Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Nak Opt Out Lindung 24 Jam PERKESO? Ini Kelebihan & Kekurangannya

Sosial

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 24/07/2026

Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas merangkumi kemalangan dan bukan bencana kerja yang berlaku di luar waktu bekerja.

Sebelum ini, skim itu diwajibkan dan telah diaktifkan secara automatik ke atas setiap golongan pekerja swasta di dalam negara, namun tidak lagi mandatori buat pekerja Malaysia sejak 8 Julai lalu.

Sehubungan itu, orang ramai boleh memilih untuk mengekalkan caruman terhadap skim tersebut atau menarik diri (opt out) sebelum 31 Ogos 2026.

Sekadar info, pekerja asing pula diwajibkan (mandatori) untuk mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

 

Apa Itu Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO?

Pun begitu, tidak dapat dinafikan masih ramai yang berasa bingung untuk membuat keputusan terhadap skim ini, sama ada mengekalkannya atau opt out.

Secara ringkasnya, skim LINDUNG 24 Jam memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang mencarum bagi kemalangan yang berlaku di waktu luar kerja dan tidak berkait dengan pekerjaan.

Setiap individu yang berstatus pekerja bermajikan akan layak mendapatkan perlindungan di bawah skim ini jika mencarum dengan LINDUNG 24 Jam.

Kadar caruman yang dikenakan bagi perlindungan ini ialah sebanyak 0.75% daripada gaji bulanan diterima bagi fasa pertama (hingga 31 Mei 2028) , dengan had siling gaji bagi tujuan caruman ditetapkan pada RM6,000 ketika ini.

Namun kadar ini akan meningkat kepada 1% bagi fasa kedua (1 Jun 2028-31 Mei 2031) dan 1.25% bagi fasa ketiga (mulai 1 Jun 2031).

Buat masa ini, kadar caruman mengikut tangga gaji adalah seperti [DI SINI].

Bagi membantu orang ramai membuat keputusan, berikut kami berkongsi beberapa kebaikan dan kekurangan Skim LINDUNG 24 Jam. 

 

Kebaikan Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO

Seperti yang dinyatakan, kebaikan utama skim ini adalah perlindungan kemalangan selama 24 jam dan ketika melakukan urusan bukan pekerjaan.

Apa yang menariknya, Skim LINDUNG 24 Jam bukan sahaja menampung kos rawatan perubatan yang diperlukan akibat kemalangan, tetapi turut merangkumi faedah dalam bentuk penggantian pendapatan jika seseorang hilang upaya untuk bekerja dan kesinambungan pendapatan bagi orang tanggungan sekiranya berlaku kematian.

Berdasarkan dokumen Soalan-Soalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh PERKESO, kemalangan yang dilindungi di bawah skim ini adalah seperti tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, termasuk:

 – Kemalangan di rumah

 – Kemalangan semasa perjalanan yang tidak berkaitan pekerjaanmalangan di rumah

 

Berikut merupakan antara faedah-faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam:

 

Faedah Perubatan

Pekerja yang mengalami kemalangan boleh mendapatkan rawatan perubatan di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital kerajaan secara percuma sehingga pulih sepenuhnya, tanpa sebarang had.

Bagi kecederaan parah, pekerja yang mahu menggunakan perlindungan skim ini perlu mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan dan layak mendapatkan rawatan di wad kelas kedua serta rawatan pakar jika perlu.

 

Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)

Jika seseorang pekerja mengalami kemalangan sehingga kehilangan upaya sementara dan mendapat cuti sakit yang diperakui oleh doktor yang merawatanya tidak kurang empat (4) hari, dia layak menerima faedah ini.

Berdasarkan Jadual Kadar Faedah LINDUNG 24 Jam, bayaran harian bagi FHUS dikira sebanyak 48% daripada gaji harian.

 

Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK)

Dalam situasi suatu kemalangan menyebabkan kecacatan kekal, pekerja layak menerima FHUK mengikut taksiran kadar yang ditentukan oleh Jemaah Doktor. 

Kadar bayaran akan ditetapkan berdasarkan taksiran hilang upaya, kadar gaji dan umur pencarum. Jadual Kadar Faedah LINDUNG 24 Jam meletakkan FHUK pada kadar 54% daripada gaji harian.

 

Elaun Layanan Sentiasa

Bagi pekerja yang menerima taksiran hilang upaya kekal dan sehingga memerlukan layanan seseorang lain dalam kehidupan sehariannya, dia layak menerima elaun sebanyak RM500 sebulan dengan pengesyoran Jemaah Doktor, Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

 

Kemudahan Pemulihan Jasmani/ Vokasional

Pekerja yang layak akan menerima perbelanjaan bagi pemulihan jasmani atau vokasional mengikut kadar yang ditetapkan. Ini termasuklah bagi:

 – Fisioterapi

 – Terapi pekerjaan

 – Bekalan prostetik, ortotik, implan dan lain-lain alat

 – Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

 – Pemulihan vokasional dan return to work termasuk latihan dalam bidang

 

Faedah Orang Tanggungan (FOT)

Jika seseorang pekerja meninggal dunia, individu di bawah tanggungannya seperti pasangan, anak dan ibu bapa layak menerima faedah ini mengikut kadar sama seperti di dalam Skim Lindung Pekerja.

