Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Remaja Bebas Pertuduhan Bunuh Pelajar Sekolah Di Bandar Utama, Ini Maksud Pembelaan Tidak Siuman

Undang-undang

Pembelaan tidak siuman (insanity defense) tertakluk di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 16/09/2026

Pada 14 Oktober 2025, kecoh mengenai berita tikaman yang dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama terhadap seorang pelajar perempuan di sekolah sama sehingga meragut nyawanya.

Terbaharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa remaja berkenaan yang kini berusia 15 tahun adalah dalam keadaan tidak waras ketika kejadian berlaku, sekali gus membebaskan terduduh daripada pertuduhan membunuh.

Memetik Malaysia Gazette, peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong berkata, Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan mental anak guamnya berdasarkan keterangan pakar psikiatri yang dilantik mahkamah.

Perkara ini membuka ruang untuk pemakaian Seksyen 84 Kanun Keseksaan atau pembelaan tidak siuman (insanity defense), iaitu tidak menjadi kesalahan bagi seseorang yang tidak sempurna akal dan tidak berupaya mengetahui bahawa kelakuannya salah atau menyalahi undang-undang.

Seksyen 84 Kanun Keseksaan

Tambah Foong, mahkamah turut menerima keterangan doktor pakar psikiatri yang mengesahkan remaja berkenaan menghidap skizofrenia.

“Kami membuktikan ini bukan cakap kosong kerana ia disokong seorang doktor psikiatri yang tidak memihak kepada mana-mana pihak untuk memberi pendapat mengenai isu mental yang dialami.

“Ia disahkan doktor sendiri. Dia memang disahkan mempunyai skizofrenia yang serius dan agresif. Dalam pada itu, dia juga mendengar suara dan perkara itu tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Isu ini pastinya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sama ada seseorang yang tidak waras akalnya boleh terlepas daripada sebarang pertuduhan jenayah dengan begitu sahaja.

Dalam masa sama, timbul tanggapan bahawa terduduh sedemikian boleh mendatangkan ancaman kepada masyarakat sekiranya dibiarkan bebas.

 

Bukan Semua Pesakit Mental Akan Dibebaskan Di Bawah Pembelaan Tidak Siuman

Walaupun kebiasaannya pembelaan tidak siuman membabitkan individu dengan masalah mental atau kecelaruan psikologi, ini tidak bermakna mereka dengan masalah mental secara automatiknya memenuhi syarat pembelaan tidak siuman.

Sebaliknya, pihak pembelaan perlu membuktikan bahawa tertuduh benar-benar tidak siuman ketika melakukan suatu jenayah, termasuklah mengemukakan keterangan pakar psikiatri untuk mengesahkan tahap kesihatan mental tertuduh ketika itu.

Berdasarkan John Nyumbei v PP [2007] 2 CLJ 509, ujian bagi menetapkan ketidaksiuman menurut Seksyen 84 merupakan satu bentuk ujian secara undang-undang dan bukan ujian kesihatan. 

Di bawah seksyen ini, ketidaksiuman menurut undang-undang ialah keadaan yang merosakkan fungsi kognitif pelaku, sehingga tidak mengetahui sifat tindakannya, atau bahawa apa yang dilakukan adalah salah di sisi undang-undang.

Sebelum ini, peguam Dr Mahmud Abdul Jumaat mengulas insiden pemandu wanita yang merempuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu sehingga maut, berkata terdapat beberapa prinsip dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah yang diguna pakai bagi menangani isu pelaku yang tidak siuman atau mengalami gangguan mental.

“Bagaimanapun, sebelum seseorang disahkan tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, mahkamah akan merujuk kepada pakar psikiatri untuk membuat penilaian. Biasanya, pelaku akan dihantar ke hospital psikiatri untuk menjalani penilaian mental oleh doktor bertauliah.

“Proses ini adalah penting untuk menentukan sama ada pelaku benar-benar tidak berupaya secara mental pada masa kejadian. Setelah penilaian mental dilakukan, laporan psikiatri akan diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah akan menilai laporan tersebut bersama-sama dengan bukti-bukti lain untuk menentukan sama ada pelaku layak untuk mendapatkan perlindungan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan,” kata beliau dipetik Sinar Harian.

 

Bebas Di Bawah Pembelaan Tidak Siuman, Tertuduh Boleh Ditahan Di Institusi Kesihatan Mental

Sebenarnya, walaupun mahkamah memutuskan tertuduh tidak bersalah di bawah pembelaan tidak siuman, ini tidak bermakna terduduh dibebaskan sepenuhnya. Sebaliknya terduduh kebiasaannya akan ditahan di institusi kesihatan mental di bawah perintah mahkamah. 

