Penggunaan sunshade atau pelindung matahari boleh dikatakan sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan pemilik kereta yang bertujuan bagi mengelakkan rasa panas.
Namun baru-baru ini, kecoh isu penggunaan sunshade sebenarnya adalah menyalahi undang-undang.
Dalam satu hantaran tular di Threads, ramai yang mempersoalkan larangan itu kerana berpendapat sunshade penting bukan sahaja bagi melindungi daripada matahari, tetapi juga bagi keselamatan pemandu khususnya para wanita.
View on Threads
Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai sama ada pemilik kereta tidak boleh menggunakan sunshade sama sekali di dalam kenderaannya.
Sebagai perbandingan, terdapat sunshade yang mempunyai lubang-lubang kecil dan tidaklah menghalang penglihatan sepenuhnya, berbeza dengan tirai atau langsir yang menutup kemasukan cahaya sepenuhnya.
Berdasarkan laman web Paultan, penggunaan segala jenis tirai atau langsir, serta pelekat hiasan yang dipasang pada cermin kereta adalah menjadi satu kesalahan.
Katanya, kesalahan ini terkandung di bawah Seksyen K 4(1) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991.
Kesalahan ini juga disenaraikan sebagai bilangan 245 di bawah Senarai Kesalahan Tindakan Penguatkuasaan JPJ yang boleh dikenakan saman seperti berikut:
Memetik laporan The Star, bekas Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, sebelum ini turut mengesahkan perkara itu.
“Peraturan yang ditulis sangat jelas, segala pemasangan jenis tirai atau langsir, bahkan pelekat-pelekat hiasan yang diletakkan pada cermin kenderaan adalah dilarang sama sekali,” katanya.
Katanya, larangan itu ditetapkan atas tujuan keselamatan dan pencegahan jenayah memandangkan penggunaan tirai boleh mengganggu penglihatan pemandu dan diambil peluang oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah di dalam kenderaan.
Beliau turut menegaskan bahawa larangan itu juga dikenakan ke atas tirai yang boleh ditanggalkan (removable).
Larangan ini turut disahkan oleh Pengarah JPJ, Hamidi Adam, berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991.
Walaupun begitu, Hamidi berkata penggunaan langsir yang dipasang pada cermin tempat penumpang di dalam bas dan karavan adalah dibolehkan.
“Penggunaan tirai pada bahagian belakang atau kawasan ruang tamu kenderaan yang didaftarkan sebagai karavan adalah dibenarkan mengikut peruntukan sedia ada, sama ada untuk karavan persendirian atau komersial,” katanya.
Mohamad Dalib bagaimanapun berkata permohonan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mendapatkan kelulusan daripada pihak JPJ.
“Pemasangan tirai ini hanya dibolehkan bagi bas-bas ekspres dan juga bas persiaran sahaja. Itu pun, mereka yang ingin berbuat demikian perlu memohon terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada pihak kami. Untuk kenderaan persendirian, tidak boleh.” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kesalahan itu boleh dikenakan tindakan oleh pihak JPJ mahupun polis.
Pun begitu, di ruangan balas hantaran Threads yang tular, seorang individu mendakwa dia telah menghubungi pihak JPJ bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu ini.
Dakwanya, maklum balas yang diterima daripada pihak JPJ mengesahkan bahawa larangan penggunaan sunshade pada cermin kereta telah pun berkuatkuasa sejak dahulu lagi, namun ia sekadar makluman dan pemandu tidak akan dikenakan saman.
“Dari dulu tak boleh pun. Tapi tak ada la kami saman pun. Itu makluman je,” kata JPJ dipetiknya.

Sumber: Threads
Di samping itu, seorang pegawai JPJ yang dikenali sebagai Nazeman Talib, turut tampil memberikan penjelasan ringkas mengenai isu ini.
Menerusi hantaran di TikTok, dia berkata undang-undang telah menetapkan bahawa tiada sebarang benda yang boleh dipasang pada cermin kereta, termasuklah sunshade, kecuali penggunaan cermin gelap (tinted) yang mengikut spesifikasi dibenarkan.
Namun katanya, perkara itu juga bergantung kepada budi bicara pegawai JPJ yang membenarkan penggunaan sunshade yang tidak kekal pada cermin kereta.
“Tetapi dari segi undang-undang, salah tetap salah kerana yang boleh dipasang di cermin hanyalah tinted yang mengikut peraturan. Pasang langsir salah, pasang sunshade pun salah,” katanya.
Tambahnya, walaupun kesalahan itu boleh disaman, namun ia juga bergantung kepada budi bicara pihak JPJ.
Menjawab soalan lain yang diterima, Nazeman berkata larangan penggunaan sunshade pada bahagian hadapan dikenakan tidak kira bagi jenis penuh (menutup cermin sepenuhnya) mahupun separuh.
Namun katanya lagi, penggunaan sunshade di bahagian penumpang adalah dibenarkan.
Dalam masa sama, tular juga makluman bahawa penggunaan sunshade dibenarkan ketika kereta diletakkan di tempat parkir, namun ia perlu ditanggal ketika kenderaan sedang dipandu.
Kami telah menghubungi pihak JPJ bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perkara ini dan akan mengemas kini artikel ini setelah mendapat maklum balas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa pemandu tidak akan berdepan tindakan jika menggunakan sunshade boleh ditanggal pada cermin kereta.
Katanya, walaupun terdapat undang-undang itu dalam peruntukan sedia ada, namun pihak berkuasa tidak menguatkuasakannya secara aktif kecuali dalam kes penglihatan pemandu terganggu.
“Kementerian tidak menguatkuasakan undang-undang terhadap penggunaan sunshade yang tidak menghalang penglihatan pemandu, dan Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak mengarahkan JPJ untuk menguatkuasakannya.
“Ketua Pengarah JPJ juga tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk kuat kuasa undang-undang terhadap penggunaan sunshade,” katanya dipetik NST.
Walaupun penggunaan tirai dan sunshade pada cermin kereta adalah dilarang, namun pemilik kenderaan masih boleh memilih untuk memasang tinted film mengikut spesifikasi yang dibenarkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2016).
Mengikut undang-undang terbaharu, kadar peratus Ketelusan Cahaya Nampak (Visible Light Transmission) (VTL) yang dibenarkan oleh JPJ ialah:
Dalam masa sama, pemilik kenderaan juga boleh membuat permohonan kepada pihak JPJ untuk menggunakan cermin yang lebih gelap pada bahagian pemandu atas tujuan keselamatan atau kesihatan namun tertakluk kepada fi tertentu.
Pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama, manakala denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan seterusnya.
Dalam masa sama, ramai juga yang membangkitkan isu pemasangan ‘lampu albino’, iaitu lampu putih jenis LED, pada bahagian belakang kereta. Lampu ini kebiasaannya adalah lebih cerah, malah mempunyai kelipan cahaya tertentu, yang boleh menyebabkan silau dan mengganggu pengguna jalan raya lain.
Ramai yang menyifatkan perkara ini sebagai isu yang lebih penting berbanding penggunaan sunshade pada cermin kereta.
Walaupun tiada larangan spesifik yang ditetapkan, namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemasangan lampu berkenaan dibuat tanpa sebarang kelulusan teknikal daripada JPJ.
Katanya, kerajaan memandang serius trend pemasangan lampu itu dan sedang meneliti kesannya sebelum membuat keputusan lanjut berhubung penggunaannya.
“Setakat ini memang tiada kelulusan teknikal diberikan untuk pemasangan lampu berkenaan. Ia dibuat secara sukarela oleh pemilik kenderaan.
“Jika didapati mengganggu atau memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya dipetik Kosmo.