Sejak kebelakangan ini, kecoh tentang isu golongan T20 yang terpaksa membayar jumlah cukai tinggi namun dikatakan tidak menikmati banyak kelebihan ekonomi berbanding golongan B40.
Ini adalah selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengecualikan golongan berpendapatan tinggi daripada subsidi petrol RON95 sepenuhnya.
Perkara ini menimbulkan perbincangan dalam kalangan orang ramai berkenaan kategori sosio-ekonomi di Malaysia, khususnya golongan T20, yang perlu ditakrifkan semula berdasarkan kepada indeks lain dan bukannya jumlah pendapatan isi rumah semata-mata.
Malah kategori T20 ini dikatakan sebagai kumpulan dengan jumlah pendapatan paling berbeza. Sebagai contoh, pendapatan lebih RM13,000 sebulan dikumpulkan di bawah payung T20 sama seperti mereka yang menerima RM200,000 sebulan.
Secara umumnya, pendapatan isi rumah di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu B40 (bottom 40%), M40 (middle 40%) dan T20 (top 20%). Dalam kata lain, 40% isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan rendah, diikuti 40% lagi dengan pendapatan pertengahan dan 20% mempunyai pendapatan tinggi.
Malah kerajaan sebelum ini turut memperhalusi klasifikasi T15 yang merupakan sebahagian daripada T20, bagi tujuan polisi bersasar, termasuk peningkatan cukai dan penarikan subsiditi petrol, pendidikan dan kesihatan.
Selain itu, terdapat juga pecahan lain bagi kategori T20 yang termasuk:
View on Threads
Namun begitu, adakah pengkelasan berdasarkan pendapatan isi rumah ini benar-benar diperlukan? Atau ia sepatutnya menjadi hanya salah satu indikasi dalam mengenal pasti tahap kemampuan ekonomi sesebuah isi rumah?
Setakat ini, definisi bagi B40, M40 dan T20 di Malaysia hanyalah berdasarkan pendapatan kasar isi rumah semata-mata tanpa menolak segala komitmen dan kos sara hidup mereka, yang juga bergantung kepada jumlah ahli keluarga.
Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pengkelasan taraf ekonomi masyarakat sedia ada boleh menimbulkan rasa tidak adil, lebih-lebih dalam kalangan T20 bawahan yang dianggap sebagai ‘kaya’.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar ambang T20 dinaikkan kepada RM15,000 sebulan bagi kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Malah kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) mencadangkan bahawa tiada tahap pendapatan ‘kaya’ yang sebenarnya di Malaysia jika dibandingkan dengan standard global.
Kajian itu diterbitkan pada hujung 2024 itu mencabar klasifikasi ekonomi yang digunakan oleh kerajaan Malaysia. Sebaliknya ia membahagikan pendapatan isi rumah seperti berikut:
KRI berkata M50 tidak dikira sebagai golongan pertengahan dan masih dalam keadaan yang terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi.
Sebagai info, kerajaan pada tahun 2025 pernah mencadangkan untuk merangka semula kategori pendapatan isi rumah menggunakan kaedah baharu yang berasaskan pendapatan bersih, iaitu pendapatan selepas ditolak cukai dan perbelanjaan asas.
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata langkah ini akan membantu kerajaan dalam mengenal pasti penerima yang layak bagi rasionalisasi subsidi RON95 yang dirancang ketika itu.
Adakah klasifikasi pendapatan isi rumah ini benar-benar diperlukan oleh kerajaan untuk merangka polisi buat masyarakat?
Sebagai perbandingan, mari kita teliti bagaimanakah kategori isi rumah dibahagikan di beberapa negara lain yang terpilih.
Di Indonesia yang mempunyai dengan taraf ekonomi pendapatan pertengahan atas (upper-middle income) seperti Malaysia, kelas ekonomi dibuat berdasarkan perbelanjaan penggunaan isi rumah harian.
Menurut CNBC Indonesia yang memetik data Mandiri Institute, pecahan kelas ekonomi penduduk di Indonesia bagi tahun 2025 ialah:
Malah data ini dikemas kini setiap tahun sekurang-kurangnya sejak 2019.
Satu lagi negara dengan pendapatan pertengahan atas di Asia Tenggara sama seperti Malaysia ialah Thailand.
Menurut Thailand National Statistical Office, pendapatan isi rumah dikategorikan kepada lima iaitu Quintile 1 (QU1) (pendapatan isi rumah bulanan terendah), QU2, QU3, QU4 dan QU5, dengan setiap kumpulan merangkumi 20% jumlah populasi.
Berdasarkan artikel yang diterbitkan dalam Thailand Marketing Research Society (TMRS), klasifikasi status sosio-ekonomi (SES) penduduk Thailand juga boleh dibahagikan kepada tujuh kelas (E, D, C, C+, B, A, A+), dengan A+ merujuk kepada jumlah pendapatan keluarga tertinggi.
Pengklasifikasian ini dibuat bukan berdasarkan pendapatan keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira status perkahwinan dan saiz keluarga (termasuk anak dan orang tua), serta dibahagikan mengikut kawasan iaitu Greater Bangkok, Upcountry (Urban) dan Upcountry (Rural).
Secara umumnya, pendapatan keluarga bagi Greator Bangkok perlulah lebih tinggi berbanding Upcountry (Urban) diikuti Upcountry (Rural) untuk berada di kelas lebih atas.

Contoh klasifikasi SES bagi Greater Bangkok bagi tahun 2021. (Sumber: TMRS)
Singapura tidak mempunyai sistem pengklasifikasian ekonomi yang rasmi. Namun menurut CNA, kebanyakan penyelidik mentakrifkan kelas sebagai merangkumi bukan sekadar pendapatan, tetapi juga jenis perumahan dan tahap pendidikan.
Secara umumnya, kelas ekonomi di Singapura boleh dibahagikan kepada kelas bawahan (20%), kelas pertengahan (51%-70%) dan kelas atasan (20%).
Seperti dalam artikel oleh Maxthorn, kelas seseorang turut bergantung kepada saiz isi rumah dan bukannya pendapatan isi rumah semata-mata.
Ini juga bergantung kepada status pemilikan rumah sama ada pemilik, penyewa atau menunggu projek Build-to-Order (BTO).

Pecahan kelas pertengahan Singapura yang dihasilkan menggunakan metodologi Pew Research ke atas data bagi tahun 2024.
Merupakan salah satu ekonomi terbesar di Asia, kami turut mengambil China sebagai perbandingan.
Merujuk kepada penerbitan oleh The McKinsey Quarterly, populasi di kawasan bandar China bagi tahun 2025 dikategorikan mengikut pendapatan isi rumah tahunan seperti berikut:
Menurut data oleh CEIC, boleh dikatakan tahap pendapatan isi rumah tahunan adalah lebih rendah bagi kawasan luar bandar China.
Seperti Malaysia, China tidak menggunakan faktor lain bagi mengkategorikan penduduknya mengikut tahap ekonomi, tetapi menetapkan kadar berbeza antara bandar dan kawasan luar bandar.
Bagi negara Barat pula, kami menggunakan pengklasifikasian sosio-ekonomi di Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan artikel di GOBankingRates, U.S. Census Bureau tidak menyediakan maklumat yang secukupnya untuk membahagikan penduduk AS kepada kelas-kelas pendapatan.
Menurutnya, salah satu sebab yang menyukarkan pengklasifikasian pendapatan di AS adalah disebabkan oleh pelabgai faktor seperti pendidikan, saiz keluarga dan lokasi.
Berdasarkan data Pew Research bagi 2016, kelas ekonomi AS dibahagikan kepada pendapatan rendah (29%), pendapatan pertengahan (52%) dan pendapatan tinggi (19%).
Selain itu, ada juga yang membahagikan kelas ekonomi ini berdasarkan kepada pendapatan dan jumlah ahli keluarga.

Sumber: GOBankingRates
Sebagai perbandingan, kami juga melihat pengklasifikasian sosio-ekonomi di salah satu negara berpendapatan tinggi di Nordic iaitu Norway. Ia juga merupakan negara dengan perbezaan pendapatan yang kecil berbanding kebanyakan negara lain.
Seperti rata-rata negara lain, pengklasifikasian kelas di Norway juga dibahagikan kepada pendapatan rendah, pendapatan pertengahan dan pendapatan tinggi, dengan middle class membentuk sebahagian besar golongan masyarakatnya.
Namun menurut data pendapatan isi rumah oleh Statistics Norway, kelas keluarga turut ditetapkan berdasarkan umur, status perkahwinan (sama ada bujang, berkahwin atau bercerai) dan jumlah anak.
Berbeza dengan tanggapan ramai, di Norway, mereka yang mempunyai anak menunjukkan peningkatan pendapatan, manakala individu bujang lebih terdedah kepada pendapatan rendah berbanding populasi lain. Malah mereka yang bujang dan kurang 35 tahun juga mempunyai risiko lebih tinggi menjadi miskin.
Analisis sedemikian penting agar polisi yang bersesuaian dapat diwujudkan oleh kerajaan terhadap golongan yang memerlukan.
Bagi polisi kewangan yang dijalankan secara bersasar, klasifikasi berdasarkan jumlah pendapatan isi rumah mungkin penting agar tiada pihak yang tercicir mahupun mendapat subsidi yang tidak sepatutnya dinikmati oleh mereka.
Akan tetapi seperti beberapa contoh di atas, penting untuk kerajaan mengambil kira pelbagai indikasi lain dalam menentukan taraf ekonomi sesebuah keluarga seperti jumlah isi rumah dan tempat tinggal.
Menerusi kaedah yang bersesuaian, klasifikasi ini juga dapat menentukan sama ada sesebuah isi rumah layak menerima subsidi dan bantuan, serta menikmati potongan cukai yang lebih tinggi.