Benarkah Majikan Boleh Menghalang Pekerja Daripada Masuk Ke Industri Sama Selepas Meletak Jawatan?

Salah
Benarkah Majikan Boleh Menghalang Pekerja Daripada Masuk Ke Industri Sama Selepas Meletak Jawatan?

Sesetengah majikan meletakkan klausa tidak bersaing di dalam kontrak pekerjaan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/06/2024 - Disunting : 21/06/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Majikan Boleh Menghalang Pekerja Daripada Masuk Ke Industri Sama Selepas Meletak Jawatan?

Kontrak pekerjaan (employment contract) merupakan perjanjian yang ditandatangani antara dua pihak, iaitu majikan dan pekerja, ketika pekerja diberi tawaran pekerjaan. Ia menggariskan syarat-syarat pekerjaan serta perkara penting lain seperti gaji dan faedah lain.

Sesetengah kontrak pekerjaan walau bagaimanapun mengandungi klausa tidak bersaing (non-compete clause) atau sekatan agar pekerja tidak menyertai industri sama atau syarikat pesaing selepas meletak jawatan bagi satu tempoh tertentu.

Perkara ini kebiasaan dilakukan demi mengelak sebarang rahsia perdagangan atau ‘trade secrets’ syarikat daripada dikongsikan oleh pekerja dengan majikan baharu kelak. Persoalannya, adakah kontrak sedemikian terpakai di Malaysia?

 

Individu Tidak Boleh Dihalang Menjalani Perdagangan Secara Sah

Walaupun undang-undang berkenaan pekerjaan di Malaysia ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955, namun ia tidak menggariskan sebarang perundangan mengenai kontrak pekerjaan. Ini adalah kerana urusan kontrak, termasuk kontrak pekerjaan, diperuntukkan di bawah Akta Kontrak 1950.

Seksyen 28 di bawah akta ini menjelaskan bahawa sebarang perjanjian yang menghalang seseorang daripada menjalankan pekerjaan, perdagangan atau perniagaan secara sah adalah terbatal.

Seorang perunding HR, Syakir, menjelaskan di video TikToknya bahawa kontrak tersebut akan secara sendirinya terbatal dan menjadi tidak diperakui di sisi undang-undang walaupun telah ditandatangani oleh pekerja. Tambahnya, kontrak sedemikian yang telah dibayar duti setem dan dimatikan setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga masih akan terbatal.

Perkara ini bermakna individu terbabit tidak lagi terikat dengan kontrak yang ditandatangani olehnya dan bebas untuk terlibat dengan sebarang aktiviti perdagangan lain yang sah.

Namun begitu, harus diingat bahawa posisi Malaysia mengenai klausa tidak bersaing berbeza dengan common law. Berdasarkan maklumat di International Bar Association (IBA), sekatan perdagangan selepas perletakkan jawatan adalah terbatal di bawah common law melainkan ianya munasabah. 

Antara negara yang mengambil kedudukan common law dalam isu klausa tidak bersaing ialah Singapura dan Hong Kong. Oleh itu, sekiranya seorang pekerja digajikan oleh majikan luar negara, mereka perlu mengambil tahu undang-undang di negara sana mengenai sekatan ini.

 

3 Pengecualian Di Bawah Seksyen 28 Akta Kontrak 1950

Seksyen 28 menjelaskan bahawa klausa tidak bersaing bagi pekerja akan serta-merta terbatal. Dalam masa sama, terdapat tiga pengecualian bagi rakan kongsi dan nama baik (goodwill) perniagaan.

Untuk makluman tambahan, goodwill merupakan satu jenis aset tak ketara (intangible asset) yang dapat dikaitkan dengan pembelian sesebuah syarikat oleh syarikat lain. Antara aspek goodwill ialah nilai nama syarikat/ jenama, reputasi jenama, kesetiaan pelanggan dan perkhidmatan pelanggan yang bagus.

Pengecualian pertama adalah bahawa dalam penjualan sesebuah goodwill syarikat, penjual boleh bersetuju dengan pembeli untuk tidak menjalankan perdagangan yang sama dalam satu tempoh yang dibenarkan. Perkara ini tertakluk kepada had yang dilihat bermunasabah mengikut mahkamah.

Di samping itu, rakan kongsi sesebuah syarikat yang akan dibubarkan juga boleh bersetuju agar sesetengah daripada mereka atau semua sekali tidak menjalankan perniagaan yang sama dengan syarikat tersebut, mengikut tempoh tertentu.

