Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini telah ditahan atas pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun pada 18 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Walau bagaimanapun, Najib perlu membuat bayaran denda sebanyak RM50 juta dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan agar pengampunan tersebut tertakluk.
Sehubungan itu, Tabung Solidariti Najib Razak telah dilancarkan oleh UMNO yang bertujuan untuk mengutip sumbangan bagi bayaran denda tersebut.
UMNO telah mensasarkan kutipan dana sehingga RM30 juta bagi Tabung Solidariti Najib Razak sekiranya kesemua 3.8 juta ahlinya membuat sumbangan.
Setakat 21 September lalu, Utusan melaporkan tabung sumbangan tersebut telah mencecah RM2 juta.
Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai tentang hukum derma yang disumbangkan itu memandangkan Najib telah pun disabitkan hukuman oleh mahkamah.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hukum membantu membayar denda bagi pihak yang disabitkan di mahkamah ialah harus.
Namun terdapat dua syarat yang harus dipatuhi iaitu:
Pun begitu, hukum menderma ini menjadi haram jika seseorang yang memberikan sumbangan tersebut bertujuan untuk mendorong pelaku agar mengulangi kesalahan yang dilakukan.
Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah (2):
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”.
Penceramah Dr Rozaimi Ramle turut mengulas isu berkenaan setelah menerima soalan daripada seorang jemaah ketika sesi ceramah baru-baru ini yang berbunyi, “Apakah hukum mengumpul dana bagi membantu pesalah yang telah dijatuhkan hukuman pecah amanah?”.
Beliau menjelaskan bahawa hukuman di dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu hukum hudud yang tetap dan tidak boleh diubah, serta hukum takzir yang boleh berubah.
Hukum takzir adalah hukuman budi bicara yang diputuskan oleh hakim bagi kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan hukuman hudud, termasuk penjara dan denda.
Dr Rozaimi berkata, penetapan denda harta sebagai hukuman mempunyai pendapat berbeza dalam kalangan ulama. Namun kebanyakan ulama semasa membenarkannya, seperti hukuman saman yang digunakan dalam undang-undang masa kini.
Beliau menegaskan bahawa hukuman takzir ini dikenakan terhadap pelaku agar berasa insaf dengan kesalahan yang dilakukan olehnya.
“Denda ni, kebanyakan ulama moden hari ini terima kerana dianggap sebagai salah satu cara untuk bagi orang (pelaku) insaf,” kata beliau.
Oleh yang demikian, Dr Rozaimi mengingatkan orang ramai agar menilai dahulu sama ada pelaku yang ingin dibantu menerusi sumbangan derma telah menginsafi kesalahannya.
“Kalau nak bantu, kena tengok adakah bantuan kita akan menyebabkan dia insaf, atau dia telah pun insaf, atau akan meneruskan benda tak baik yang dibuat. Kalau kita bantu, kita tengok nampak macam tak insaf pun, makin meneruskan kerja-kerja jahat. Ini termasuk di dalam ayat al-Quran yang meminta kita agar tak membantu dalam perkara-pekara dosa dan permusuhan,” jelas Dr Rozaimi.
Tambah beliau lagi, orang ramai dibenarkan untuk membantu pelaku yang telah benar-benar insaf dan atas dasar kerana dia tidak berkemampuan untuk melangsaikan denda tersebut.
Dalam masa sama, ada juga individu yang mempersoalkan mengapakah orang ramai mahu memberi derma kepada seorang individu yang berkemampuan atau kaya.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan bahawa hukum bersedekah kepada orang kaya ialah harus memandangkan tiada dalil yang melarangnya.
Namun lebih afdal sekiranya sedekah berkenaan diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan yang lebih memerlukan.
Tambah Jabatan Mufti, keharusan bersedekah kepada orang kaya adalah dengan tujuan supaya mereka mengambil pengajaran dan kesedaran terhadap kepentingan amalan bersedekah, dan terinspirasi untuk memperbanyakkan sedekah juga.
Satu hadis menceritakan tentang seseorang yang bersedekah kepada pencuri, penzina dan orang kaya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Seorang lelaki berkata bahawa dia ingin bersedekah. Lalu dia pun keluar membawa sedekahnya itu dan diberikan kepada seorang pencuri. Maka orang ramai pun berbual-bual tentang perbuatan sedekah kepada pencuri. Lelaki itu pun berkata: ‘’Segala puji bagi Mu ya Allah aku telah bersedekah.’’
“Kemudian lelaki tersebut keluar dan membawa sedekahnya itu lalu diberikan kepada seorang penzina perempuan. Maka orang ramai pun bercakap-cakap tentang hal tersebut dan lelaki itu berkata: ‘’Ya Allah, segala puji bagi-Mu, aku telah bersedekah.’’
“Kemudian beliau keluar bersedekah dan memberikannya kepada seorang yang kaya, maka orang ramai pun bercakap-cakap mengenai hal tersebut. Lalu dia berkata: ‘’Bagi-Mu segala pujian ya Allah’’.
“Maka dikatakan kepada lelaki tersebut: ‘’Sedekah kamu kepada pencuri itu mudah-mudahan akan menyebabkan dia berhenti mencuri. Sedekah kepada penzina pula mudah-mudahan menyebabkan dia berhenti dari perbuatan zina. Manakala sedekah kepada orang kaya pula mudah-mudahan dia akan mengambil pengajaran, lalu dia juga turut membelanjakan apa yang telah Allah kurniakan kepadanya.’’
Riwayat Al-Bukhari (1421)
Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa hukum menderma bagi membantu bayaran denda mereka yang disabitkan kesalahan ialah harus pada asalnya.
Namun hukum ini boleh menjadi haram jika ia bertujuan untuk mendorong individu terbabit agar melakukan lagi kesalahan yang sama.
Mengulas lanjut, Dr Rozaimi pula berpendapat bahawa orang ramai harus menilai dahulu sama ada seseorang yang melakukan jenayah itu telah benar-benar insaf ataupun tidak sebelum membuat keputusan untuk menderma kepadanya bagi melangsaikan hukuman denda yang dijatuhkan.