Tidak dapat dinafikan lagi bahawa media antarabangsa sering memberi tumpuan yang lebih tinggi terhadap konflik yang berlaku di ‘negara-negara Arab’.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan negara di rantau Asia Barat secara tidak langsung dikaitkan dengan konotasi yang negatif berbanding negara-negara lain, terutamanya negara Barat.
Dalam konteks geopolitik, boleh dikatakan rata-rata media antarabangsa mahupun tempatan serta masyarakat umum masih merujuk kepada negara-negara Teluk dan sekitarnya sebagai rantau ‘Timur Tengah’.
Perkara ini telah diterangkan oleh penulis dan aktivis Nawal El Saadawi dalam satu sesi Freedom Lecture pada 23 Mac 2015, yang telah menghentikan pengacara kerana menggunakan istilah ‘Timur Tengah’ ini.
Katanya, dia berasa kesal mendengar istilah itu disebut kerana ia merupakan bahasa penjajah, sama seperti ‘third world’ dan ‘post colonial’. Dia turut mempersoalkan istilah ‘tengah’ yang digunakan dalam gelaran bagi rantau itu.
“Tengah apa? Tengah kepada siapa? Anda perlu tanyakan kepada diri sendiri. Siapa yang menggelar begitu? Mengapa kita digelar ‘Timur Tengah’?” soalnya.
Nawal menjelaskan bahawa perkara itu mempunyai kaitan dengan sejarah, di mana negara-negara ‘Timur Tengah’ ini pernah menjadi sebahagian daripada koloni atau jajahan British.
“Mesir adalah ‘Timur Tengah’ relatif kepada London. Dan India digelar ‘Timur Jauh’ relatif kepada London kerana India juga pernah menjadi tanah koloni,” katanya.
Perkara ini boleh lebih difahami dengan merujuk kepada peta dunia seperti di bawah. Dapat dilihat negara Teluk terletak ke arah timur dari negara-negara Barat, tetapi tidaklah sejauh seperti Cina dan India (‘Timur Jauh’), yang menyebabkan rantau ini digelar sebagai ‘Timur Tengah’.

Kredit: GIS Geography
“Sekarang apabila saya ke London, saya sebut saya ke ‘Barat Tengah’. Bila saya pergi ke Amerika Syarikat, saya kat saya ke ‘Barat Jauh’,” katanya sebelum terdengar gelak tawa daripada orang ramai.
Nawal berkata tiada sesiapa yang tertawa apabila seseorang menyebut ‘Timur Tengah’ bagi merujuk kepada negara-negara Teluk. Dia menegaskan bahawa itu merupakan satu bentuk kolonialisme dan merupakan bahasa penjajah yang perlu dinyahjajah.
Menjawab soalan oleh pengacara terbabit sama ada dia boleh menggunakan istilah ‘Dunia Arab’ sebagai pengganti kepada ‘Timur Tengah’, Nawal menegaskan ia tidak sesuai dan sebaliknya orang ramai boleh merujuk kepadanya sebagai ‘Afrika Utara’ atau ‘Asia Barat’, bergantung kepada tempat secara spesifik.
Memetik TRT World, istilah ‘Timur Tengah’ dipercayai pertama kali digunakan oleh ahli strategi tentera laut British, Alfred Thayer Mahan, sejak tahun 1902 bagi menggelar kawasan antara India dan Teluk dari sudut kaca mata Eropah. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas oleh pegawai British dan Amerika Syarikat.
TRT World berkata, penggunaan istilah ‘Timur Tengah’ ini secara tidak langsung meletakkan Eropah di tengah peta dunia dan negara-negara lain di tepinya, sekaligus menakrifkan suatu rantau dari sudut kaca mata penjajah. Istilah ini menjadi lebih kontroversi selepas banyak negara ditubuhkan di rantau ini bermula awal abad ke-20.
Malah, walaupun istilah ini digunakan secara meluas, lebih-lebih lagi dalam mengaitkan dengan konflik yang berlaku di rantau itu, tiada satu pun takrifan yang menjelaskan apakah ‘negara-negara’ yang membentuk kawasan’Timur Tengah’ itu.
TRT World berkata istilah ‘Timur Tengah’ sering digunakan dalam perbincangan mengenai konflik, peperangan dan keganasan yang kononnya banyak berlaku di rantau itu. Perkara ini sekali gus membentuk polisi dan persepsi orang ramai terhadap negara-negara yang sebenarnya kaya dengan sejarah, budaya dan identiti.
