Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Kemalangan Dengan Penunggang Motosikal? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Insurans ‘Own Damage Knock-from-Knock’

Undang-Undang

Akta Pengangkutan Jalan 1987 menegaskan bahawa setiap kenderaan bermotor di Malaysia sekurang-kurangnya perlu memiliki insurans Perlindungan Pihak Ketiga, termasuklah motosikal

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 03/07/2026

Secara ringkasnya, tuntutan Own Damage Knock-for-Knock (OD KfK) adalah tuntutan yang dibuat kepada pihak ketiga menerusi pengendali insurans sendiri.

Diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Ogos 2025, ia merupakan salah satu kaedah alternatif yang digunakan oleh syarikat insurans bagi mempercepatkan proses tuntutan.

 

Setiap Kenderaan Di Malaysia, Termasuk Motosikal Wajib Miliki Insurans Perlindungan Pihak Ketiga

Kebiasaannya, apabila berlaku kemalangan antara kereta dan motosikal, sudah tentulah motosikal akan menanggung kecederaan dan kerosakan lebih teruk kerana saiznya yang kecil. 

Salah satu perkara yang sering disebut berkaitan kemalangan yang membabitkan motosikal adalah bahawa tiada perlindungan insurans bagi kereta.

Malah pemandu kereta sering kali menjadi pihak yang dipersalahkan apabila berlakunya pertembungan antara kedua-dua kenderaan ini.

Oleh itu, penting untuk melaporkan kemalangan tersebut kepada pihak polis agar siasatan dapat dijalankan bagi mengenal pasti pihak manakah yang benar-benar bersalah. Jangan ‘settle tepi’ kalau tak mahu tanggung kerugian.

Perkara ini membuatkan sesetengah pemandu kereta terus pasrah apabila berlaku kemalangan dengan motosikal dan terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi kos-kos pembaikan dan rawatan.

Tanggapan ini sebenarnya adalah salah dan merupakan satu mitos. Dalam apa-apa kemalangan, tuntutan boleh dibuat dengan pihak yang bersalah.

Malah, Akta Pengangkutan Jalan 1987 menegaskan bahawa setiap kenderaan bermotor di Malaysia sekurang-kurangnya perlu memiliki insurans Perlindungan Pihak Ketiga, termasuklah motosikal.

Polisi ini bertujuan untuk menanggung sebarang liabiliti terhadap pihak ketiga yang merangkumi kerosakan harta benda, kecederaan dan kematian dalam kes kemalangan jalan raya.

 

Buat Tuntutan OD KfK Agar Proses Lebih Cepat, Tak Akan Jejaskan NCD

Selain insurans Perlindungan Pihak Ketiga, pemilik kenderaan yang mempunyai polisi insurans komprehensif juga boleh membuat tuntutan Own Damage Knock-for-Knock (OD KfK).

Menerusi OD KfK, tuntutan akan dibuat dengan pengendali insurans atau takaful sendiri dan tidak perlu menunggu pengendali insurans pihak yang bersalah untuk memproses tuntutan berkenaan.

Secara ringkasnya, tuntutan OD KfK dapat mempercepatkan tuntutan, memudahkan dokumentasi dan membolehkan kerja-kerja pembaikan berjalan lebih cepat. Dalam masa sama, pengendali insurans anda akan berurusan dengan pengendali insurans pihak bersalah bagi membuat tuntutan semula.

Mungkin ramai yang risau, namun tuntutan dengan pengendali insurans sendiri menerusi OD KfK tidak akan menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntutan atau No-Claim Discount (NCD).

Apa yang penting adalah pastikan kemalangan yang berlaku bukan atas kesalahan anda dan kenderaan anda mempunyai polisi insurans komprehensif atau takaful yang berdaftar.

Pun begitu, OD KfK tidak menyediakan perlindungan bagi kecederaan atau kemalangan membabitkan kenderaan pengkomersialan seperti teksi dan bas serta kenderaan asing. Bagi kes sedemikian, tuntutan haruslah dibuat dengan pihak yang bersalah.

