Adakah Sumber Makanan Di Malaysia Terjamin Dalam Situasi Konflik Global?
Written by sharifahtrp — March 6, 2026

Adakah Sumber Makanan Di Malaysia Terjamin Dalam Situasi Konflik Global?

Oleh : sharifahtrp

Diterbitkan : 3/6/26 - Disunting : 3/6/26

Keputusan:

Please complete the required fields.



Pada hujung Februari 2026, tercetusnya peperangan di Asia Barat setelah Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyasarkan Republik Islam Iran. Serangan tersebut turut mengorbankan pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, sebelum republik itu melancarkan serangan balas menerusi peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa negara Teluk yang mempunyai kepentingan AS, termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketegangan yang berlaku di Timur Tengah itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat global kerana dipercayai dapat memberi kesan terhadap rantaian ekonomi antarabangsa.

Apatah lagi dengan penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bagi perdagangan minyak antarabangsa dengan kira-kira 13 juta tong dihantar menerusinya setiap hari pada tahun 2025. Memetik CNBC, penganalisis berkata penutupan selat itu secara berpanjangan mungkin boleh meningkatkan harga minyak mentah sehingga USD100 setiap tong.

Menurut syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa Nomura, negara-negara di Asia yang bakal paling terkesan dengan harga minyak tinggi ialah Thailand, India, Korea dan Filipina kerana bergantung tinggi terhadap import minyak. Sebaliknya Malaysia dikatakan akan menerima faedah memandangkan ia merupakan pengeksport tenaga.

 

Kerajaan Beri Jaminan Bekalan Makanan Di Malaysia Masih Tidak Terkesan

Sehubungan itu, segelintir rakyat Malaysia turut berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan ketidaktentuan ekonomi yang mungkin akan terjadi disebabkan oleh perang tersebut. Malah, ada yang berasa risau bahawa negara akan berdepan peratus inflasi yang tinggi, seterusnya meningkatkan kos barangan terutamanya bagi makanan yang banyak diimport dari luar negara.

Mengulas isu ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan dalam negara belum terjejas dengan konflik di Asia Barat memandangkan negara-negara terlibat bukanlah pengeksport utama bekalan makanan ke Malaysia. Sebaliknya, negara yang banyak mengimport makanan ke dalam negara ialah India, Pakistan, negara-negara Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina.

“Buat masa ini bekalan makanan utama (beras) negara tidak terjejas kerana negara yang terlibat konflik di Asia Barat tidak memainkan peranan besar dalam pembekalan makanan kepada Malaysia. Dari segi bekalan beras, kita mempunyai stok penimbal yang mampu menampung keperluan negara kira-kira lima bulan. Jika dicampur dengan stok di pasaran dan kedai-kedai, bekalan boleh bertahan sehingga kira-kira tujuh bulan,” katanya dipetik Awani.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa Malaysia belum terjejas dengan apa-apa hal berkaitan keterjaminan makanan. Pun begitu, Mohamad tidak menolak kemungkinan peningkatan kos import sekiranya konflik berlarutan atau terdapat lonjakan dalam harga minyak dunia.

 

Malaysia Banyak Bergantung Kepada Sumber Makanan Import

Salah satu perkara yang menjadi kebimbangan rakyat dalam situasi tidak menentu di peringkat antarabangsa adalah keterjaminan makanan. Ini kerana Malaysia banyak bergantung kepada sumber makanan import termasuk beras, daging beku, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Merujuk Code Blue, Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM) melaporkan lebih 80% produk makanan penting tertentu daripada tiga sumber utama. Sebagai contoh, lebih 80% bekalan daging beku diimport dari India, manakala beras dari Vietnam, Thailand dan Pakistan secara keseluruhannya menghasilkan lebih 80% bekalan kebangsaan negara.

Draf Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2030 menjelaskan bahawa perkara ini meletakkan Malaysia dalam risiko besar seperti berdepan kekurangan bekalan dan perubahan harga akibat tekanan luar termasuk gangguan perdagangan.

Bukan itu sahaja, kebanyakan bahan-bahan pertanian seperti benih, baja kimia, racun serangga dan makanan haiwan ternakan turut diimport dari luar negara, mendedahkan lagi Malaysia kepada risiko ketara akibat gangguan kepada rantaian bekalan global.

Satu artikel yang diterbitkan pada 2025 dalam FFTC Agricultural Policy Platform (FFTC-AP), turut membincangkan dilema keterjaminan makanan di Malaysia yang banyak bergantung kepada sumber import. Negara juga dikatakan mudah terkesan dengan dasar negara pengeluar yang mahu mengurangkan jumlah eksportnya. Seperti pada tahun 2020, bekalan tempatan di Malaysia turun mendadak apabila kerajaan India yang merupakan pembekal beras kedua terbesar buat negara memutuskan untuk mengurangkan eksport beras putih.

Merujuk sumber data Jabatan Pertanian Malaysia bagi tahun 2023, negara didapati tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk sara diri tanpa bergantung kepada produk import. Lebih-lebih lagi bagi bahan makanan ternakan, dengan hanya 14.7% keperluan negara yang dipenuhi oleh penghasil tempatan bagi daging lembu, 8.7% bagi daging kambing, dan 57.3% bagi susu. Hanya telur yang menunjukkan lebihan sebanyak 9% bagi keperluan negara.

 

 

Malaysia Kedua Tertinggi Dalam GSFI Di Asia Tenggara

Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Adilah A. Wahab dalam satu artikel pada tahun 2024 berkata, keterjaminan makanan di Malaysia masih menunjukkan ketidakstabilan, walaupun negara merupakan antara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia.

Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI) 2022 meletakkan Malaysia di tempat ke-41 daripada jumlah 113 negara, dengan penurunan tujuh tangga berbanding tahun sebelumnya. Pun begitu, kedudukan ini adalah kedua tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura yang berada di tempat ke-28.

Indeks sama menunjukkan bahawa keterjaminan makanan di Malaysia juga tidak begitu mampan dan boleh disesuaikan dengan keadaan semasa, iaitu di tempat ke-57. Namun ini adalah kedudukan terbaik antara negara-negara Asia Tenggara lain dalam senarai tersebut.

 

Malaysia Tingkatkan Usaha Dalam Penghasilan Produk Tempatan

Pun begitu, usaha Malaysia dalam meningkatkan hasil bagi memenuhi permintaan tempatan perlu diberi perhatian. Berdasarkan laporan The Star yang memetik Jabatan Perangkaan Negara, negara mencatatkan 26 bahan makanan yang dapat memenuhi permintaan ini sepenuhnya pada tahun 2021, berbanding 19 pada 2020.

Malah, pada tahun 2024, negara telah memulakan projek penanaman bawang merah bagi memenuhi permintaan tempatan dan menyasarkan untuk mencapai kadar sara diri sebanyak 30% menjelang tahun 2030.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030 bagi menangani isu keterjaminan makanan.


Rujukan:

0

Komen