Adakah Seorang Islam Boleh Berkahwin Dengan Bukan Muslim?

Salah
Adakah Seorang Islam Boleh Berkahwin Dengan Bukan Muslim?

Di Malaysia, individu yang menganut agama lain dan hendak berkahwin dengan seorang Muslim perlulah bertukar ke agama Islam

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/09/2024 - Disunting : 27/09/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Seorang Islam Boleh Berkahwin Dengan Bukan Muslim?

Perkahwinan campur antara individu berlainan agama tidak menjadi masalah di negara-negara yang mengizinkannya. Sebagai contoh, terdapat hampir 40% pasangan di Amerika Syarikat (AS) dalam perkahwinan campuran sejak 2010, termasuklah perkahwinan antara individu Muslim dan bukan Muslim.

Berbeza dengan AS, seseorang bukan Muslim diwajibkan untuk memeluk agama Islam sekiranya hendak berkahwin dengan individu Muslim di Malaysia. Persoalannya, boleh atau tidak seorang beragama Islam berkahwin dengan bukan Muslim tanpa menukar agamanya menurut Islam.

 

Wanita Islam dilarang berkahwin dengan lelaki bukan Muslim

Pakar Sunni dan Syiah secara umumnya bersetuju bahawa ayat 221 al-Baqarah dan ayat 10 al-Mumtahanah melarang perkahwinan antara wanita beragama Islam dan lelaki bukan Muslim. Sebaliknya lelaki Muslim boleh mengahwini wanita yang merupakan ahli kitab.

Maksudnya: “Dan janganlah kamu nikahi perempuan musyrik sebelum mereka beriman. Sungguh hamba sahaya perempuan yang beriman lebih baik daripada perempuan musyrik meskipun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu nikahkan orang (lelaki) musyrik dengan (perempuan yang beriman) sebelum mereka beriman.”

Surah Al-Baqarah: 221

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).”

Surah al-Mumtahanah: 10

Berdasarkan kepada Seksyen 10 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, lelaki Muslim tidak boleh berkahwin dengan wanita yang bukan Islam, melainkan dia merupakan seorang ahli kitab (Kitabiyah). Manakala wanita tidak boleh berkahwin dengan lelaki bukan Islam.

 

Pelbagai pendapat yang mendefinisikan ahli kitab

Memandangkan perkahwinan antara lelaki Muslim dan ahli kitab dibenarkan, maka penting untuk memahami berkenaan terma ahli kitab ini.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ahli kitab secara ringkasnya merupakan golongan yang diberi kitab taurat dan injil, iaitu penganut agama Yahudi dan Kristian. Mereka dihukumkan sebagai Muslim jika beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Dalam masa sama, ahli kitab diwajibkan untuk meninggalkan syariat nabi-nabi terdahulu dan mengamalkan syariat Muhammadiyah serta akan menjadi Muslim.

Imam Syafie walau bagaimanapun mengkhususkan gelaran ahli kitab kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian daripada keturunan Bani Israel. Sebaliknya, individu yang menganut kedua agama samawi ini tetapi tidak berketurunan Bani Israel bukanlah ahli kitab.

Perkara ini diterangkan berdasarkan kepada pengutusan Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS kepada Bani Israel sahaja dan bukan kaum lain. Memandangkan kitab Taurat dan Injil diturunkan kepada Bani Israel, mereka digelar sebagai ahli kitab dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

أَنْ تَقُولُوا إِنَّمَا أُنْزِلَ الْكِتَابُ عَلَى طَائِفَتَيْنِ مِنْ قَبْلِنَا وَإِنْ كُنَّا عَنْ دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ

Maksudnya: “Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.”

Surah al-An’am: 156

Menurut Imam al-Syirazi, kalimah “dua golongan” (طَائِفَتَيْنِ) dalam petikan surah di atas merujuk kepada Yahudi dan Kristian.

Selain itu, terdapat juga pendapat bahawa ahli kitab bukan dikhususkan kepada penganut Yahudi dan Kristian yang berketurunan Bani Israel sahaja. Al-Shahrastani berpendapat ahli kitab termasuk sesiapa sahaja yang menerima kitab Taurat dan Injil, dan sama ada mereka mengamalkannya mahupun tidak.