Dalam masa sama, pengguna juga boleh membuat tuntutan lebihan (excess) iaitu amaun yang perlu dibayar terlebih dahulu dan pampasan untuk tempoh pembaikan yang dianggarkan (CART) daripada pengendali insurans atau takaful menerusi OD KfK.

Tonton video berkenaan OD KfK yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah.

 

Cara-cara Buat Tuntutan OD KfK

Untuk membuat tuntutan OD KfK, maklumkan perkara itu kepada pihak pengendali insurans dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh kemalangan.

Apa yang penting adalah melakukan laporan polis terlebih dahulu. Laporan polis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam dari masa kemalangan. Jika melebihi tempoh itu, anda boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 tanpa alasan yang munasabah.

Dalam masa sama, anda juga perlu menyediakan beberapa dokumen bagi tujuan tuntutan OD KfK yang juga bergantung kepada pihak pengendali insurans, antaranya:

  • Borang tuntutan yang telah dilengkapkan
  • Salinan laporan polis yang disahkan
  • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu
  • Laporan hasil siasatan polis
 
View on Threads

 

Kelebihan OD KfK Berbanding Tuntutan Perlindungan Pihak Ketiga

Tuntutan OD KfK yang boleh dibuat oleh pemegang polisi dengan Perlindungan Komprehensif bukan sahaja dapat mempercepatkan proses tuntutan tanpa menunggu siasatan selesai, iaitu sehingga 20 hari bekerja, dan tidak menjejaskan NCD.

Berdasarkan MalayMail, menerusi tuntutan Perlindungan Pihak Ketiga, sesetengah syarikat insurans mungkin memerlukan individu untuk mengeluarkan wang dahulu bagi kos tertentu termasuk bagi pembaikan dan yuran penyelaras insurans. Untuk mendapatkan bayaran wang semula juga mungkin mengambil masa yang agak lama.

Menerusi OD KfK, tuntutan dapat dibuat dengan lebih cepat dan tiada bayaran dahulu yang perlu dikeluarkan oleh individu.

Malah menurut seorang pegawai BNM, sistem OD KfK juga dapat mengurangkan risiko penipuan dan kebocoran dalam tuntutan.

Berikut adalah perbezaan antara tuntutan OD KfK dan tuntutan dengan pengendali insurans pihak ketiga:

OD KfK 

Tuntutan dengan Insurans Pihak Ketiga

NCD tidak akan terjejasPerlu melantik bengkel atau tukang baiki sendiri
Kelulusan cepat bagi pembaikan akibat kemalanganPerlu melantik penyelaras (adjuster) insurans sendiri
Tanpa tunai (Cashless)Perlu bayar dahulu bagi pembaikan dan yuran penyelaras
Bengkel yang diluluskanTiada waranti bagi kualiti pembaikan atau bahagian yang digunakan
Makluman kemajuan pembaikan Proses yang lebih lama untuk mendapatkan kelulusan atau bayaran balik
Boleh membuat tuntutan Loss of Use atau Excess 

Sebagai info, OD KfK adalah berbeza dengan tuntutan Own Damage (OD) yang dibuat jika anda merupakan pihak bersalah. Tuntutan OD akan menyebabkan anda kehilangan NCD.

 

Bagaimana Jika Pihak Bersalah Tiada Polisi Insurans?

Malangnya, seperti tuntutan lain, tuntutan OD KfK mahupun Perlindungan Pihak Ketiga tidak boleh dibuat sekiranya pihak yang bersalah tidak mempunyai polisi insurans yang aktif.

Dalam kes ini, jika anda mempunyai Perlindungan Komprehensif, anda hanya boleh membuat tuntutan OD yang akan memberi kesan kepada NCD, atau mengeluarkan kos pembaikan sendiri.

Pun begitu, anda masih boleh membuat tuntutan secara terus kepada pihak bersalah dengan mengupah peguam untuk membuat saman atau membuat Tuntutan Kecil bagi kos bawah RM5,000.

