Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dilantik secara terus oleh kerajaan negeri

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/11/2022 - Disunting : 03/11/2022

Petition to

Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, pihak Pakatan Harapan telah memasukkan isu berkenaan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di dalam manifesto, dengan cadangan pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976. Selepas memenangi PRU ke-14, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pilihan raya PBT akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun lagi

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad, percaya bahawa pilihan raya PBT kemungkinan boleh menyebabkan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Pada Ogos 2020, iaitu setelah tampuk pemerintahan kerajaan diambil alih oleh Perikatan Nasional, Zuraida berkata pilihan raya tersebut tidak akan dijalankan kerana rakyat dan PBT masih belum bersedia dengan perubahan drastik sebegitu. Pilihan raya PBT didakwa akan menyebabkan ketegangan kaum terutamanya di kawasan bandar yang rata-rata didiami oleh penduduk Cina.

 

Pilihan Raya Negeri

Pilihan Raya Umum dilakukan bertujuan untuk memilih 222 orang ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai wakil rakyat. Secara umum, biasanya pada masa yang sama, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan turut dijalankan bagi pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). DUN adalah badan perundangan tertinggi bagi peringkat negeri dan tidak dikawal selia atau ditadbir oleh Parlimen. 

 

Pihak Berkuasa Tempatan

Bagaimanapun, satu lagi badan perundangan yang tidak begitu dibincangkan dalam soal pemerintahan negeri adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. PBT boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Majlis/ Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, berdasarkan kepada jumlah penduduk dan hasil tahunan di sesuatu kawasan. Terdapat sejumlah 149 PBT di seluruh Malaysia setakat ini. 

Terdapat empat jenis fungsi yang kebiasaannya dijalankan oleh PBT iaitu dalam soal perlindungan, awam (communal), individu dan perdagangan. Salah satu tugas PBT di bawah fungsi awam adalah penyediaan kawasan rekreasi dengan kemudahan yang mencukupi. PBT juga bertanggungjawab dalam keselamatan dan kebersihan awam, dan mempunyai kuasa untuk menghapuskan kacau ganggu.

Selain daripada itu, PBT juga perlu menjadi pihak berkuasa perancang tempatan serta bertanggungjawab dalam perancangan dan pembangunan kawasan dalam konteks pembangunan nasional. PBT turut menerima arahan am yang tidak bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 daripada kerajaan negeri. 

Seperti ahli Dewan Negara, rakyat tidak dapat membuat pemilihan bagi ahli-ahli majlis PBT. Ahli majlis PBT dipilih dan dilantik secara langsung oleh kerajaan negeri. Dengan itu, ternyata bahawa pemilihan ADUN memainkan peranan penting dalam rakyat mendapatkan ahli-ahli majlis yang bertanggungjawab. 

Mungkin ada yang mempersoalkan mengapakah PBT yang bekerja secara langsung untuk rakyat tidak perlu mendapatkan mandat rakyat, tetapi menjadi lantikan politik apabila dipilih sendiri oleh kerajaan negeri. Sebenarnya, pilihan raya PBT pernah diadakan pertama kali selepas merdeka pada tahun 1958.

Namun begitu, pilihan raya tempatan terakhir adalah pada tahun 1963, dan telah digantung sejak darurat Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1964. Pilihan raya PBT terus digantung dengan wujudnya Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang di bawah Perkara 10(1) menyatakan bahawa ahli majlis PBT adalah dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.

 

Mewujudkan semula Pilihan Raya PBT

Parti Sosialis Malaysia (PSM) percaya pilihan raya PBT ditolak oleh kerajaan bukan atas dasar perkauman, tetapi kerana pemimpin politik mahu melantik orang yang mereka kehendaki. Sebagai contoh di Perak, ahli majlis PBT yang dilantik oleh kerajaan PH ditamatkan perkhidmatan tidak lama selepas pertukaran kerajaan dan sebelum tamat kontrak khidmat. Memetik laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Timbalan Pengerusi PSM, Arulchelvan berkata pilihan raya PBT patut diteruskan dan dilakukan di banyak kawasan.

Tuntutan pilihan raya PBT juga merupakan salah satu resolusi Democratic Action Party (DAP) yang diluluskan pada tahun 2019. Ia bertujuan untuk memperkenalkan amalan demokrasi ke peringkat akar umbi, selain daripada memastikan akauntabiliti ahli majlis PBT kepada rakyat.


Rujukan:

1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pilihan-raya-pbt-akan-dilaksanakan-dalam-masa-tiga-tahun-lagi-176542
2. https://www.sinarharian.com.my/article/2497/berita/nasional/pilihan-raya-pbt-mapim-sokong-kenyataan-pm
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-putus-tidak-akan-adakan-pilihan-raya-pbt-zuraida-254143
4. https://www.malaysiakini.com/news/537529
5. https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/268
6. http://pdttapah.perak.gov.my/images/linkdownload/Peranan-Pihak-Berkuasa-Perancang-Tempatan-Dalam-Pembangunan-Tanah.pdf
7. https://partisosialis.org/ms/kembalikan-pilihanraya-tempatan/
8. https://peraktoday.com.my/2020/04/perak-tamatkan-khidmat-ahli-majlis-pbt-dilantik-era-ph/
9. https://suaramerdeka.com.my/dap-pbt-resolusi/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago