Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Benarkah Haram Muslim Sentuh Anjing Tanpa Keperluan?

Semak Fakta | Agama

Pada masa kini terdapat ramai penyelamat haiwan dan doktor veterinar yang beragama Islam, sehingga timbulnya persoalan sama ada mereka boleh menyentuh anjing.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 16/04/2026

Isu penyelamat haiwan yang memegang anjing sering dibincangkan dalam kalangan masyarakat di dalam negara ini. Malah masih ramai yang menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang menyalahi agama walaupun anjing dipegang dengan tujuan untuk diselamatkan nyawanya.

Seperti yang berlaku pada 13 April 2026, seorang penyelamat haiwan secara spontan memeluk seekor anjing yang dikembalikan kepadanya setelah terlibat dalam kemalangan di lebuh raya.

Baca Artikel Berkaitan: Van Bawa Anjing & Puluhan Kucing Dilanggar Lori Ketika Dalam Perjalanan Ke Pet Expo

Dalam satu hantaran di Threads, seorang individu berkata tindakan memegang anjing seolah-olah seperti satu perbuatan untuk menormalisasikan perkara haram atas dasar ‘cinta pada haiwan’. Namun orang ramai berkata bahawa memegang anjing sebenarnya tidaklah haram dan haiwan itu hanya disifatkan sebagai najis.

Perkara ini sekali gus menimbulkan persoalan apakah hukum sebenar memegang anjing mengikut Islam.

 

Anjing Dihukum Sebagai Najis Mughallazah Dalam Mazhab Syafie

Mengikut Mazhab Syafie, anjing merupakan salah satu najis mughallazah selain babi. Ini bermakna ia merupakan najis yang berat untuk disucikan dan tidak memadai jika hanya dibasuh seperti najis-najis lain.

Jika seseorang telah menyentuh najis mughallazah, dia perlulah bersertu, iaitu membasuh menggunakan satu bahagian air tanah dan enam bahagian air mutlak.

Malah Mazhab Syafie turut menyatakan bahawa mana-mana bahagian anggota badan anjing dianggap sebagai najis yang tidak seharusnya dipegang, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا
أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا
في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

Maksudnya: “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dan anggota-anggota badan anjing yang lain. Apabila sesuatu benda yang bersih terkena kencingnya, najisnya, darahnya,  peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya sedangkan salah satunya basah, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.”

 

Haram Pegang Anjing Dengan Sengaja

Jadi apakah pula hukum seorang Muslim dengan sengaja memegang seekor anjing?

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Imam al-Bujairimi dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haithami menyatakan bahawa menyentuh najis secara sengaja adalah haram hukumnya. Ini termasuklah menyentuh anjing tanpa sebarang tujuan yang dibenarkan.

Berdasarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor, para fuqaha telah memperincikan kaedah memelihara dan memegang anjing terutamanya dari aspek kebersihan dan pengawalan, serta menegaskan bahawa syarak tidak membenarkan memegang anjing tanpa keperluan.

Namun ini tidak bermakna Muslim dilarang memegang anjing dalam situasi terdesak. Seperti yang dijelaskan oleh Doktor Veterinar, Salehatul Khuzaimah, seorang Muslim dibenarkan memegang, merawat, atau mengendalikan anjing apabila terdapat keperluan. Ini termasuklah mereka yang bekerja dalam bidang veterinar, penyelamatan haiwan, atau kawalan penyakit.

Katanya perkara ini penting kerana umat Islam ditekankan agar berbuat baik terhadap semua makhluk yang hidup. Malah merawat, memvaksin dan mensterilkan anjing merupakan antara usaha penting dalam mencegah penyakit berjangkit seperti rabies.

Isu ini juga telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali ke-54/ 2021 yang memutuskan bahawa doktor haiwan yang merawat anjing merupakan satu perbuatan yang baik, dengan memetik hadis sahih tentang seorang pelacur yang diampuni Allah SWT kerana memberi minum kepada haiwan itu. Selain itu, menjadi jurulatih yang mengajar anjing seperti untuk memburu, mengesan barangan, penjenayah dan seumpamanya juga merupakan pekerjaan yang syarie.

 

Muslim Tak Boleh Sengaja Pelihara Anjing

Selain memegang anjing, memelihara haiwan itu dengan sengaja juga tidak dibenarkan dan akan mengurangkan pahala seseorang. Ini seperti disebut dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُيَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا ‌كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ ‌مَاشِيَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing, maka akan berkurang pahalanya sebanyak satu qirat setiap hari kecuali anjing yang digunakan untuk tujuan keselamatan atau penternakan. 

Riwayat al-Bukhari

Malah Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan haram bagi orang Islam memelihara anjing di rumah sebagai haiwan peliharaan. Pun begitu, penting untuk tahu bahawa Islam mengharuskan anjing dipelihara dalam keadaan tertentu seperti bagi:

  • Tujuan memburu
  • Menjaga tanaman dan ternakan
  • Membantu pihak berkuasa 
  • Menjaga keselamatan 
  • Pemandu jalan seperti untuk orang buta

Namun anjing yang dipilih bagi tujuan di atas haruslah bersifat tahan lasak dengan sifat fizikal yang garang atau bersesuaian dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan, dan bukanlah anjing yang kecil dan comel sifatnya.

 

Tak Patut Pamer Perbuatan Sentuh Anjing

Dalam masa sama, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata seorang Muslim yang memelihara anjing atas tujuan yang dibenarkan tidak sepatutnya mempamerkan perbuatan menyentuh anjing kerana bimbang dapat menimbulkan fitnah kepada diri, negara dan masyarakat.

“Lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie yang berpandangan bahawa anjing termasuk daripada haiwan najis mughallazah. Selain itu, masyarakat Islam di Malaysia juga agak sensitif terhadap anjing dari sudut hukum kenajisannya tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu perlu menghormati sensitiviti agama dan tidak menimbulkan perbuatan provokatif yang menganggu keharmonian,” ujarnya.

Rujukan:

  1. https://akuislam.com/panduan/najis-mughallazah/
  2. https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/17/8-taudhih-al-hukmi-hukum-memelihara-dan-memegang-anjing/
  3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  4. https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/17/8-taudhih-al-hukmi-hukum-memelihara-dan-memegang-anjing/
  5. Doktor Veterinar, Salehatul Khuzaimah
  6. https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/582-fatwa-berkaitan-muslim-yang-berurusan-dengan-anjing
  7. https://mufti.penang.gov.my/index.php/en/efatwa-2/325-pemeliharaan-anjing-sebagai-haiwan-peliharaan-oleh-orang-islam
  8. https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/6332-irsyad-hukum-siri-ke-921-hukum-perbuatan-berbangga-menyentuh-dan-mempamerkan-anjing-di-media-sosial