Benarkah Minum Banyak Air Kosong Dapat Kawal Gula Dalam Darah?

Benar
Benarkah Minum Banyak Air Kosong Dapat Kawal Gula Dalam Darah?

Pengambilan gula yang berlebihan akan menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/11/2024 - Disunting : 15/11/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Minum Banyak Air Kosong Dapat Kawal Gula Dalam Darah?

Pengambilan gula secara berlebihan sememangnya tidak bagus untuk kesihatan dan boleh menjadi punca pelbagai penyakit seperti diabetes. 

Mungkin ada yang berpendapat bahawa minum air kosong setelah mengambil gula dapat ‘menghilangkan’ gula yang baru diambil itu daripada dalam darah. 

Namun ada yang menerangkan perkara ini sebenarnya tidak tepat memandangkan jumlah gula yang diambil akan kekal di dalam badan dan tidak akan ‘dicairkan’. Mari kita semak berkenaan perkara ini dengan lebih lanjut.

 

Gula berlebihan disimpan sebagai glikogen dan lemak

Sebelum meneliti lebih lanjut mengenai hubung kait antara pengambilan air kosong dan gula, penting untuk mengetahui bagaimanakah gula berlebihan disimpan di dalam tubuh badan.

Walaupun gula yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai penyakit serius, namun ia masih diperlukan oleh tubuh badan sebagai sumber tenaga. Gula kompleks akan dihadam menjadi gula ringkas seperti glukosa dan fruktosa untuk digunakan oleh sel-sel badan yang memerlukan tenaga untuk berfungsi. Melalui proses glikolisis, gula dihadam menjadi molekul adenosina trifosfat (ATP).

Menurut Cleveland Clinic, apabila tubuh badan tidak memerlukan glukosa daripada makanan yang diambil, ia akan disimpan sebagai glikogen di dalam otot dan hati sebelum digunakan kemudian.

Kredit gambar: Manki Kim/ Unsplash

Apabila tenaga diperlukan, glukagon dalam pankreas akan mencetus glikogen agar diubah kembali menjadi glukosa dan masuk ke dalam saluran darah. Selain itu, terdapat juga gula lebih yang akan disimpan sebagai lemak.

Dalam seorang individu yang sihat, pankreas akan melepaskan insulin apabila tahap gula dalam darah tinggi. Insulin ini akan mengawal tahap gula dalam darah dengan membantu glukosa dalam darah untuk masuk ke dalam sel badan, seterusnya digunakan sebagai tenaga. 

Namun pengambilan gula berlebihan boleh mengakibatkan badan mengalami kerintangan insulin yang menyebabkan sel suka mengambil gula daripada dalam darah.

Kedua-dua glukagon dan insulin memainkan peranan penting dalam mengawal kandungan gula dalam darah.

 

Kandungan air dalam badan tidak beri kesan pada gula dalam darah selepas baru makan

Merujuk kepada satu laman web tentang pemakanan, Zoe, tidak banyak kajian dijalankan bagi mengukur kesan pengambilan air kosong semasa atau selepas makan terhadap tahap gula dalam darah.

Berdasarkan satu kertas kajian, pengkaji telah mewujudkan hipotesis bahawa gula dalam darah akan meningkat jika terdapat peningkatan kepekatan kopeptin (seperti dalam pesakit diabetes) dan pengurangan isipadu sel sekitar 3%.

Kajian tersebut telah dijalankan bagi mengenal pasti hubungan antara kurang air dalam badan dengan pengawalan glisemik, iaitu ukuran peningatkan tahap gula dalam darah selepas makan.

Ia mendapati apabila badan mengalami hipohidrasi, iaitu kekurangan air, kepekatan kopeptin plasma akan meningkat, manakala isipadu sel dan kandungan air dalam otot (ketika berpuasa) berkurangan. Namun tiada kesan yang ditemukan ke atas pengawalan glisemik.

Ini bermakna kurang air tidak memberi kesan ke atas kawalan gula dalam darah bagi seorang dewasa yang sihat. Para pengkaji menyimpulkan bahawa tahap hidrasi badan tidak memberi kesan terhadap kandungan gula dalam darah selepas makan.

 

Minum air banyak dapat kawal gula dalam darah

Walaupun begitu, pengambilan air yang banyak dipercayai dapat mengelakkan atau menangguhkan permulaan hiperglikemia dan diabetes seterusnya.

Dalam satu kajian pada 2011, peserta yang minum lebih satu liter air kosong sehari mempunyai 28% kurang risiko mengalami hiperglikemia, berbanding mereka yang minum kurang 500ml air sehari.

Malah, air kosong juga penting buat pesakit diabetes. Menurut Diabetes.co.uk, pesakit diabetes memerlukan lebih banyak air apabila tahap gula dalam darah tinggi. Ini akan membantu buah pinggang untuk menyingkirkan lebihan gula menerusi air kencing, sekaligus mengurangkan gula dari dalam darah.

Kredit gambar: Asphotography/ Pexels

Healthline juga menyenaraikan minum air kosong sebagai salah satu cara untuk mengekalkan gula dalam darah dalam julat yang sihat. Ini kerana selain mengelakkan dehidrasi, air juga dapat membantu buah pinggang untuk mengeluarkan lebihan gula menerusi urin atau air kencing.

Satu tinjauan yang dijalankan mendapati individu yang minum banyak air kosong mempunyai risiko lebih rendah mempunyai kadar gula dalam darah tinggi.

Di samping itu, air kosong juga dapat menghidrat semula darah, menurunkan kandungan gula dalam darah, sekaligus mengurangkan risiko diabetes. 

 

Minum air kosong dapat kawal gula dalam darah

Walaupun minum air kosong dapat mengawal kadar gula dalam darah, namun tidak dapat dipastikan jika minum air sewaktu atau selepas makan/minum dapat mengurangkan kadar gula dalam darah.

Sebaliknya, satu kajian yang dijalankan menyimpulkan bahawa dehidrasi tidak mempunyai sebarang kesan ke atas kandungan gula dalam darah selepas makan bagi individu yang sihat.

Namun begitu, orang ramai terutamanya mereka yang mengalami diabetes dan penyakit metabolisme diingatkan agar mengawal pengambilan gula. Walaupun gula diperlukan bagi tubuh badan sebagai tenaga, namun pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan masalah serius. Antara simptom hiperglisemia adalah: 

  • Banyak kencing
  • Berasa lebih dahaga
  • Penglihatan kabur
  • Berasa lemah dan penat yang melampau

 

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Pengambilan Gula Berlebihan Mempunyai Hubung Kait Dengan Risiko Kanser?

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Minuman Bergula Merangsang Pertumbuhan Tumor?

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Terdapat Penyakit Yang Boleh Menyebabkan Kulit Menjadi Hitam?


Rujukan:

1. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/23509-glycogen
2. https://zoe.com/learn/does-drinking-water-lower-blood-sugar#how-water-affects-blood-sugar
3. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6397405/
4. https://diabetesjournals.org/care/article/34/12/2551/39030/Low-Water-Intake-and-Risk-for-New-Onset
5. https://www.diabetes.co.uk/food/water-and-diabetes.html
6. https://www.healthline.com/nutrition/14-ways-to-lower-blood-sugar#water

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 weeks ago