Sebagai info, benua Asia secara geografinya dapat dibahagikan kepada enam rantau yang termasuk:
Rantau negara-negara Teluk digelar sebagai Asia Barat memandangkan ia berada di bahagian paling barat dalam benua Asia.

Rantau di benua Asia. (Kredit: Maps of World)
Manakala Afrika Utara pula merujuk kepada negara-negara yang terletak di bahagian utara benua Afrika iaitu Mesir, Libya, Sudan, Algeria, Maghribi, Tunisia dan wilayah Sahara Barat.
Dengan penggunaan istilah ‘Timur Tengah’, sesetengah negara dari Asia barat dan Afrika Utara dihimpunkan di bawah ‘rantau’ yang sama.
‘Timur Tengah’ bukanlah satu-satunya istilah yang diambil daripada bahasa penjajah.
Merujuk kepada pempengaruh Ana Soumaya, yang banyak berkongsi tentang usaha-usaha nyahjajahan (decolonialism), telah menyenaraikan beberapa istilah lain yang wujud disebabkan oleh kolonialisme.
Salah satunya ialah ‘Third World’ atau ‘negara dunia ketiga’ yang sering digunakan bagi merujuk kepada negara-negara yang tidak atau sedang membangun.
Secara sejarahnya, istilah ini sebenarnya wujud ketika Perang Dingin sekitar tahun 1950-an bagi membezakan negara-negara berkecuali (Non-Aligned) dengan blok kapitalis (first world) dan blok sosialis-komunis (second world). Istilah ini juga digunakan bagi merujuk kepada negara-negara yang pernah dijajah di Afrika, Asia dan Amerika Latin.
Memetik History Today, negara-negara dunia ketiga didebatkan sebagai ‘tidak hidup’ dalam politik dunia disebabkan oleh halangan dan konflik domestik.
“Satu perdebatan yang berkaitan adalah negara-negara ini menerima sudut pandang, kemurahan dan bantuan dari Eropah. Ini menjadikan ‘Third World’ kawasan untuk eksperimen dan persaingan bagi Eropah, Amerika dan Soviet ketika Perang Dingin. ‘Third World’ adalah untuk dimenangi, dibentuk secara ideologi dan mengikut acuan oleh pesaing-pesaing di dunia ‘atasan’,” katanya.
Selain itu, Soumaya turut menyenaraikan ‘expat’ sebagai satu lagi istilah yang bersifat kolonialisme. Katanya, expat sering merujuk kepada individu dari luar negara yang memegang pasport negara Barat, serta boleh juga merangkumi negara-negara maju. Sebaliknya, imigran lain sering kali digelar sebagai pendatang.
Perkara ini juga turut terjadi di Malaysia di mana imigran dari UK, AS dan Jepun digelar sebagai expat, manakala dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar disebut sebagai pendatang walaupun datang ke dalam negara secara sah.
Malah istilah ‘expat’ sering digunakan bagi merujuk kepada individu yang dianggap mempunyai lebih banyak keistimewaan (priviledged). ‘Expat’ yang bekerja di dalam negara juga sering dikaitkan sebagai seseorang yang dibayar gaji tinggi, malah lebih banyak berbanding warganegara sendiri.
Istilah ini sering digunakan secara ekonomi bagi merujuk kepada negara-negara yang masih mempunyai tahap pendapatan rendah, sekali gus membawa konotasi yang buruk terhadap negara-negara selain negara membangun dengan pendapatan tinggi (developed country).
Penggunaan istilah ini seolah-olah menjelaskan bahawa sesebuah negara hanya dianggap telah membangun kerana mempunyai pendapatan tinggi, kebiasaan negara-negara blok Barat, dengan mengetepikan indeks atau pengukur lain yang sering diambil kira dalam pembangunan sesebuah negara.
Bank Dunia bagaimanapun telah berhenti menggunakan istilah negara sedang membangun dan negara membangun ini. Sebaliknya organisasi global itu kini membahagikan dunia berdasarkan kepada empat kumpulan pendapatan iaitu rendah (low), sederhana rendah (lower-middle), sederhana tinggi (upper-middle) dan tinggi (high).
Merujuk kepada jurnal akademik The Lancet, pengiktirafan harus diberikan kepada ahli akademik dari Sweden, mendiang Hans Rosling, yang berkali-kali menegaskan bahawa istilah negara sedang membangun tidak sepatutnya lagi digunakan dan kita hidup dengan pemikiran yang terhad jika masih menggunakannya.