Benarkah Anak-Anak Golongan B40 Malas Belajar?

Salah
Benarkah Anak-Anak Golongan B40 Malas Belajar?

Timbul dakwaan bahawa individu yang berasal daripada golongan B40 malas belajar dan seringkali ketinggalan dalam pelajaran

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/11/2024 - Disunting : 26/11/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Anak-Anak Golongan B40 Malas Belajar?

Menerusi Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib, setiap kanak-kanak warganegara yang menetap di Malaysia wajib didaftarkan ke sekolah rendah dan menghabiskan pendidikan rendahnya.

Walaupun begitu, rata-rata murid masih menyambung pelajaran ke peringkat menengah sehingga memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya. Namun, terdapat juga pelajar yang tercicir dari persekolahan, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari latar belakang keluarga tidak berkemampuan.

Dalam masa sama, timbul pula tanggapan bahawa anak-anak yang berasal daripada latar belakang B40 malas belajar dan sering ketinggalan dalam pelajaran. Namun adakah perkara ini benar?

 

Statistik pelajar B40 di IPTA

Bagi dakwaan golongan B40 malas belajar yang dilontarkan, sesuai jika ia dibandingkan dengan jumlah kemasukan pelajar dari latar belakang tersebut ke institusi pengajian tinggi.

Merujuk kepada laporan oleh KPT, pada tahun 2023 sehingga Jun, 62.5% daripada jumlah 548,926 pelajar yang didaftarkan di universiti awam adalah daripada golongan B40, iaitu dengan pendapatan keluarga kurang RM5,000 sebulan. Daripada jumlah pelajar B40, hampir separuh (162,064) daripada mereka menerima tajaan.

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi

Perkara ini juga boleh dibandingkan dengan pendaftaran pelajar pra-siswazah ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi September 2024.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, jumlah pelajar daif dan miskin yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut adalah antara 69% ke 70% daripada 18,500 pelajar pra-siswazah.

 

Hampir 20% pelajar di IPTS dari golongan B40

Pelajar daripada golongan B40 di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga tidak kurang ramainya. 

Setakat 20 Februari 2023, Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat 469,058 pelajar daripada keluarga B40 di institusi pendidikan tinggi, yang merangkumi 385,555 (82.2%) di IPTA dan 83,503 di IPTS (17.8%).

 

60% murid tercicir dari sekolah akibat kemiskinan

Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat murid daripada keluarga miskin tercicir daripada persekolahan di peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Satu laporan media pada 2023 menjelaskan bahawa lebih ramai pelajar sekolah menengah (0.99%) yang keciciran persekolahan berbanding pelajar sekolah rendah (0.07%). Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata hal ini berlaku kerana majoriti mereka datang daripada keluarga miskin dan memilih untuk bekerja bagi menyara kehidupan keluarga.

“Ketidakhadiran akibatkan keciciran iaitu 60% atau lebih kerana kemiskinan. Di peringkat menengah keciciran lebih tinggi (pihak sekolah) sudah buat lawatan ke rumah murid keciciran.

“Kebanyakan murid sekolah menengah sudah mula bekerja untuk menanggung sara hidup keluarga. Mereka memilih untuk tidak menyambung pelajaran. Ini masalah sosial yang perlu dicari jalan penyelesaian,” katanya.

Tambahnya lagi, salah satu isu berkaitan kehadiran murid juga adalah kos tinggi yang perlu ditanggung oleh ibu bapa untuk menghantar ke sekolah, lebih-lebih lagi yang terletak jauh dari rumah.

Bercakap di Dewan Rakyat, Hui Ying ketika itu berkata pihaknya berhasrat untuk mewajibkan persekolahan selama 11 tahun, berbanding persekolahan wajib di peringkat rendah sahaja, bagi mengurangkan keciciran murid.

 

Prestasi pendidikan kanak-kanak miskin kurang berbanding dari golongan kaya

Dalam masa sama, persoalan yang ditimbulkan mengenai pelajar miskin yang ketinggalan dalam pelajaran harus diketengahkan. Pelbagai kajian mendapati murid dari latar belakang miskin atau tidak berkemampuan mendapat prestasi lebih rendah berbanding mereka dari keluarga kaya.

Merujuk kepada World Economic Forum, kajian mendapati kanak-kanak dengan ibu bapa yang miskin mempunyai kemahiran yang lebih teruk dalam bidang matematik dan bacaan ketika mereka mula bersekolah. 

Beberapa kajian turut menyimpulkan bahawa kemahiran pra-sekolah yang jauh berbeza ini akan berterusan hingga kanak-kanak mencecah dewasa. Perkara ini seterusnya boleh dikaitkan dengan pencapaian pendidikan dan pendapatan seumur hidup yang rendah.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Paediatrics & Child Health turut menyokong dapatan ini apabila merumuskan bahawa kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah mula bersekolah agak kebelakang (kurang bersedia) berbanding mereka dari keluarga kaya. Malah, pencapaian pendidikan kanak-kanak turut dipengaruhi oleh kejadian, kedalaman, tempoh dan masa kemiskinan.

