Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Benarkah Pembinaan Bangunan Di Tanah Sendiri Juga Perlukan Kelulusan Pihak Berkuasa?

Semak Fakta | Undang-Undang

Pembinaan bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa bukanlah suatu isu yang asing lagi di Malaysia walaupun ia sebenarnya melanggar undang-undang negara.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 12/06/2026

Keputusan: Benar

Tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat pihak yang membina bangunan atau membuat ubah suai terhadap bangunan sedia ada dengan sesuka hati. Perkara ini bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya sekiranya binaan yang dibuat tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, tetapi juga menyalahi undang-undang.

Di bawah undang-undang Malaysia, sebarang pembinaan bangunan yang mahu dijalankan perlulah mendapat keizinan atau kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

Ini termasuklah tambahan atau ubah suai yang mahu dilakukan terhadap bangunan sedia ada.

Memetik Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), sesiapa pun tidak boleh mendirikan suatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan.

Kegagalan mendapatkan kebenaran pihak PBT atau pembinaan yang tidak mengikut pelan diluluskan adalah menyalahi undang-undang dan pembinaan dianggap sebagai haram.

 

Pembinaan Atas Tanah Sendiri Juga WAJIB Dapatkan Kelulusan Dahulu

Mungkin ada yang belum cakna, tetapi pembinaan yang dibina di atas tanah persendirian juga masih wajib mendapatkan kelulusan PBT terlebih dahulu. 

Berdasarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), aspek utama dalam Garis Panduan Pembinaan adalah mendapatkan Kelulusan Pelan Bangunan daripada pihak PBT. Pelan yang dihasilkan bagi bangunan yang dirancang untuk dibina perlulah bertepatan dengan spesifikasi seperti yang ditetapkan dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan peraturan pihak PBT.

Namun diingatkan bahawa pelan bangunan tidak boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja, sebaliknya pemilik perlu melantik perunding yang berdaftar sama ada Arkitek, Jurutera atau Pelukis Pelan. Pelan yang telah dihasilkan perlu dikemukakan kepada pihak PBT bersama dokumen-dokumen tertentu seperti:

  • Salinan geran tanah
  • Pelan lokasi dan tapak sedia ada
  • Pelan lantai, bumbung, tampak hadapan dan belakang
  • Pelan keratan rentas bangunan
  • Butiran spesifikasi bahan binaan

Selain itu, pemohon juga perlu membuat pembayaran fi tertentu bagi pelan bangunan yang dimohon bagi kelulusan dengan jumlahnya bergantung kepada jenis bangunan.

Setelah pelan ini dihantar bagi permohonan, pembangunan tidak boleh dijalankan serta-merta. Pemohon perlulah menunggu sehingga pelan diluluskan yang boleh mengambil masa antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada PBT dan jenis bangunan yang dipohon.

Perkara ini adalah seperti tertakluk di bawah Seksyen 70A (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) seperti berikut:

Sumber: Akta 133

Jika kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sebelum mendapat kelulusan Bayaran Denda mungkin dikenakan. Sebagai contoh, pembangunan haram di bawah kawasan Majlis Bandaraya Seremban akan dikenakan Bayaran Denda sebanyak 20 kali bayaran yuran proses pelan.

 

Boleh Dapatkan Pelan Setara Bagi Pembinaan Kecil Pada Kawasan Rumah

Bagi pembinaan kecil termasuk tambahan dan ubah suai secara kecil-kecilan pada rumah, Pelan Setara yang disediakan oleh pihak PBT boleh digunakan agar proses kelulusan lebih mudah dan cepat. 

Pelan Setara mungkin berbeza bergantung kepada setiap PBT. Bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pelan setara yang disediakan adalah bagi:

  • Sambungan dapur untuk rumah teres.
  • Sambungan dapur dan membina tandas.
  • Sambungan bumbung hadapan.
  • Sambungan bumbung letak kereta berkongsi.
  • Sambungan dinding hadapan.
  • Sambungan membina wakaf di dalam halaman rumah.
  • Membina sebuah pergola didalam halaman rumah.
  • Membina sebuah pondok jaga didalam halaman rumah.
  • Membina kandang kucing/anjing dalam halaman rumah.
  • Membina pagar di sekeliling halaman rumah teres.
  • Membina pagar di sekeliling halaman rumah berkembar.
  • Membina pagar di sekeliling halaman rumah banglo.

