Ini Faktor Yang Menyebabkan Nilai Mata Wang Ringgit Menyusut Berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD)

Ini Faktor Yang Menyebabkan Nilai Mata Wang Ringgit Menyusut Berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD)

Nilai mata wang tempatan telah mencecah kadar pertukaran terendah berbanding Dolar Amerika Syarikat sejak Krisis Kewangan Asia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 23/02/2024 - Disunting : 23/02/2024

Petition to

Ini Faktor Yang Menyebabkan Nilai Mata Wang Ringgit Menyusut Berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD)

Mata wang Ringgit Malaysia (RM) telah menunjukkan kejatuhan yang mendadak berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) sejak hujung Mac 2022. Walaupun nilai ringgit mulai kukuh semula bermula November tahun sama, ia tidak dapat bertahan lama dan telah menjunam sejak Februari 2023 sehingga sekarang. 

Kadar pertukaran USD ke MYR bagi tempoh 10 tahun lepas. Sumber: XE.com

Berdasarkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pertukaran mata wang RM terhadap USD mencecah RM4.7 bermula pertengahan Januari tahun ini, dan telah mencapai RM4.7925 pada 22 Februari. Perkara ini bermakna mata wang negara hanya berada 2% sebelum mencecah RM4.885 bagi setiap USD, iaitu paras terendah pada tahun 1998 ketika Krisis Kewangan Asia. Media melaporkan nilai mata wang RM telah jatuh hampir 4% dalam tahun ini.

Merujuk kepada data semasa, Ketua Penyelidikan Asia di Australia dan New Zealand Banking Group (ANZ), Khoon Goh, berkata nilai mata wang negara berisiko tinggi mencapai paras terendah sepanjang masa. Hal ini adalah kerana eksport di Malaysia tidak pulih seperti negara Asia lain dan pertumbuhan ekonomi mungkin kekal hambar.

 

Faktor kejatuhan nilai ringgit berbanding USD

Pada 20 Februari lalu, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan bahawa prestasi mata wang tempatan dipengaruhi oleh faktor luaran, sama seperti mata wang lain di rantau Asia Tenggara. Antara faktor tersebut adalah pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

 

Pengukuhan ekonomi AS

Abdul Rasheed sebelum ini pernah berkata bahawa pengukuhan ekonomi AS turut menyebabkan kejatuhan nilai ringgit. Menurut laporan oleh Malaysia Gazette, USD terus mengukuh kerana Rizab Antarabangsa Amerika Syarikat (Fed) tidak mengurangkan kadar faedah buat masa ini. Setakat 23 Februari 2024, kadar semalaman yang ditetapkan oleh Fed adalah antara 5.25% hingga 5.5%. 

 

Kejatuhan mata wang Yuan China

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, dalam mengulas kejatuhan nilai ringgit turut memaklumkan bahawa tren mata wang dipengaruhi faktor luaran. Selain daripada kadar faedah ditetapkan AS, pengurangan kadar faedah oleh bank pusat China sebanyak 25 mata asas turut memberi kesan terhadap nilai ringgit. Hal ini adalah kerana ia melemahkan mata wang Yuan, dan sebarang pergerakannya akan mempengaruhi nilai mata wang tempatan.

Dalam pada masa sama, Bloomberg Intelligence turut melaporkan bahawa eksport Malaysia terjejas 10 bulan berturut-turut pada Disember 2023 akibat keruncingan ekonomi China.

 

Ketegangan Geopolitik

Terdahulu, media Utusan pada Oktober 2023, melaporkan Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, berkata, “kebimbangan yang meningkat berhubung dengan kemungkinan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing juga menyumbang kepada nilai AS semakin kukuh”. 

 

Lain-lain faktor luaran

Menurut laporan tinjauan ekonomi separuh kedua 2023 oleh OCBC Bank, terdapat enam faktor yang memberi tekanan kepada nilai ringgit. Selain daripada pengukuhan nilai USD dan kelemahan ekonomi China, nilai ringgit boleh menjunam akibat kadar pulangan hasil perbendaharaan AS yang lebih tinggi berbanding Malaysia dan kelemahan umum dalam harga minyak.

