Kerajaan Malaysia kini sedang mempertimbangkan dasar yang melarang rokok terhadap individu yang lahir selepas tahun 2005. Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) Wong Teu Hoon merasakan cadangan itu tidak akan berkesan kerana kewujudan rokok seludup di dalam negara yang melebihi separuh jumlah rokok yang dijual. Pada 2 Julai 2022, polis Kota Bharu telah merampas sejumlah rokok dengan anggaran RM1.65 juta yang disyaki diseludup dan tidak bercukai.
Penganalisis ekonomi, Pankaj Kumar, mengatakan bahawa perokok memilih untuk membeli rokok seludup kerana perbezaan harga yang terlalu besar dengan rokok yang dijual secara sah. Salah satu sebab peningkatan harga ini adalah kerana kenaikan duti eksais produk tembakau sebanyak 14% pada 2013, 12% pada 2014 dan 36% pada 2015, hingga ramai mula beralih kepada rokok pasaran gelap. 6 daripada 10 kotak rokok yang dijual adalah rokok seludup dan tidak bercukai. Adakah Malaysia kerugian banyak cukai daripada penjualan rokok seludup ini?
[caption id="attachment_10952" align="aligncenter" width="920"] Kredit gambar: Brian Yurasits/ Unsplash[/caption]
Cukai yang sepatutnya boleh diterima sekiranya rokok seludup dijual secara sah
Pelbagai kajian telah dilakukan untuk melihat jumlah kerugian akibat penjualan rokok seludup yang tidak dikenakan cukai. Kajian oleh Oxford Economics mendapati bahawa Malaysia kehilangan RM5.1 bilion daripada cukai rokok setiap tahun. Mereka juga mendapati bahawa Malaysia merupakan negara dengan penjualan rokok seludup tertinggi di dunia dan kerugian hampir RM100 juta setiap minggu disebabkan oleh aktiviti haram ini. Pada tahun 2019, Malaysia dijangkakan kehilangan RM6 bilion pendapatan cukai daripada penjualan rokok seludup dan produk vape. Sebagai perbandingan, kerajaan hanya mengutip cukai daripada jualan rokok sebanyak RM3.29 bilion pada 2018 dan RM2.30 bilion pada 2019.
Ketika persidangan Dewan Rakyat pada Disember 2020, ahli parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, mencadangkan supaya harga rokok diturunkan kepada RM8 sekotak. Perkara ini dibangkitkan kerana lambakan rokok seludup, sehingga menyebabkan hanya 36% jualan rokok secara sah dan dikenakan cukai.
Kajian juga mendapati bahawa penjualan rokok seludup meningkat disebabkan oleh kenaikan cukai. Setiap kenaikan cukai sebanyak 10% akan menyebabkan berlakunya peningkatan aktiviti seludup rokok sebanyak 2%. Perkara ini kemudiannya boleh menyebabkan kerajaan gagal mengutip cukai daripada jualan rokok sebanyak RM254 juta.
[caption id="attachment_10942" align="aligncenter" width="922"] Kredit gambar: Mart Production/ Pexels[/caption]