Selain Kelulusan Pelan Bangunan dan Pelan Setara yang diterangkan di atas, terdapat juga kebenaran-kebenaran lain yang perlu dipohon berdasarkan kepada situasi tertentu.

Menurut syarikat pembinaan dan pengubahsuaian bangunan, RumahIBS, antara kebenaran-kebenaran lain yang diperlukan bagi pembinaan ialah:

  • Kebenaran Merancang – Sekiranya tanah terletak di kawasan yang memerlukan kebenaran merancang seperti di kawasan pinggir bandar. Ini bagi memastikan pembinaan selaras dengan rancangan pihak berkuasa.
  • Lesen Pembinaan – Lesen yang dikeluarkan oleh PBT ini perlu diperbaharui setiap tahun. 
  • Kelulusan Rekabentuk Struktur oleh Jurutera Profesional – Sekiranya pembinaan melibatkan struktur konkrit bertetulang yang bertujuan untuk memastikan struktur selamat dan menepati spesifikasi reka bentuk.
  • Kelulusan Pelan Saliran oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) – Sekiranya melibatkan pembinaan parit atau saliran air sisa dan hujan.
  • Kelulusan Tenaga daripada pembekal elektrik – Bagi sambungan bekalan elektrik ke rumah.
  • Kelulusan Bekalan Air daripada pembekal air – Bagi sambungan paip bekalan air.

Selain itu, terdapat juga Permit Sementara yang boleh dimohon bagi bangunan sementara yang ingin dibina seperti rumah pekerja di tapak pembinaan.

 

Ini Garis Panduan Pembinaan Bangunan, Bukan Sedar Dapatkan Kelulusan

Mendapatkan kelulusan bagi pembinaan bangunan hanyalah langkah pertama. Berikut merupakan garis panduan pembinaan seterusnya seperti yang dikongsikan oleh CIDB.

Setelah mendapat kelulusan yang berkenaan, kerja-kerja pembangunan yang mula dijalankan perlulah dibuat dengan memastikan keselamatan di tapak binaan. 

Ini termasuklah kontraktor yang perlu mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), dengan memastikan pekerja menggunakan peralatan keselamatan bersesuaian dan memagar tapak pembinaan agar tidak dimasuki orang awam.

Selain itu, bahan yang digunakan juga perlu mematuhi piawaian CIDB dan Standard Malaysia (MS). Penggunaan bahan berkualiti rendah yang boleh menjejaskan kekuatan dan keselamatan bangunan sepatutnya dielak sama sekali.

 

Pembinaan Tak Boleh Sebabkan Pencemaran & Gangguan Kepada Komuniti

Setiap projek pembangunan pasti akan menghasilkan sisa binaan. Sisa ini perlu diurus dengan betul mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Di bawah undang-undang, sisa binaan dilarang dibuang ke dalam longkang atau kawasan awam. Malah kontraktor digalakkan agar menggunakan kaedah pembinaan mesra alam seperti IBS (Industrialized Building System) bagi mengurangkan pembaziran bahan.

Pembinaan suatu bangunan juga haruslah dijalankan tanpa mengganggu hak jiran setempat termasuklah menerusi pencemaran bunyi, udara (dari habuk pembinaan) atau sekatan laluan.

Bagi pembinaan yang melibatkan sempadan atau bangunan berkongsi, penting untuk mendapatkan persetujuan bertulis daripada jiran dahulu sebelum kerja dimulakan. Pembinaan juga tidak boleh menceroboh tanah milik jiran atau mengubah sistem saliran tanpa kebenaran.

Diingatkan juga bahawa kontraktor yang dilantik perlulah berdaftar dengan CIDB dan mempunyai lesen pembinaan yang sah. Dalam situasi pembinaan melibatkan kerja khusus seperti pemasangan elektrik dan paip air, ia perlulah dilakukan oleh pihak profesional yang diiktiraf.

Untuk maklumat lanjut mengenai panduan pemilik rumah bagi tujuan pembinaan, rujuk di laman web CIDB [DI SINI].

 

Tindakan Undang-Undang Terhadap Binaan Haram

Jelas bahawa sebarang pembinaan bangunan yang dilakukan walaupun di tanah persendirian, tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu, adalah dianggap sebagai bangunan haram. 