Imam Abu Hanifah bula berpendapat ahli kitab termasuk mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) yang termasuk dalam penganut Kristian.

 

Malaysia telah mengambil pandangan Imam al-Syafie dan Imam al-Syirazi dalam hal ini. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 pada 14 Julai 1977 memutuskan bahawa takrif Kafir Kitabi atau ahli kitab (asli) ialah orang Yahudi atau Nasrani:

“Yang berketurunan Nabi Yaakub AS, jika tidak diketahui datuk neneknya memeluk agama itu selepas dinasakhkan (dibatalkan) oleh agama yang berikutnya (Yahudi dinasakhkan oleh Nasrani, atau Nasrani dinasakhkan oleh Islam); 

“Atau yang bukan berketurunan Nabi Yaakub AS, jika diketahui datuk neneknya memeluk agama itu sebelum dinasakhkan.”

 

Malaysia larang perkahwinan antara lelaki Muslim dan ahli kitab bukan asli

Di Malaysia, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 pada 14 Mei 1980 memutuskan bahawa pernikahan antara lelaki Muslim dengan wanita ahli kitab (bukan asli) adalah tidak sah menurut mazhab Syafie.

Jika terdapat pernikahan yang sedemikian telah dilakukan sebelum itu, ia hendaklah dibatalkan sekiranya tidak diakadkan mengikut Islam dan keluarga tidak mengamalkan cara hidup Islam. Bagi pernikahan suami/isteri Kristian dan suami memasuki Islam, ia dikira sah sekiranya kehidupan mengikut cara Islam.

Pendakwah Abdullah Bukhari Abd Rahim sebelum ini menjelaskan bahawa walaupun lelaki Muslim dibenarkan berkahwin dengan ahli kitab menurut al-Quran, namun ia bukanlah atas dasar perkahwinan semata-mata. Sebaliknya ia berkonsepkan dakwah agar isteri yang merupakan ahli kitab memeluk Islam menerusi hubungan akrab dalam rumah tangga.

Tambahnya lagi, ahli kitab merujuk kepada mereka yang beriman dengan kitab Injil dan Taurat yang belum diseleweng. 

 

Orang Islam tidak boleh berkahwin dengan bukan Muslim

Berdasarkan ayat al-Quran, perkahwinan antara seorang wanita beragama Islam dengan bukan Muslim adalah dilarang sama sekali. Manakala bagi lelaki Muslim pula, mereka diizinkan untuk berkahwin dengan ahli kitab, namun dilarang dengan bukan Muslim.

Namun terdapat pelbagai pendapat berkenaan definisi ahli kitab. Di Malaysia, perkahwinan lelaki Muslim dengan wanita ahli kitab bukan asli adalah tidak sah dan tidak akan diiktirafkan. Pasangan yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama. 

Dalam satu artikel oleh Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, dinyatakan bahawa individu Islam haram bertunang dengan bukan Muslim, walaupun dia berniat untuk memeluk Islam sebelum bernikah. Pasangan bukan Islam disarankan agar memeluk Islam dan mempelajar sedikit tentang agama itu sebelum bertunang.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Orang Bukan Islam Haram?

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Individu Islam Boleh Membuat Saman Ganti Rugi Jika Suami Atau Isteri Curang?


Rujukan:

1. https://oxfordre.com/religion/display/10.1093/acrefore/9780199340378.001.0001/acrefore-9780199340378-e-862
2. https://en.mkri.id/news/details/2022-06-28/Interfaith_Marriage_in_International_and_Islamic_Laws
3. https://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2020/10/ENAKMEN-UNDANG-UNDANG-KELUARGA-ISLAM-NEGERI-SELANGOR-2003.pdf
4. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/5337-al-afkar-125-adakah-ahli-kitab-dikira-sebagai-orang-beriman
5. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1389-al-kafi-li-al-fatawi-siri-ke-484-perkahwinan-dengan-perempuan-ahli-kitab
6. YouTube Berita AlHijrah, https://www.youtube.com/watch?v=91YxclqJRmI
7. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2013/09/27/perkahwinan-berlainan-agama-boleh-diambil-tindakan--jakim
8. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5268-irsyad-al-fatwa-siri-ke-686-hukum-tunang-pasangan-bukan-islam-yang-berniat-memeluk-islam

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 week ago