“Pelaku mungkin akan ditempatkan di hospital psikiatri untuk suatu tempoh sehingga mereka pulih dan tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat,” jelas Dr Mahmud.

Seperti dalam kes di atas, mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi mendapatkan rawatan.

Malah dalam satu kes pembunuhan lain, tertuduh yang menghidap skizofrenia didapati tidak bersalah di bawah pembelaan tidak siuman, juga diperintahkan agar ditahan di institusi kesihatan sama.

Ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah, di mana seseorang yang dibebaskan atas alasan tidak siuman boleh ditahan oleh mahkamah dalam jagaan selamat jika didapati individu itu melakukan perbuatan berkenaan.

Perkara itu kemudian perlu dilaporkan kepada pemerintah negeri termasuk Sultan yang boleh mengarahkan tertuduh ditempatkan di hospital psikiatri mengikut tempoh ditetapkan.

Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah

 

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, tertuduh tidak sepatutnya dibebaskan kepada masyarakat secara automatik, tetapi perlulah berdasarkan penilaian klinikal dan risiko yang berterusan.

Apatah lagi dalam kes yang membabitkan seorang kanak-kanak bawah umur, Dr Haezreena menegaskan bahawa kedua-dua keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak perlu diambil kira.

“Ini tidak bermakna kanak-kanak tersebut ‘bebas begitu sahaja’. Ini bermakna respons perlu diberikan terhadap rawatan psikiatri yang bersesuaian, pemulihan, penyeliaan dan keselamatan awam,” ujar beliau dipetik The Sun.

 

Bagaimana Jika Seorang Tidak Siuman Dihasut Untuk Lakukan Jenayah?

Sebagai info tambahan, Seksyen 108 Kanun Keseksaan menerangkan bahawa dalam keadaan seseorang yang tidak siuman dihasut oleh individu lain untuk melakukan sesuatu jenayah, penghasut tersebut boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman setimpal bagi jenayah yang dilakukan oleh orang tidak siuman di bawah hasutan.

Dalam masa sama, seorang individu yang menjadi mangsa juga mempunyai hak mempertahankan diri sekiranya berdepan ancaman daripada seorang tidak siuman, seperti tertakluk di bawah Seksyen 98 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua peruntukan ini ditetapkan bagi melindungi masyarakat dan menutup sebarang loophole yang mungkin ingin dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

Pembelaan Tidak Siuman Tidak Bermakna Tertuduh Dibebaskan Sepenuhnya

Seperti yang dinyatakan, tertuduh yang didapati tidak bersalah di bawah pembelaan tidak siuman tidak bermakna akan dibebaskan sepenuhnya.

Dr Mahmud menegaskan bahawa mahkamah kebiasaannya tidak akan membebaskan tertuduh begitu sahaja, sebaliknya dia mungkin diletakkan di bawah pengawasan dan rawatan di institusi psikiatri.

“Walaupun kelihatan tertuduh ‘terlepas’ daripada hukuman penjara atau hukuman mati, undang-undang bertindak berdasarkan bukti perubatan yang menunjukkan tertuduh tidak mempunyai kemampuan mental untuk memahami atau mengawal perbuatannya,” kata beliau.

Tambah Dr Mahmud, keputusan ini juga dapat melindungi masyarakat daripada ancaman yang mungkin dibawa oleh tertuduh sekiranya tidak diberikan rawatan.

“Pembelaan tidak siuman bukanlah ‘tiket’ untuk terlepas daripada hukuman, tetapi satu mekanisme undang-undang yang adil bagi menangani kes-kes di mana tertuduh tidak mempunyai kesedaran mental yang mencukupi,” jelas beliau.

Rujukan:

  1. Kanun Keseksaan
  2. Kanun Tatacara Jenayah
  3. https://malaysiagazette.com/2026/09/14/remaja-15-tahun-bebas-tuduhan-bunuh-rakan-sekolah/
  4. https://malaccabar.org/archives/23134
  5. https://www.sinarharian.com.my/article/693007/berita/nasional/pesakit-mental-kalis-undang-undang-bebas-hukuman
  6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/05/07/berjaya-bukti-tak-siuman-lelaki-bebas-tuduhan-bunuh-ibu
  7. https://thesun.my/news/malaysia-news/people-issues/rehabilitation-essential-for-mentally-unsound-offenders/