Bagi perkongsian (partnership) yang dilanjutkan pula, sesetengah rakan kongsi atau kesemuanya boleh bersetuju untuk tidak menjalankan apa-apa perniagaan selain dari perkongsian tersebut.

Sumber: Akta Kontrak 1950

 

Pekerja Boleh Dihalang Dari Menawarkan Servis Kepada Pihak Lain

Walaupun pekerja tidak boleh dihalang untuk menyertai industri sama setelah meletak jawatan, namun majikan boleh meletakkan had perdagangan sewaktu tempoh pekerjaan.

Menurut laman web Richard Wee Chambers, majikan boleh meletakkan syarat agar pekerja tidak terlibat dengan perdagangan lain dalam industri sama sewaktu mereka masih digaji. Halsbury’s Laws of Malaysia on Contract (Volume 4) menjelaskan bahawa walaupun perdagangan pekerja tersebut terhad, namun ia tidak dianggap sebagai sekatan perdagangan (restraint of trade).

Oleh itu, perjanjian bahawa pekerja syarikat tidak boleh mempraktikkan perdagangan atau menawarkan kemahirannya kepada pihak ketiga bukanlah satu bentuk sekatan yang akan terbatal di bawah Seksyen 28 Akta Kontrak 1950.

Jika pekerja melakukan perkara sedemikian ketika dalam tempoh pekerjaan, ia bermakna dia telah melanggar perjanjian kontrak dan mungkin telah melakukan konflik kepentingan (conflict of interest).

Keputusan Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan Polygram Records Sdn Bhd v Hillary Ang & Ors (The Search) & Anor [1994] jelas menyatakan bahawa Seksyen 28 Akta Kontrak 1950 hanya terpakai apabila seorang individu dihalang daripada melakukan perdagangan selepas meletak jawatan dan bukan sewaktu kontrak pekerjaan masih berjalan.

 

Kerahsiaan ‘Trade Secrets’ Bekas Majikan

Seperti yang dinyatakan di awal artikel tadi, klausa tidak bersaing selalunya dilakukan demi menjaga rahsia perdagangan syarikat. Namun, jika klausa tersebut terbatal, adakah ini bermakna bekas pekerja bebas untuk berkongsi rahsia tersebut dengan majikan baharu?

Menurut Thomas Philip Advocates and Solicitors, mahkamah akan menentukan jika kontrak tersebut menghalang perdagangan seseorang atau hanya mengehadkan cara perdagangan tersebut dijalankan. Jika ia hanya bertujuan bagi mengehadkan cara perdagangan, maka kontrak tersebut boleh dikuatkuasakan dan tidak terbatal.

Keputusan Mahkamah Persekutuan bagi perbicaraan Dynacast (Melaka) Sdn Bhd & Ors v Vision Cast Sdn Bhd & Anor [2016] menjelaskan bahawa bentuk klausa sedemikian masih boleh dikuatkuasakan walaupun tidak diperuntukkan secara nyata di dalam kontrak pekerjaan.

Klausa tersebut bertujuan agar bekas pekerja tidak menjadi pesaing berbahaya buat bekas majikan menggunakan ilmu dan pengalaman yang ditimba sewaktu bekerja di sana. 

 

Majikan Tidak Boleh Menghalang Pekerja Daripada Memasuki Industri Sama Setelah Tamat Tempoh Kontrak

Berdasarkan Seksyen 28 Akta Kontrak 1950, jelas bahawa seorang pekerja yang telah meletak jawatan tidak boleh dihalang oleh bekas majikan untuk bekerja di industri yang sama. Namun begitu, terdapat pengecualian tertentu bagi rakan kongsi dan goodwill perniagaan.

Dalam pada itu, majikan boleh mengehadkan pekerja daripada menawarkan servis kepada pihak lain sewaktu tempoh kontrak berlangsung. Malah, pekerja juga tidak boleh berkongsi rahsia perdagangan bekas majikan walaupun setelah tempoh kontrak tamat.


Rujukan:

1. https://www.rcrc-resilience-southeastasia.org/wp-content/uploads/2017/12/Contracts-Act-1950.pdf
2. https://www.ibanet.org/article/82ff53a2-0d91-468b-8a18-caab863c52d8
3. https://www.investopedia.com/terms/g/goodwill.asp
4. https://www.richardweechambers.com/restraint-of-trade-v-restrict-of-trade/
5. https://www.thomasphilip.com.my/articles/restraint-of-trade-clauses-in-employment-contracts-in-malaysia/
6. https://www.thomasphilip.com.my/articles/what-does-the-non-compete-clause-in-your-contract-mean-part-2/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago