Betul Ke Residu Racun Perosak Pada Buah Atau Sayur Bermakna Ia Tidak Selamat Dimakan?
Sejak kebelakangan ini, kecoh isu berkenaan syarikat agrikultur Amerika Syarikat (AS), Driscoll’s. Isu ini timbul apabila harga buah beri biru Driscoll’s yang ditawarkan dalam pasaran Malaysia dilihat dijual dengan harga yang murah berbanding kebanyakan jenama lain.
Sehubungan itu, terdapat individu yang mengaitkan produk tersebut dengan produk strawberi jenama sama di AS. Dikatakan penduduk berhampiran ladang strawberi berkenaan yang terletak di Santa Cruz mempunyai kadar kanser kanak-kanak 38% lebih tinggi berbanding kawasan lain di California, AS, yang menyebabkan ramai membuat keputusan untuk memboikot produk dari syarikat Driscoll’s.
View on Threads
Namun adakah perkara ini benar dan sama ada buah beri biru dari jenama sama di dalam negara turut terkait dengan dakwaan tersebut?
Kadar kanser kanak-kanak yang didakwa itu sememangnya terdapat kebenarannya, namun tidak dinyatakan bahawa ia hanya merangkumi penduduk di kawasan berhampiran ladang tersebut. Menurut The Urban Activist yang memetik National Cancer Institute, kadar kanser kanak-kanak antara 0 ke 14 tahun adalah yang kedua tertinggi di Santa Cruz berbanding daerah lain di California.
Sekitar 22.6 kepada 100,000 kanak-kanak yang mengalami kanser di daerah itu, meletakkan kadarnya 38% lebih tinggi berbanding kadar keseluruhan 16.3% di California bagi tahun 2017 hingga 2021.
Sehubungan itu, banyak pihak yang mengaitkan kadar tinggi ini dengan penggunaan racun perosak di ladang Driscoll’s yang dikatakan terletak bersebelahan sebuah sekolah di Santa Cruz. Namun kami tidak dapat menemui laporan spesifik berkenaan dakwaan ini.
Dalam masa sama, ada juga yang berasa risau dengan racun yang terdapat pada produk Driscoll’s selepas tularnya dakwaan di atas.
Memetik Our Cancer Stories, badan pemerhati pengguna Mamavation, telah menghantar produk strawberi Driscoll’s (organik dan konvensional) bagi uji kaji untuk mengenal pasti 500 racun perosak berbeza.
Laporan yang dihasilkan mendapati 12 residu racun perosak yang didapati pada strawberi konvensional. Daripada jumlah ini, sekitar lapan dikenal pasti sebagai racun perosak yang dikaitkan dengan PFA atau kompaun berflorin berkaitan, yang dikenali sebagai ‘forever chemicals’ dan boleh tersisa di alam sekitar dan dalam tubuh badan manusia bertahun lamanya.
Pun begitu, laporan sama menjelaskan bahawa PFA yang ditemui adalah di bawah had yang ditetapkan oleh Environmental Protection Agency (EPA) AS. Namun dalam masa sama, kadar itu didakwa adalah melebihi standard antarabangsa tertentu.
Our Cancer Stories menjelaskan bahawa kajian mencadangkan terdapat kaitan antara pendedahan kepada PFA dengan peningkatan jenis kanser tertentu, khususnya kanser buah pinggang dan kanser testis.
“Sebagai contoh, satu kajian menunjukkan bahawa individu dengan kadar PFOA tinggi dalam darah adalah dua kali lebih berkemungkinan mempunyai kanser buah pinggang,” katanya.
Untuk menguatkan lagi kaitan ini, terdapat jenis PFA yang diklasifikasikan sebagai karsinogen Kumpulan 1 oleh International Agency for Research on Cancer (IARC), yang dianggap boleh menyebabkan kanser dalam manusia.
Sama ada dihasilkan di ladang Driscoll’s ataupun tidak, buah beri biru dan strawberi di AS secara umumnya mempunyai kadar residu racun perosak yang lebih tinggi berbanding produk agrikultur lain.
Ini adalah berdasarkan kepada senarai ‘The 2026 Dirty Dozen’ dalam laporan 2026 Shopper’s Guide to Pesticides in Produce oleh organisasi advokasi kesihatan, Environmental Working Group (EWG) yang diterbitkan pada 19 Mei.
Sebanyak 47 produk telah dianalisis, dengan 12 daripadanya didapati paling banyak dicemari residu racun perosak iaitu:
Bayam
Kale, Collard, Mustard Greens
Strawberi
Anggur
Nectarine
Buah pic
Ceri
Epal
Beri hitam
Pear
Ubi kentang
Buah beri
Laporan sama turut menyenaraikan ‘The Clean Fifteen’ iaitu produk yang mempunyai kadar residu racun perosak paling rendah:
Nanas
Jagung manis
Avokado
Betik
Bawang
Kacang pis
Asparagus
Kobis
Kobis bunga
Tembikai
Mangga
Pisang
Lobak merah
Cendawan
Kiwi
Namun diingatkan sekali lagi bahawa senarai ini adalah berdasarkan analisis yang dibuat ke atas produk di AS dan dapatan ini mungkin berbeza di negara-negara lain.