Dalam Journal of Poverty and Social Justice pula, kajian telah dilakukan oleh para penyelidik bagi mengkaji potensi pengaruh polisi dan amalan ke atas kemampuan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk menyertai sepenuhnya dalam persekolahan harian.

Menerusi kajian tersebut, para murid yang terlibat dalam kumpulan fokus mendedahkan pelbagai halangan yang mempengaruhi pengalaman sekolah mereka. Ini termasuk kos pengangkutan dan sokongan terhad, kos pakaian, stigma dan penguatkuasaan kod pakaian sekolah, bahan yang terhad untuk belajar di sekolah dan rumah, kerisauan tentang makanan sekolah percuma, serta tidak dapat mengikuti rombongan sekolah, kelab dan acara.

 

Kanak-kanak kaya lebih berkemungkinan ke peringkat pendidikan tinggi

Kajian lain pula mendapati kanak-kanak yang tinggal bersama keluarga kaya adalah 20% lebih berkemungkinan untuk menghadiri trek tertinggi gred lima dan mendapatkan sijil berhenti sekolah tertinggi. Mereka juga 40% lebih berkemungkinan untuk menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Tambahan lagi, kekayaan ibu bapa juga dilihat amat berkesan dalam mengelak kesan negatif seperti berhenti sekolah tanpa sijil atau tidak mendapat latihan vokasional yang berkelayakan. 

Malah, bagi kanak-kanak yang tidak mencapai syarat untuk ke peringkat pendidikan tinggi, mereka dari keluarga kaya lebih berkemungkinan untuk menyertai latihan dwi vokasional (dual vocational training).

Dapatan daripada kajian-kajian di atas juga terpakai dalam konteks Malaysia. Ekonomi Rakyat sebelum ini menjelaskan bahawa pelajar berpendapatan rendah perlu bersaing dengan pelajar kaya yang mempunyai akses kepada kualiti pendidikan yang lebih tinggi dan kemudahan lain.

Satu kajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diterbitkan pada 2007 juga mendapati bahawa pelajar dari latar belakang sosio-ekonomi rendah kurang mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di IPTA. Perkara ini dijelaskan menerusi kemampuan pelajar dari keluarga sosio-ekonomi tinggi untuk mendapatkan gred yang lebih tinggi melalui persekitaran pembelajaran mereka yang lebih berkualiti.

 

Kanak-Kanak Golongan B40 Tidak Malas Belajar, Tetapi Berdepan Kekangan

Daripada statistik kemasukan pelajar ke IPTA, dapat dilihat majoriti mereka merupakan daripada golongan B40. Perkara ini jelas membuktikan bahawa anak-anak B40 sama sekali tidak malas belajar.

Dalam konteks pelajar B40 ketinggalan dalam pelajaran pula, banyak kajian yang telah dijalankan menyimpulkan bahawa perkara ini benar-benar berlaku. Namun ia terjadi akibat banyak halangan mereka terpaksa hadapi seperti kos pengangkutan dan bahan pelajaran yang terhad. Malah, pelajar dari golongan kaya mempunyai akses kepada persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut mengkritik sistem meritokrasi yang dikatakan hanya menjamin tempat di IPTA bagi golongan berduit. 

Bagi mengatasi isu terbabit, Khaled Nordin sebelum ini berkata pihak KPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan dalam usaha menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelajar golongan B40.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, memaklumkan bahawa terdapat seramai 6,624 pelajar cemerlang di seluruh negara yang menerima penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi Program Dermasiswa B40 (DB40) tahun 2024.

 

Baca Artikel Berkaitan: 

Adakah Sistem Meritokrasi Bagi Kemasukan Ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Lebih Menguntungkan Golongan Minoriti Berbanding Sistem Kuota?


Rujukan:

1. https://www.moe.gov.my/dasar-pengoperasian-pendidikan-rendah-wajib
2. https://great.mohe.gov.my/Admin/UploadPenerbitan/UploadPenerbitan.14122023%2017-22-06.pdf
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1301365/70-peratus-pelajar-uum-kumpulan-b40-kurang-bermampuan
4. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1071109/lebih-460000-pelajar-b40-ikuti-pengajian-di-ipt
5. https://malaysiagazette.com/2023/06/12/pelajar-miskin-pilih-bekerja-dari-belajar-untuk-sara-keluarga
6. https://www.weforum.org/stories/2015/04/why-do-poor-children-perform-more-poorly-than-rich-ones/
7. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC2528798/
8. https://www.researchgate.net/publication/335659989_The_influence_of_poverty_on_children's_school_experiences_pupils'_perspectives
9. https://academic.oup.com/esr/article/38/1/18/6335766

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 weeks ago