Sultan merupakan kuasa tertinggi di setiap negeri yang bertindak sebagai Ketua Negeri. Di Malaysia, terdapat tujuh negeri yang diperintah secara rasmi oleh seorang Sultan, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor, dan Terengganu.
Manakala dua lagi negeri beraja yang lain diketuai oleh Raja (Perlis) dan Yang di-Pertuan Besar (Negeri Sembilan).
Merupakan sebahagian daripada Majlis Raja-Raja, golongan sultan dan raja diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing.
Bagi negeri-negeri tanpa sultan atau raja iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan, peranan sebagai Ketua Agama Islam dipegang oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).
Dalam pada itu, mungkin ada sesetengah golongan masyarakat yang masih belum jelas tentang peranan dan kuasa golongan diraja di negeri masing-masing.
Secara umumnya, seorang sultan atau raja merupakan Ketua Agama Islam di negerinya yang bermakna baginda mempunyai tanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.
Dalam masa sama, setiap negeri mempunyai Majlis Agama Islam tersendiri, yang berfungsi untuk membantu dan menasihati sultan dalam semua perkara berhubung dengan agama Islam di negeri mereka.
Berdasarkan artikel tentang peranan raja-raja Melayu yang diterbitkan dalam jurnal Al-Mimbar, kuasa raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam melibatkan tanggungjawab menjaga kesucian agama Islam dan adat istiadat Melayu di peringkat negeri.
Terdapat tiga institusi utama yang membantu dan menasihati raja-raja Melayu serta berperanan sebagai pihak berkuasa utama dalam hal ehwal agama Islam, pentadbiran keadilan, dan hukum syarak iaitu Majlis Agama Islam, Mahkamah Syariah, dan Mufti.
Seorang sultan juga mempunyai kuasa dalam memperkenan sebarang fatwa baharu yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri serta undang-undang lain berkaitan agama Islam.
Seperti pada 8 Julai 2026 lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan solat Jumaat dilakukan di mana-mana surau pusat beli belah di negeri itu.
Sebagai pelindung istiadat, kuasa sultan turut merangkumi hak eksklusif dalam istiadat pertabalan diraja, pemeliharaan warisan kesultanan, serta prosedur istana.
Sultan juga mempunyai kuasa dalam mengurniakan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat, serta melucutkan kembali gelaran tersebut jika difikirkan perlu.
Sebenarnya kuasa golongan diraja bukanlah tertakluk kepada hal ehwal agama sahaja, tetapi turut merangkumi perihal pentadbiran negeri seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Salah satu kuasa utama sultan atau raja adalah bagi perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat rasmi Menteri Besar atau Ketua Negeri. Dalam masa sama, sultan juga boleh memilih untuk tidak memperkenan pembubaran tersebut.
Di samping itu, sultan juga berkuasa melantik seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengetuai kerajaan negeri.
Di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, selepas seorang Menteri Besar dilantik, sultan perlu melantik suatu Majlis Mesyuarat Kerajaan yang merangkumi tidak lebih daripada 10 orang dan tidak kurang daripada empat orang ahli lain daripada kalangan ADUN atas nasihat Menteri Besar.
Dalam keadaan pelantikan dibuat semasa DUN terbubar, seseorang yang menjadi ADUN lepas boleh dilantik dahulu. Namun dia tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan pertama DUN baharu melainkan jika dia kekal sebagai ADUN.
Seorang sultan juga perlu memanggil DUN dari semasa ke semasa dan tidak membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. (Foto: Selangor Royal Office)
Di samping itu, sultan atau raja di setiap negeri juga mempunyai kuasa untuk melantik wakil negeri bagi majlis-majlis tertentu di peringkat persekutuan. Ini termasuklah bagi Majlis Tanah Negara, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan dan Majlis Kewangan Negara yang memerlukan seorang wakil dari setiap negeri.
Dari segi perundangan negeri, sultan atau raja juga akan memperkenan pindaan Rang Undang-Undang di peringkat negeri.
RUU ini perlu diluluskan menerusi sokongan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga ahli DUN terlebih dahulu, dan perlu diperkenan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ia dikemukakan sebelum ia sah diwartakan.
Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sultan dan raja juga diberi kuasa pengampunan termasuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan selain yang dibicarakan di mahkamah tentera yang dilakukan di dalam negerinya.
Seperti pada tahun 2024, Sultan Sharafuddin telah memberi pengampunan penuh kepada Dr Murad yang ketika itu ditahan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS).
Pun begitu, pengampunan berkenaan perlu dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi suatu negeri, dan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh sultan atau raja.
Sebagai perbandingan, kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula tertakluk kepada kuasa pengampunan YDPA.
Selain itu, sultan atau Yang di-Pertua Negeri bertanggungjawab membentangkan Laporan Suruhanjaya yang diterima dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di hadapan DUN.
Sultan juga perlu memastikan naskhah mana-mana Laporan Ketua Audit Negara yang berhubungan dengan akaun-akaun bagi sesuatu negeri atau pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh undang-undang negeri, dibentangkan di DUN.
Seperti semua sedia maklum, seorang sultan atau raja juga akan diangkat menjadi YDPA mengikut giliran negeri-negeri di Malaysia.
Pengecualian bagaimanapun diberikan dalam keadaan Ketua Negeri berkenaan belum mencapai usia dewasa, telah memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa tidak berhasrat dipilih sebagai YDPA atau menerusi ketetapan undi sulit oleh Majlis Raja-Raja bahawa baginda tidak sesuai untuk menjalankan fungsi YDPA disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau sebab lain.
Selepas diangkat menjadi YDPA, tugas seorang sultan atau raja adalah lebih besar dan meliputi tanggungjawab di peringkat persekutuan, bukan negerinya sahaja.