkumi bahan ammonia, urea dan helium yang merupakan input asas bagi pelbagai sektor.
Memetik MalayMail, kekurangan bekalan plastik PET yang banyak digunakan bagi botol dan pembungkusan makanan ini menyebabkan peningkatan harga plastik antara 15% ke 40% di dalam negara.
Antara syarikat tempatan yang terkesan dengan kenaikan harga ini ialah pengeluar produk tenusu, Farm Fresh.
Disebabkan oleh situasi ini, bekalan susu segar Farm Fresh dua liter yang menggunakan botol plastik mengalami kekurangan di pasaran. Syarikat itu bagaimanapun menjamin pengguna bahawa susu segar satu liter di dalam karton tersedia sebagai alternatif.
Walaupun Malaysia mempunyai dua pengeluar utama resin polyethylene, namun industri penghasilan plastik masih bergantung hebat kepada import untuk memastikan penghasilan yang mencukupi.
Memetik laporan CNN, pakar sebenarnya telah memberi amaran mengenai kenaikan harga barangan plastik yang disebabkan oleh konflik Asia Barat sejak 30 Mac lagi.
Katanya, lebih 99% plastik yang digunakan di dunia dihasilkan menggunakan bahan api fosil menurut Center for International Environmental Law.
Malah, Asia Barat merupakan pembekal bahan mentah plastik utama, dengan sekitar suku eksport global polyethylene (PE) dan polypropylene (PP) datang dari rantau itu.
Menurut Packaging Europe, rantau ini secara keseluruhannya mengeksport hampir tiga per empat PE kepada pengimport utama termasuk negara-negara Asia Tenggara, Kesatuan Eropah dan India.
Memandangkan harga minyak mentah meningkat sejak berlakunya peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat, perkara ini sekali gus menyebabkan kenaikan harga barangan yang diperbuat daripada bahan petrokimia.
Berdasarkan data oleh Plastics Exchange, harga resin plastik telah meningkat dengan mendadak di kebanyakan kategori pembuatan dalam tempoh sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Greenberg berkata, dia tidak pernah melihat harga bulanan PE yang naik mendadak selama tempoh 25 tahun dalam industri plastik.
“Walaupun peperangan berakhir esok, rantaian bekalan plastik akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali stabil,” katanya.

Bagi negara yang memproses plastik sendiri daripada bahan mentah, mereka juga berdepan kekurangan bekalan petrokimia yang dikenali sebagai naphtha.
Menurut CNA, naphtha merupakan campuran cecair petrokimia yang dihasilkan ketika penapisan minyak mentah. Ia kemudiannya akan diproses bagi menghasilkan plastik seperti PE dan PP sebelum digunakan dalam pelbagai industri.
Antara negara Asia Tenggara yang terkesan dengan kekurangan sumber naphtha ialah Singapura dan Indonesia.
Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso berkata, harga plastik meningkat di republik itu memandangkan naphtha kebanyakannya didapatkan dari rantau Asia Barat.
Namun harga plastik di Indonesia dijangkakan akan menurun seawal bulan ini selepas bahan mentah diimport dari India, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.
Singapura juga mengimport kebanyakan sumber naphtha yang digunakan di pusat penapisannya dari rantau Asia Barat.
Dalam mendepani kekurangan sumber petrokimia bagi penghasilan plastik dan harga yang semakin meningkat, ramai pasti berpendapat adalah lebih baik bagi syarikat-syarikat dan mereka yang terkesan mula mencari sumber alternatif.
Namun Profesor Ekonomi di NYU Stern School of Business, Joseph Foudy berkata, bertukar daripada plastik ke alternatif lain seperti kertas atau gelas selalunya memakan kos yang tinggi dan masa yang banyak. Ini kerana perubahan harus dibuat menerusi seluruh proses pengilangan.
Foudy juga berkata pengganti bagi plastik masih belum banyak yang tersedia dalam tempoh masa pendek.
Profesor Amalan Rantaian Bekalan di Syracuse Universiti, Patrick Penfield pula berkata, syarikat pembungkusan mungkin hanya akan mengubah reka bentuk sedia ada dan menggunakan plastik yang lebih nipis agar harganya lebih murah.
Namun ini tidak menghentikan orang ramai daripada mengambil alternatif lain bagi mengurangkan kos mereka.
Seperti di Malaysia, syarikat Farm Fresh meminta pengguna agar menukar kepada susu segar satu liter di dalam karton tersedia sebagai alternatif kepada susu segar dua liter yang menggunakan bekas plastik.
Di Indonesia pula, syarikat gubahan bunga Daily Lily, tampil dengan inisiatif menggunakan daun sebagai pembalut ketika harga plastik meningkat. Inisiatif itu bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi secara tidak langsung merupakan satu langkah ke arah yang lebih mesra alam dan lestari.
Berdasarkan Earth Day, terdapat banyak alternatif kepada plastik yang boleh digunakan, antaranya:
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Harga Plastik Naik, Ramai Kagum Wanita Di Indonesia Guna Daun Sebagai Wrapper Bunga