Sejak kebelakangan ini, tular isu mengenai operasi Network School yang dijalankan di sebuah bangunan di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
Apa yang menjadi kerisauan ramai rakyat Malaysia adalah apabila timbulnya dakwaan terdapat warga Israel yang terlibat dengan operasi tersebut.
Situasi ini menimbulkan tanda tanya sama ada negara benar-benar menghalang kemasukan warga Israel dan apa terjadi sekiranya didapati warga Israel di dalam negara.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Warga Asing Beli Bangunan Di Forest City, Kononnya Nak Bina ‘Negara Baharu’
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Johor Gesa Siasatan Ke Atas Network School Selepas Dakwaan Terdapat Warga Israel
Difahamkan individu-individu yang didakwa merupakan warga Israel berjaya masuk ke Malaysia kerana menggunakan pasport kedua. Dalam kata ringkas, mereka mempunyai kerakyatan lain selain Israel atau dual citizenship.
Dalam mengulas isu tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini.
Jelasnya, ini kerana Malaysia mempunyai pendirian jelas untuk tidak mengiktiraf Israel.
“Kita siasat … kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil. Kalau ada rakyat Israel kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera,” kata beliau dipetik MalaysiaKini.
Setakat ini, siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan terdapatnya warga Israel yang terlibat dengan operasi Network School di Johor.
Pun begitu, memandangkan individu warga Israel terbabit dipercayai menggunakan pasport negara lain untuk memasuki Malaysia, timbul persoalan sama ada ini merupakan satu bentuk kesalahan.
Seperti pada tahun 2022, pempengaruh global yang didakwa warga Israel, Nuseir Yassin atau lebih dikenali sebagai Nas Daily, didapati berjaya melepasi pintu masuk negara.
Ini merupakan percubaan keduanya setelah dia sebelum itu dilarang masuk ke Malaysia kerana menggunakan pasport Israel.
Dia kemudiannya mendakwa telah ‘membeli’ kewarganegaraan sebuah negara dari kepulauan Caribbean, Saint Kitts and Nevis, seterusnya berjaya memasuki Malaysia menggunakan pasport yang dikeluarkan negara tersebut.
Mengulas mengenai isu itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Nuseir pasti tidak akan melepasi pintu masuk negara jika menggunakan pasport Israel.
Beliau menegaskan, Nuseir ketika itu tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi akta imigresen kerana memiliki pasport yang tulen dan dikeluarkan negara pengeluar.
Tambah beliau lagi, sistem tidak menunjukkan Nuseir sebagai seorang warga Israel kerana dia menggunakan kerakyatan negara lain ketika itu.
“Perlu dijelaskan, beliau juga tidak mempunyai sebarang kesalahan di bawah peraturan Imigresen dan sebab itu kelulusan di bawah pas pelancong diberikan pada 16 Oktober lalu. Beliau keluar dari negara ini pada hari yang sama, iaitu 16 Oktober.
“Malah, dia juga didapati tidak memiliki kesalahan sama ada dalam sistem imigresen ataupun Interpol, yang diintegrasikan dengan sistem imigresen negara ini,” katanya dipetik Berita Harian.
Bukan sahaja memasuki pintu negara untuk melancong, malah warga Israel juga dilarang menjejakkan kaki ke Malaysia bagi tujuan transit ketika penerbangan antarabangsa.
Berdasarkan laporan media pada Mac 2026, seramai lapan warga Israel telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh beberapa bulan.
Memetik laporan media Israel, Ynet, didakwa bahawa sesetengah daripada mereka yang ditahan mempunyai dua kewarganegaraan, manakala yang lain menggunakan pasport Israel.
Katanya, individu yang ditahan termasuk mereka yang mahu melancong ke Malaysia atau transit di KLIA dalam penerbangan ke destinasi lain di Asia.
Difahamkan empat daripada mereka ditahan ketika transit ke Filipina, termasuk dua yang menggunakan pasport Israel dan hanya boleh bertutur dalam bahasa Hebrew.
Dalam insiden lain, dua warga Israel yang transit di Malaysia dalam perjalanan dari Kembojanke Filipina telah ditahan selama dua hari.
Berdasarkan dokumen keperluan visa oleh Kementerian Luar Negeri (KLN), warga Israel yang ingin menjejakkan kaki ke Malaysia perlu membuat permohonan visa dan mendapatkan kebenaran bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Namun difahamkan permohonan ini bukanlah dibuka oleh sesiapa sahaja, tetapi bagi tujuan menghadiri acara rasmi yang disokong agensi kerajaan Malaysia. Seperti sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) berkata pihaknya akan membantu kemasukan delegasi dari Israel bagi tujuan Business Tourism.
Kelulusan juga tertakluk kepada semakan oleh Polis Diraja Malaysia, KLN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kementerian lain yang berkaitan dengan acara yang ingin dihadiri seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kongres perubatan.
Keputusan akan dibuat oleh pihak KDN setelah menerima maklum balas dari semua Kementerian dan agensi terlibat, kebiasaannya mengambil masa tiga ke empat bulan.
Walaupun setelah kelulusan diberikan, warga Israel tersebut masih perlu membuat permohonan visa di Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan mengepilkan ‘Security Confirmation Letter’ yang diterima sebagai bukti kelulusan.
Malaysia tidak membenarkan warga Israel memasuki negara memandangkan tiada hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Dalam masa sama, pasport Malaysia juga tidak boleh digunakan untuk memasuki tanah haram Israel.
Selain Malaysia, terdapat beberapa lagi negara lain, kebanyakannya negara-negara Islam, yang turut menghalang kemasukan warga Israel iaitu:
Sebagai info, Malaysia juga tidak membenarkan mana-mana syarikat berdaftar dengan Israel beroperasi mahupun melabur di dalam negara.