Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Hukum Main Duit Kutu Mengikut Islam

Agama

Permainan kutu sudah menjadi kebiasaan dalam sesetengah masyarakat di dalam negara, khususnya kaum Melayu.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 20/08/2026

Pada 20 Julai 2026, media melaporkan tiga beranak yang hilang dikaitkan dengan dakwaan hutang bermain kutu. Perkara ini sekali gus membuatkan ramai berasa risau dengan permainan tersebut yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Berasaskan kepercayaan dan semangat saling membantu, permainan kutu ialah aktiviti mengumpul wang secara berkumpulan pada nilai yang sama oleh setiap peserta secara mingguan atau bulanan.

Wang yang dikumpul ini, kebiasaannya oleh seorang ketua yang digelar sebagai ‘ibu kutu’, kemudiannya akan diagihkan kepada seorang peserta mengikut giliran, dengan semua peserta akan menerima giliran masing-masing.

Dalam erti kata lain, peserta sebenarnya menggunakan duitnya dahulu dengan menyumbang kepada kumpulan itu dan wang pinjaman akan kembali kepadanya apabila tiba giliran.

Permainan kutu cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di dalam negara, malah ada yang turut mengamalkan kutu sejak sekolah dengan bayaran yang rendah seperti antara RM1 hingga RM5 seorang. 

Kini, nilai bayaran mungkin mencecah ratusan malah ribuan ringgit setiap seorang dengan jumlah peserta yang semakin ramai, termasuk individu yang tidak dikenali.

Namun permainan ini boleh menjadi satu masalah apabila terdapat peserta yang tidak bertanggungjawab dan gagal membuat bayaran apabila tiba gilirannya, ataupun ‘ibu kutu’ yang mengambil kesempatan terhadap wang yang dikumpul.

Dalam masa sama, timbul juga persoalan mengenai hukum bermain kutu menurut Islam.

 

Hukum Bermain Kutu Menurut Islam

Apabila diulaskan dari segi syariah Islam, permainan kutu ini merupakan satu bentuk hutang, khususnya buat mereka dengan giliran menerima wang terkumpul lebih awal berbanding peserta lain.

Oleh itu, penting untuk mereka membuat bayaran agar dapat melunaskan hutang yang terkumpul dari peserta-peserta lain. 

Berdasarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal bermain kutu ialah harus dan menjadi amalan sebahagian masyarakat Islam di Timur Tengah, Afrika, malah Malaysia.

Keharusan ini timbul daripada kaedah ‘aqridni uqriduka yang bermaksud “Bagi hutang kepada saya, saya akan bagi hutang pada kamu.”

Namun penting untuk memahami bahawa kaedah pemberian hutang yang dibenarkan ini adalah berdasarkan hutang yang tidak bersyarat dan tiada manfaat yang dikhususkan kepada pemberi hutang semata-mata.

Dalam konteks permainan kutu yang banyak diamalkan, semua ahli akan memperolehi manfaat dan tidak disyaratkan siapa yang dapat dahulu wang dikumpul.

Keharusan bermain kutu turut dijelaskan menurut kepada Mazhab Maliki yang membenarkan duit diwakafkan secara bertempoh melalui dana waqaf yang menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada sesiapa yang memerlukan.

 

Permainan Kutu Boleh Jadi Haram Jika Libatkan Riba & Kezaliman

Pun begitu, diingatkan bahawa permainan kutu ini perlu bebas daripada sebarang unsur yang haram termasuk riba, kezaliman dan penipuan.

Menurut syariah, tiada sebarang yuran atau bayaran tambahan yang boleh dikenakan terhadap ahli-ahli permainan kutu.

“Demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat akad bertulis bagi melindungi kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar,” kata ulama Prof Dr. Azman Mohd Noor.

Memetik Universiti Sains Islam Malaysia, riba di dalam permainan kutu diharamkan kerana satu pihak akan berdepan kezaliman.

Antara contoh riba adalah ibu kutu mengenakan bayaran tambahan di atas kelewatan ahli kumpulan memberi wang kutu. 

Ini termasuk juga ahli yang dikenakan caj perkhidmatan oleh ibu kutu yang tidak amanah malah membuat penyelewengan wang di dalam permainan kutu ini.

Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. mengharamkan riba kerana lebih banyak mendatangkan keburukan dalam masyarakat, seperti yang disebut dalam ayat 39 Surah Ar-Ruum:

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ

Maksudnya: “Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keridhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya)”.