 

Faedah Pengurusan Mayat

Amaun RM3,000 diberikan kepada waris yang layak atau bayaran mengikut perbelanjaan sebenar (had RM3,000) kepada pihak yang menanggung perbelanjaan pengebumian jika pekerja meninggal dunia akibat kemalangan atau semasa menerima bayaran berkala FHUK.

 

Faedah Pendidikan

Jika pekerja meninggal dunia atau menerima bayaran berkala FHUK, anak tanggungan layak menerima faedah ini dalam bentuk pinjaman.

Berikut merupakan antara kadar harian yang layak diterima oleh mereka yang mencarum bagi situasi tertentu:

Contoh faedah yang layak dinikmati oleh pencarum berumur 29 tahun yang lumpuh, dengan seorang balu dan seorang anak sebagai orang tanggungan. (Sumber: PERKESO)

Jadual Kadar Faedah LINDUNG 24 Jam bagi Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) bagi pencarum berusia 30 tahun mengikut tangga gaji secara lebih terperinci boleh didapatkan [DI SINI].

Di samping itu, kadar caruman yang dikenakan bagi Skim LINDUNG 24 Jam adalah lebih rendah berbanding takaful atau insurans perubatan swasta dan dihadkan pada jumlah gaji RM6,000.

Memandangkan PERKESO juga merupakan sebuah badan berkanun kerajaan, skim ini juga dilihat sebagai selamat bagi para pencarum.

 

Kekurangan Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO

Walaupun Skim LINDUNG 24 Jam bertujuan bagi perlindungan di luar waktu bekerja, namun ia hanya boleh digunakan bagi kemalangan yang berlaku di Malaysia sahaja. Ini bermaksud jika seorang pencarum mengalami kemalangan di luar negara, dia tidak akan layak menerima perlindungan di bawah skim ini.

Seperti yang diterangkan di atas, Skim LINDUNG 24 Jam hanya merangkumi kes kemalangan dan bukanlah suatu insurans perubatan yang merangkumi penyakit dan masalah kesihatan seperti kencing manis, demam dan darah tinggi.

Tuntutan bagi tujuan rawatan di bawah skim ini juga hanya boleh digunakan di klinik panel PERKESO dan klinik/hospital kerajaan sahaja. 

Jika rawatan didapatkan di klinik atau hospital swasta, pencarum boleh memohon bagi Bayaran Ganti Belanja, namun tertakluk kepada kadar sama dikenakan di Hospital Kerajaan.

Dalam masa sama, terdapat situasi yang mengecualikan kelayakan untuk tuntutan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, termasuk: 

 – Kemalangan yang diliputi di bawah skim lain seperti LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.
 – Kemalangan disabitkan penipuan (fraud)
 – Kemalangan akibat perbuatan jenayah
 – Kemalangan mencederakan diri sendiri atau membunuh diri

Bagi pekerja asing yang mencarum pula, mereka tidak layak membuat tuntutan sekiranya menyalahgunakan pas atau permit yang sah atau melanggar apa-apa syarat kemasukan ke dalam negara.

Sama seperti rata-rata skim insurans lain, perlindungan tidak akan disediakan sekiranya caruman tidak dibuat bagi bulan tertentu.

 

Skim LINDUNG 24 Jam Tidak Boleh Menggantikan Takaful/ Insurans Perubatan

Dalam masa sama, diingatkan sekali lagi bahawa Skim LINDUNG 24 Jam ini tidak menyediakan perlindungan yang secukupnya dan tidak patut digunakan bagi menggantikan caruman takaful atau insurans perubatan peribadi.

Ini kerana ia hanya merangkumi kemalangan dan tidak melindungi pencarum bagi tujuan kesakitan atau penyakit kritikal, serta hanya bagi insiden yang berlaku di dalam negara.

Skim LINDUNG 24 Jam merupakan suatu jaringan keselamatan sosial yang berguna bagi golongan pekerja, namun tidak menyediakan perlindungan yang menyeluruh.

Bagi pekerja yang membuat keputusan untuk opt out daripada skim ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mereka masih boleh menyertai semula skim tersebut pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran.

Diingatkan juga bahawa caruman yang telah dibayar bagi bulan Jun tidak akan dipulangkan semula memandangkan ia ditetapkan sebagai mandatori oleh kerajaan.

Baca Artikel Berkaitan: Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO Tidak Lagi Mandatori Bagi Pekerja Malaysia, Ini Cara ‘Opt Out’

Rujukan:

  1. https://www.perkeso.gov.my/perkhidmatan-kami/perlindungan/lindung-24-jam.html
  2. https://www.perkeso.gov.my/images/lindung/lindung-24-jam/15072026-FAQ-PERLINDUNGAN-SKBBK.pdf