Dalam kes kemalangan melibatkan kecederaan tubuh badan pula, Peguam Hafiz Baharuddin berkata, anda boleh membuat saman peribadi bagi kecederaan peribadi. Namun, jika tidak mampu mengupah peguam, anda boleh mendapatkan khidmat Biro Insurans Permotoran Malaysia (MIB) yang akan menentukan nilai kecederaan dialami sebagai pampasan.

@lawyersresponse Orang langgar kita tapi dia takde insurans? Macam mana nak claim tu? #fyp #insurans #accident #langgar #abglawyer #CapCut #kongsijer #kongsitips #jomsedekah ♬ original sound – Abang Lawyer Hafiz Baharuddin

 

Apa Perlu Buat Jika Anda Dipersalahkan Tetapi Yakin Sebaliknya

Jika pihak polis menetapkan bahawa seorang pemandu kereta yang bersalah, dia tidak boleh membuat tuntutan OD KfK. Namun jika seorang pemandu yakin dia tidak menyebabkan kemalangan tersebut, kes itu boleh dibawa ke mahkamah.

Sebelum memfailkan saman di mahkamah, pemandu perlu memaklumkan kepada pengendali insurans terlebih dahulu memandangkan kebanyakan polisi menampung yuran guaman sehingga RM2,000 dengan persetujuan bertulis.

Pun begitu, perlu ingat bahawa pemandu tidak semestinya akan menang apabila membawa kes ini mahkamah kerana keputusan adalah bergantung kepada fakta, bukti dan saksi. Oleh itu, penggunaan kamera dashcam di dalam kenderaan dapat membantu dalam menyediakan bukti bahawa suatu kemalangan bukanlah disebabkan olehnya.

Sudah tentu lebih banyak kos yang perlu dikeluarkan jika kes dibawa ke mahkamah termasuk bagi mendapatkan khidmat guaman. Oleh itu jika kos yang perlu ditanggung adalah kecil, mungkin lebih baik untuk menampungnya sendiri sahaja tanpa membabitkan saman mahkamah.

 

Apa Perlu Buat Apabila Berlakunya Kemalangan

Dalam masa sama, anda juga perlu mengetahui langkah-langkah apabila terlibat dalam kemalangan. Paling penting, kekal tenang dan nilai keadaan sekeliling.

Kemudian semak sama ada anda dan penumpang lain mengalami sebarang kecederaan, sebelum menyemak kerosakan yang berlaku terhadap kenderaan anda dan pihak satu lagi.

Alihkan kenderaan anda ke tempat yang selamat seperti di tepi jalan dan tidak dibiarkan dalam situasi berbahaya dan berisiko menghadapi kemalangan buat kali kedua.

Apabila semuanya sudah kelihatan selamat, tukar maklumat diri dengan pihak satu lagi termasuk:

  • Nombor plat kenderaan
  • Cukai jalan
  • Model, tahun dan warna kenderaan
  • Nama penuh, nombor telefon, nombor MyKad dan lesen pemandu

Jangan lupa untuk tangkap gambar di sekitar kemalangan tersebut termasuk kerosakan yang berlaku pada kenderaan anda. 

Jika kemalangan hanya menyebabkan kerosakan yang sedikit, boleh sahaja memilih untuk ‘settle tepi’. Tetapi bagi kerosakan yang teruk, lebih baik untuk lakukan laporan polis sebagai perlindungan.

Laporkan kemalangan itu kepada stesen polis dalam kawasan di mana kemalangan tersebut berlaku dalam tempoh 24 jam. Menurut Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti Putra Malaysia (APSeC), pegawai polis akan mengambil kenyataan anda dan mengeluarkan keputusan dalam masa beberapa hari.

Setelah selesai membuat laporan polis, hubungi pihak pengendali insurans dengan segera bagi mendapatkan nasihat mengenai langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil. Pengendali insurans juga boleh membantu anda untuk menunda kereta kepada bengkel panel yang diberi kuasa, selalunya secara percuma.