 

Terdapat Pendapat Perlu Sebut Akad Hutang Apabila Bermain Kutu

Dalam pada itu, ulama dan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus, menekankan kepentingan membuat akad hutang apabila menyertai permainan kutu agar keluar daripada khilaf ulama yang mengharamkannya. 

Beliau menjelaskan permainan kutu merupakan satu bentuk hutang, di mana peserta dengan giliran awal menerima duit dikumpul akan menjadi penghutang awal.

Contoh akad yang boleh dibuat ialah seperti berikut:

Apabila menerima hutang tersebut, peserta perlu menyebut “Saya berhutang dengan awak RM100,” manakala ahli yang menyerah hutang menjawab, “Saya bersetuju” atau “Saya hutangkan awak RM100 ini.”

Semasa membayar semula hutang itu (membuat bayaran kutu), ahli yang membayar hendaklah menyebut, “Saya membayar hutang awak RM100”, dan ahli yang menerima pula membalas, “Saya terima bayaran awak.”

“Sebab apa yang ditakuti adalah jika kita main ambil sahaja, takut setengah ulama berkata haram makan duit orang. Ulama memberi alternatif cara yang betul,” ujar beliau.

 

Jual Giliran Kutu Demi Dapat Keuntungan Boleh Jadi Satu Bentuk Riba

Dalam masa sama, ada juga peserta permainan kutu yang menjual slot atau gilirannya bagi mendapatkan keuntungan. 

Sebagai contoh, individu A mendapat giliran ke-10 dengan nilai wang kutu RM1,000, tetapi dia memerlukan wang awal dan akan menjual gilirannya kepada individu B (giliran lebih awal) dengan nilai RM600. Ini bermakna individu B akan mendapat keuntungan sebanyak RM400. 

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, tujuan utama kutu adalah sebagai simpanan dan bukannya untuk mengambil untung lebih.

Kaedah menjual giliran, lebih-lebih lagi pada harga yang berbeza dengan persetujuan asal, boleh menyebabkan seseorang terjerumus kepada perjudian, riba, penyelewengan dan penipuan (pengagihan tidak adil). 

“Percaturan seperti ini dinamakan sebagai Riba al Fadhl (perbezaan nilai RM 600 dan RM1,000). Untuk itu, bagi orang B yang menerima keuntungan RM400 secara percuma itu adalah tidak sah di sisi syarak kerana ia termasuk dalam riba,” jelasnya.

 

Skim Wang Kutu Haram Di Sisi Undang-Undang Negara

Dari segi undang-undang, Malaysia sebenarnya mengharamkan permainan kutu menerusi Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971

Berdasarkan Seksyen 3 akta tersebut, adalah menjadi kesalahan sesiapa yang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

@lawyersresponse awak kena TIPU duit kutu ke? nak buat macam mana sekarang? #fyp #duit #tipu #scam #lari #duitkutu ♬ original sound – Abang Lawyer Hafiz Baharuddin

Pun begitu, memetik laporan Awani pada September 2018, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelaskan aktiviti skim wang kutu secara tradisional yang tidak bermotifkan keuntungan tidak termasuk dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Ini kerana wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.

“Skim wang kutu tradisional biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan dalam kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, aktiviti wang kutu yang dilarang adalah yang mendatangkan hasil berlipat ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk sebarang pulangan tambahan.

 

Permainan Kutu Harus Dalam Islam, Namun Boleh Menjadi Haram

Secara ringkasnya, permainan kutu yang diamalkan secara tradisional adalah diharuskan dalam Islam selagi tidak terlibat dalam unsur-unsur haram. 

Namun ia boleh menjadi haram jika terkait dengan perkara yang merugikan satu pihak seperti riba, penipuan dan kezaliman.

Untuk keluar daripada khilaf yang mengharamkannya, Ustaz Azhar Idrus memberi saranan agar peserta kutu melakukan akad hutang antara satu sama lain. 

Harus diingat juga bahawa permainan kutu yang bermotifkan keuntungan adalah salah di sisi undang-undang negara.

Rujukan:

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/791394/suara-sinar/analisis-sinar/terjerat-dalam-kitaran-hutang
  2. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1673-hukum-main-kutu
  3. https://www.usim.edu.my/ms/berita/in-our-words-ms/adakah-salah-menabung-dengan-permainan-kutu-8-2/
  4. YouTube Ustaz Azhar Idrus
  5. https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=7494
  6. https://www.ssm.com.my/acts/fscommand/ak0028.htm
  7. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/skim-wang-kutu-tradisional-tidak-termasuk-dalam-akta-ssm-186066