Harus diingatkan juga bahawa residu racun perosak pada makanan tidak semestinya mempunyai kaitan dengan risiko kesihatan. Dalam kes di AS, had ditetapkan oleh EPA adalah di bawah kadar toksik berdasarkan bukti saintifik sedia ada.
Cancer Research UK (United Kingdom) turut menjelaskan bahawa residu racun perosak tidak menyebabkan kanser.
“Sedikit racun perosak boleh tertinggal pada permukaan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Namun ini adalah pada kadar rendah yang tidak membahayakan manusia,” katanya.
Di UK, kadar residu racun perosak pada makanan diperiksa oleh The Health and Safety Executive (HSE) bagi menjamin ia tidak membahayakan kesihatan.
Di Malaysia pula, kadar residu racun perosak adalah bergantung kepada Had Maksimum Residu (MRL) yang ditetapkan.
Berdasarkan gambar yang dikongsi di laman web sebuah pasar raya tempatan, buah beri Driscoll’s yang dijual di Malaysia adalah diimport dari Yunnan, China dan bukannnya AS.
Namun maklumat ini masih menjadi isu bagi sesetengah individu yang menganggap kesemua produk agrikultur dari China adalah tidak selamat untuk dimakan. Ada juga yang memetik kes anggur ‘Shine Muscat’ sebelum ini, yang mana The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) pada tahun 2024 mendakwa ia mengandungi residu racun perosak melebihi MRL.
Pun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika itu menegaskan bahawa tiada residu racun perosak melebihi MRL yang ditemui pada anggur ‘Shine Muscat’ berdasarkan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) yang dijalankan sepanjang 2020 sehingga September 2024.
“Sejumlah 234 sampel anggur telah dianalisa dalam tempoh tersebut yang mana empat (1.71%) telah dikesan tidak mematuhi MRL yang tidak melibatkan anggur Shine Muscat. Tindakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) pada kemasukan seterusnya dikenakan, yang mana konsainan makanan tersebut wajib ditahan dan pensampelan perlu dijalankan,” katanya dipetik Awani.
Berdasarkan laman web Jabatan Pertanian, kadar residu racun perosak akan dikenal pasti menerusi uji kaji di atas sampel hasil pertanian, termasuk yang diimport ke dalam negara.
Penguatkuasaan ini akan dijalankan oleh KKM bagi hasil pertanian di pasaran tempatan dan kawalan import, yang dilaksanakan berdasarkan Akta Makanan 1983. Sampel diambil dari pertanian di ladang, tempat jualan dan pintu utama negara (bagi produk import).
Namun kami tidak dapat menemukan laporan spesifik bagi uji kaji ke atas sampel beri biru yang diimport di Malaysia.
Selepas mengetahui terdapat residu bahan perosak pada permukaan rata-rata produk agrikultur, mungkin ramai yang berasa risau untuk membeli dan memakannya. Akan tetapi, residu ini boleh dikurangkan hanya dengan membasuh produk tersebut dengan bersih.
Memetik The Guardian, sebahagian residu racun perosak dapat dibersihkan dengan membasuh produk di bawah aliran air sejuk selama 15 ke 20 saat. Tiada sebarang cucian khas diperlukan kerana tiada bukti kukuh bahawa ia akan membantu.
Selain itu, mengupas kulit buah-buahan atau sayur-sayuran akar (seperti ubi, lobak) juga dapat mengurangkan residu racun perosak.
Pun begitu, The Guardian menjelaskan bahawa terdapat juga residu racun perosak yang sistemik, yang bermaksud ia telah diserap masuk ke dalam tumbuh-tumbuhan. Malah mengupas kulit juga boleh mengurangkan kandungan serat dan nutrisi tertentu.
Walaupun terdapat residu racun perosak pada produk sayur-sayuran dan buah-buahan, namun ia adalah pada kadar yang selamat dan tidak akan membahayakan kesihatan. Malah di Malaysia, produk-produk import akan diuji segala berkala untuk mengesan sama ada ia mengikut had MRL yang ditetapkan.
Oleh itu, apa yang penting adalah amalan membersihkan produk agrikultur sebelum dimakan atau dimasak. Sesetengah pihak juga mencadangkan agar mengambil produk berbeza dan tidak tertumpu pada makanan tertentu sahaja untuk mengurangkan pendedahan terhadap bahan kimia yang sama.