Tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 telah ditetapkan pada 19 November 2022. Sehubungan dengan itu, banyak pihak mula berkongsi jumlah pemilih yang telah didaftarkan ke dalam senarai daftar pemilih pilihan raya.
Sejak 15 Disember 2021, pendaftaran secara automatik telah berkuatkuasa bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas. Jumlah pemilih yang telah berdaftar dan boleh mengundi di dalam PRU ke-15 adalah seramai 21,173,638 orang selepas mengambil kira Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 (DPT BLN8/2022). Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jumlah pemilih tersebut terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Tambahan lagi, selepas Undi 18 diiktiraf dan umur minimum mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun, seramai 1,393,549 pengundi berusia antara 18-20 tahun dijangkakan akan turut mengundi. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjangkakan tambahan sebanyak 7.8 juta pemilih baru bagi PRU ke-15 berbanding ketika PRU ke-14 empat tahun lepas. Katanya, 3 daripada 10 pemilih yang layak mengundi di dalam PRU ke-15 adalah pemilih yang pertama kali akan mengundi.
Trend daftar pemilih di Malaysia
Merujuk kepada SPR, terdapat 14,940,624 individu yang didaftarkan sebagai pemilih bagi PRU ke-14 menurut daftar pemilih setakat Suku Keempat Tahun 2017 (ST4/2017). Selepas PRU ke-14, trend daftar pemilih menunjukkan peningkatan yang sederhana bagi setiap suku tahunan. Namun begitu, lonjakan dalam daftar pemilih dapat dilihat pada Disember 2021 apabila daftar pemilih secara automatik diwartakan. Sejak itu, daftar pemilih digelar sebagai Daftar Pemilih Tambahan dan dikeluarkan secara bulanan.
Berdasarkan rajah di atas, lebih 7 juta pemilih baru telah berdaftar ke dalam senarai pemilih pilihan raya menjadikan jumlah pemilih lebih 22 juta setakat Ogos 2022. Harus diingat bahawa jumlah ini adalah sebelum mengetepikan jumlah pemilih yang telah dikeluarkan dari senarai daftar pemilih akibat kematian atau hilang warganegara. Berdasarkan jumlah sebenar pemilih bagi PRU-15, seramai lebih kurang 828,110 pemilih telah dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih.
Dapat dilihat jumlah pemilih baru sebenar hampir dengan jangkaan Tengku Zafrul bahawa lebih kurang 30% adalah pengundi baru. Daftar pemilih baru selepas Disember 2021 pula sudah tentu merupakan dari golongan mereka yang baru sahaja melonjak usia 18 tahun, jika tidak mengambil kira mereka yang baru mendapat kerakyatan dan lain-lain sebab.
Peningkatan mendadak pemilih di Sabah
Di negeri Sabah, jumlah pemilih berdaftar telah meningkat dengan mendadak bagi PRU ke-15 sehingga mencecah peningkatan sebanyak 54%. Ia telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Sabah seperti Menteri Besar Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Keraguan bukan sahaja kerana peningkatan mendadak, tetapi juga berpunca daripada kaum dan umur pemilih baru. Dikatakan terdapat peningkatan pemilih berbangsa Melayu dan India di kawasan minoriti, dengan majoriti pengundi baru berumur lebih 30 tahun. Di Keningau, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan mendakwa pemilih Melayu mencapai sehingga 70% jumlah pemilih. Menteri Besar Hajiji berkata dia akan bertemu dengan pihak SPR berhubungan dakwaan ini.