Ini Penjelasan Tentang Hadis Ramai Wanita Di Dalam Neraka

Ini Penjelasan Tentang Hadis Ramai Wanita Di Dalam Neraka

Beberapa hadis menyatakan bahawa Rasulullah SAW disaksikan gambaran di dalam neraka yang dihuni majoriti kaum wanita

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/01/2025 - Disunting : 31/01/2025

Petition to

Ini Penjelasan Tentang Hadis Ramai Wanita Di Dalam Neraka

Seorang Muslim wajib percaya bahawa setiap umat manusia akan dimasukkan ke dalam syurga mahupun neraka di hari akhirat kelak berdasarkan kepada ibadah dan kelakuan ketika masa hidup di dunia. Dalam masa sama, orang ramai pasti pernah mendengar tentang satu hadis bahawa majoriti penghuni neraka merupakan kaum hawa.

Terdapat beberapa hadis sahih yang menerangkan tentang perkara ini. Gambaran neraka yang dihuni ramai wanita itu disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Isra’ Mi’raj. Menurut Almarhum Datuk Abu Hasan Din sebelum ini menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda kepada para wanita agar banyakkan bersedekah kerana Baginda melihat neraka bakal dihuni ramai wanita.

Menurut allahyarham, apabila ditanya oleh salah seorang wanita ketika itu, Baginda berkata terdapat dua sebab ramai wanita dimasukkan ke dalam neraka iaitu banyak mengumpat dan mengingkari kebaikan suami.

Daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda,  “Aku diperlihatkan neraka. Kebanyakan penghuninya adalah wanita yang kufur.” 

Apabila ditanya, Baginda menjawab, “Mereka kufur kepada suami mereka, dan kufur kepada perbuatan baik yang dilakukan untuk mereka. Seandainya kalian melakukan kebaikan kepada seorang wanita sepanjang tahun, kemudian dia mendapati engkau melakukan sesuatu (yang dia tidak suka), dia akan berkata: Aku tidak pernah melihat kebaikan engkau langsung.”

Sahih Al-Bukhari

 

Tidak semestinya lelaki tidak ramai masuk ke neraka

Dalam masa sama, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus menerangkan hadis tersebut tidak bermakna kesemua lelaki akan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya beliau berkata ramai juga kaum lelaki yang masuk ke neraka. Namun ia bukanlah disebabkan oleh masalah rumah tangga, tetapi perkara lain termasuk jenayah seperti merompak dan membunuh yang dikatakan lebih banyak dilakukan oleh para lelaki.

“Bukan orang perempuan ramai, orang lelaki sikit (masuk ke dalam neraka). Tapi dalam bab kehidupan rumah tangga, lebih ramai orang perempuan,” jelasnya.

 

Ramai masuk neraka akibat dosa mulut dan kemaluan

Di samping itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, satu hadis menerangkan sebab mengapa kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka dan tidaklah dikatakan ia semata-mata hanya kerana jantina sama ada lelaki mahupun perempuan. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga dan menjawab,

تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ

Maksudnya: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” 

Riwayat al-Tirmizi

Syeikh Abdullah al-Talidi berkata di dalam kitabnya menjelaskan bahawa ‘mulut’ di dalam hadis di atas bermaksud orang yang melakukan dosa menggunakan mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. 

Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya dan sebagainya. 

 

Tidak dinyatakan jantina majoriti penghuni syurga

Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra’ Mi’raj juga telah disaksikan gambaran di dalam syurga dan melihat ramai golongan fakir miskin di dalam syurga. Berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain RA, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda,

Maksudnya: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” 

Riwayat Muttafaqun ‘alaih

Menurut penulis agama dan pendakwah, Ustaz Dzulkhairi Noor, kenyataan hadis bahawa syurga dihuni ramai orang fakir tidak bermakna tidak ramai wanita di syurga. Ini kerana golongan fakir tidak merujuk kepada kaum lelaki semata-mata.

 

Mungkin lebih ramai wanita berbanding lelaki di dalam syurga

Selain itu, terdapat juga pendapat bahawa mungkin lebih ramai wanita di dalam kedua-dua neraka dan syurga memandangkan jumlah mereka yang lebih ramai berbanding lelaki di atas dunia. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada hadis bahawa setiap lelaki akan memiliki dua orang isteri ketika di syurga kelak. Imam Muslim meriwayatkan hadis,

Maksudnya: “Muhammad SAW berkata: ‘Apakah mereka saling berbangga atau saling mengingatkan, lelaki atau wanita yang lebih ramai di syurga?’. Lalu Abu Hurairah RA menjelaskan, Bukankah Baginda pernah bersabda: ‘Sesungguhnya kumpulan pertama yang memasuki syurga adalah ibarat bulan purnama. Kumpulan berikutnya adalah ibarat bintang durri di langit. Setiap daripada mereka memiliki dua orang isteri yang mana kelihat tulang sumsum mereka di balik kedua-dua betis mereka. Dan tiada orang yang membujang di dalam syurga.’”

Malah, timbul juga pendapat bahawa apa yang disaksikan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan keadaan di neraka ketika peringkat awal iaitu lebih ramai wanita. Namun setelah dihukum, mereka akan dikeluarkan daripada neraka dan memasuki syurga, membuatkan jumlah kaum hawa lebih ramai berbanding lelaki di dalam syurga.

 

Wanita mudah masuk ke syurga

Walaupun hadis menerangkan bahawa majoriti penghuni neraka merupakan kaum wanita, namun ia tidak bermakna para muslimah tidak boleh mendapatkan tempat di dalam syurga. Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), terdapat empat perkara yang perlu dilakukan oleh wanita agar dapat dimasukkan ke dalam syurga iaitu:

  • Solat lima waktu
  • Puasa dalam bulan Ramadan
  • Menjaga kemaluan
  • Taat kepada suami

Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”.

Riwayat Ibn Hibban (4163)


Rujukan:

1. YouTube Ar-RahmanTV
2. YouTube Ustaz Azhar Idrus Official
3. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3435-irsyad-al-hadith-siri-ke-374-mulut-punca-ke-neraka
4. https://www.zakatselangor.com.my/artikel/kulihat-ramai-penghuni-syurga-itu-orang-miskin/
5. https://www.facebook.com/DzulkhairiNoor/posts/adakah-wanita-atau-lelaki-paling-ramai-di-dalam-syurgapersoalan-benarkah-wanita-/132348924817579/
6. https://www.facebook.com/JAWIWP/posts/4-rahsia-wanita-mudah-masuk-syurgahadis-yang-diriwayatkan-oleh-abu-hurairah-ra-b/500955285181651/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 weeks ago