Malah, segala garis panduan yang ditetapkan juga perlu dipatuhi agar pembinaan tersebut dijalankan mengikut undang-undang. 

Kegagalan mendapatkan kelulusan atau melanggar garis panduan dalam pembinaan bangunan boleh menyebabkan individu terbabit dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda.

Malah jika projek pembinaan sedang dijalankan dan didapati tidak mematuhi peraturan, pihak PBT boleh mengeluarkan notis agar segala kerja-kerja pembinaan dihentikan.

Contoh binaan haram pada sebuah flat yang pernah tular pada tahun 2024. (Foto: TikTok @ppim.official)

Bagaimana pula jika bangunan telahpun siap dibina tanpa mendapat sebarang kelulusan atau mengikut peraturan yang ditetapkan? Dalam kes ini, pihak PBT boleh mengeluarkan arahan agar bangunan tersebut dirobohkan, walaupun yang dibina di tanah persendirian.

Inilah yang seperti terjadi pada satu flat haram di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor. Difahamkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat telah beberapa mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur bangunan iaitu pada tahun 2017, 2020, 2021 dan 13 Mac 2026.

Dalam laporan terkini, PDT Hulu Langat berkata struktur bangunan itu yang terletak di atas dua lot tanah milik individu dan sebahagiannya di atas rizab jalan milik kerajaan, akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat Akan Dirobohkan Mengikut Undang-Undang – PDT Hulu Langat

Sekadar info, kerajaan sebelum ini pernah merobohkan beberapa struktur haram termasuk rumah ibadah seperti kuil dan masjid yang dibina tanpa mengikut undang-undang. Malah kerajaan pada Januari 2026, telah merobohkan 68 kediaman dan binaan di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul yang diduduki oleh komuniti Melayu Minang.

Ini jelas menunjukkan bahawa tindakan perobohan yang dijalankan adalah atas dasar undang-undang tanpa mengambil kira agama, bangsa mahupun kewarganegaraan pihak yang membina bangunan secara haram.

 

 

Pemilik Tanah Boleh Dikenakan Tindakan Jika Ada Bangunan Haram Dalam Kawasan Miliknya

Dalam masa sama, pemilik tanah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 jika terdapat binaan haram yang dibangunkan di kawasan tersebut.

Seperti dalam kes di atas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz, berkata kewujudan bangunan haram itu berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan pembinaan struktur tanpa kelulusan, selain menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutan isu ini.

“Atas sebab itu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat: Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Tanpa Kelulusan – ADUN Dusun Tua [Video]

Dalam pada itu, pemilik tanah diingatkan agar sentiasa mengambil tahu dengan keadaan tanah masing-masing kerana mereka akan dipertanggunjawabkan sekiranya terdapat apa-apa yang berlaku di kawasan tersebut. 

Apatah lagi dengan tanah yang tidak diselenggara atau terbiar sahaja tanpa pengawasan, boleh berlakunya pencerobohan oleh pihak tertentu tanpa pengetahuan pemilik.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebabnya Wujud Kuil Yang Didirikan Tanpa Kebenaran

Rujukan:

  1. https://www.cidb.gov.my/jombinasempurna/panduan/garis-panduan-pembinaan/
  2. https://www.kpkt.gov.my/index.php/dl/64584e6c636c38784c303146546b6446546b464a49457451533151765155745551533942613352684d544d7a655445354e7a5269625335775a47593d
  3. https://www.mbs.gov.my/sites/default/files/2020-02/2.%20Borang%20Semakan%20Permohonan%20Kelulusan%20Pelan%20Bangunan%20%28Tambahan%20Ubahsuai%20Bangunan%20Kediaman%29_0.pdf
  4. https://www.mbpj.gov.my/en/node/1344
  5. https://rumahibs.com/keizinan-dan-kelulusan-apa-yang-diperlukan-untuk-membina-rumah-atas-tanah-sendiri/
  6. https://oscstaging.kpkt.gov.my/pbt/MDR/form/14
  7. https://www.kpkt.gov.my/index.php/dl/64584e6c636c38784c303146546b6446546b464a49457451533151765155745551533942613352684d544d7a655445354e7a5269625335775a47593d
  8. https://www.planmalaysia.gov.my/portalassets/img/AKTA_172_MUKTAMAD_SEBAGAIMANA_1_JUN_2021.pdf