 

Faktor domestik

Di samping itu, terdapat juga faktor domestik yang mempengaruhi nilai mata wang tempatan seperti pengurangan lebihan akaun semasa dan langkah berhati-hati BNM dalam mengetatkan dasar monetari selepas penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama.

 

Kesan kenaikan kadar faedah oleh Fed AS

Selain daripada pengurangan kadar pertukaran mata wang negara dengan USD, kenaikan kadar faedah di AS turut menyebabkan nisbah milikan asing merosot. Perkara ini adalah kerana pulangan pelaburan adalah lebih tinggi di AS jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.0% di Malaysia.

Mohd Afzanizam berkata meningkatkan OPR untuk menyelesaikan isu kemerosotan mata wang negara adalah tidak tepat kerana ia boleh melemahkan ekonomi negara. Sebaliknya, kerajaan perlu “menunjukkan bahawa reformasi dasar ekonomi sedang dijalankan dan pelaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan,” di samping perubahan dilakukan secara beransur-ansur.

Ia bertujuan untuk menarik perhatian pelabur asing agar melakukan pembelian saham dan bon di Malaysia. Dia berkata melalui peningkatan jumlah pelaburan dalam negara, nilai ringgit bakal pulih pada masa hadapan.

 

Walaupun mata wang tempatan jatuh, negara catat rekod pelaburan baharu

Walaupun wang ringgit dilihat jatuh berbanding USD, namun pada 23 Februari, ia lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama termasuk Yen Jepun, Pound dan Euro. Dalam pasaran ASEAN, nilai ringgit naik berbanding Baht Thailand dan Dolar Singapura, tetapi merosot berbanding Rupiah Indonesia dan Peso Filipina.

Sehubungan keadaaan kewangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa ia tidak boleh disamakan dengan Krisis Kewangan Asia pada 1998 kerana kedudukan negara jauh lebih baik walaupun nilai ringgit turun berbanding USD.

Menurutnya, negara ketika itu turut mengalami kadar inflasi dan pengangguran yang tinggi, serta tiada pelaburan asing yang masuk dalam negara. Kini, Malaysia “mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan”.

Malah, angka terakhir pelaburan dalam negara yang diumumkan adalah paling tinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia. Perkara ini menunjukkan bahawa pelabur masih yakin dengan pasaran negara.

Susulan petunjuk daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS bahawa kitaran kenaikan kadar faedah akan dihentikan tidak lama lagi, dijangkakan bahawa nilai ringgit akan mengukuh berbanding USD.


Rujukan:

1. https://www.bnm.gov.my/exchange-rates
2. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1214700/pm-arah-gabenor-bank-negara-jawab-isu-prestasi-ringgit
3. https://www.sinarharian.com.my/article/650645/berita/nasional/pm-jemaah-menteri-perlu-beri-jawapan-kejatuhan-nilai-ringgit
4. https://www.kosmo.com.my/2023/10/23/kejatuhan-ringgit-sebab-faktor-luaran-bnm/
5. https://malaysiagazette.com/2024/02/18/tidak-mustahil-ringgit-capai-rm5-berbanding-dolar-as/
6. https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2024/02/1214827/ringgit-susut-ke-paras-terendah-26-tahun-berbanding-dolar
7. https://www.bloomberg.com/news/articles/2024-02-22/fidelity-manager-dumps-nearly-all-treasuries-on-growth-optimism
8. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/tiga-faktor-punca-ringgit-jatuh-termasuk-isu-semasa-palestin/
9. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/06/1117260/enam-faktor-punca-prestasi-ringgit-lemah-ahli-ekonomi
10. https://www.astroawani.com/berita-bisnes/ringgit-dibuka-rendah-berbanding-dolar-459457
11. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1215792/anwar-jelaskan-prestasi-ringgit-tak-boleh-sama-dengan-keadaan-1998
12. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1214487/kenaikan-kadar-faedah-di-bakal-berakhir-ringgit-akan-mengukuh

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 months ago