Guna Imej Orang Lain Untuk Cipta Kandungan AI Tanpa Izin, Salah Atau Tak?
Oleh : sharifahtrp
Diterbitkan : 3/5/26 - Disunting : 3/5/26
Keputusan:
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai ‘artificial intelligence’ (AI) kini semakin menular dalam kalangan masyarakat global. Walaupun terdapat banyak kebaikan AI yang boleh dinikmati oleh pengguna, namun tidak dapat dinafikan ada sesetengah pihak yang menyalahgunakan teknologi itu. Ini termasuklah penghasilan kandungan deepfake yang digunakan bagi tujuan penipuan ataupun penyuntingan gambar seseorang tanpa mendapatkan keizinan.
Sekitar bulan Mac 2026, tular apabila satu jenama kasut tempatan menghasilkan poster AI menggunakan gambar tiga orang tokoh Malaysia iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ketiga-tiga mereka dilihat menggayakan ‘street fashion’ dan memakai baju dengan nama jenama tersebut.
Hantaran itu bagaimanapun telah diturunkan dipercayai setelah menerima kritikan daripada orang ramai yang berkata syarikat tersebut mungkin boleh berdepan tindakan undang-undang serta seolah-olah tidak menghormati ketiga-tiga tokoh negara itu.
Namun setakat ini, tiada seorang pun daripada mereka bertiga yang telah memberi maklum balas terhadap kandungan pemasaran yang dihasilkan itu.
Situasi ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai sama ada kandungan generatif AI sedemikian yang menggunakan gambar wajah seseorang tanpa izin menyalahi undang-undang.
Tak Boleh Guna Gambar Wajah Tanpa Izin Untuk Promosi Atau Iklan
Secara umumnya, penggunakan imej seseorang untuk tujuan pemasaran tanpa mendapatkan persetujuan tuan punya badan terlebih dahulu sememangnya menyalahi undang-undang.
Menurut Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, perkara ini merupakan satu bentuk pencerobohan privasi dan boleh dianggap sebagai pelanggaran hak cipta serta hak individu. Mereka yang berdepan perkara ini mempunyai hak untuk menuntut pampasan, memohon injunksi untuk hentikan penggunaan tersebut serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
Memandangkan imej seseorang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), ini bermakna gambar mereka tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya. Namun akta ini hanya terpakai bagi transaksi komersial dan tidak melindungi imej mereka daripada digunakan individu lain.
Boleh Kena Tindakan Jika Gambar AI Dijana Bersifat Memalukan, Lucah
Jadi bagaimanapun pula dalam keadaan gambar AI dijana bukan bagi tujuan komersial? Jika perkara itu bersifat jelik ataupun memalukan seseorang, ia boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu kesalahan menggunakan perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang jelik, mengancam atau menyakitkan hati.
Ini termasuk gambar yang diubah menjadi tidak senonoh atau lucah dengan bantuan AI, dengan tindakan tegas akan diambil oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Seperti pada Januari lalu, kecoh apabila alat AI di platform X membenarkan gambar yang dimuat naik disunting menjadi lucah atau melampau.
“SKMM mengambil maklum dan memandang serius aduan awam berhubung penyalahgunaan alat AI di platform X dan menegaskan penghasilan atau penyebaran kandungan berkenaan adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
“Antaranya ia melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan yang berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang,” katanya dipetik Berita Harian.
Setakat ini, kes membabitkan penyuntingan gambar menggunakan AI bagi menghasilkan imej lucah disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Bagi kandungan deepfake pula, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata walaupun masih belum ada undang-undang khusus untuk mengawal selianya di dalam negara, namun kandungan berkaitan boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
RUU Tadbir Urus AI Sedang Dirangka, MOSTI Keluarkan Garis Panduan Dahulu
Buat masa ini, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khas bagi kesalahan menggunakan gambar wajah seseorang tanpa kebenaran yang disunting menggunakan AI. Namun Kementerian Digital kini sedang merangka Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi menangani ancaman teknologi AI termasuk manipulasi deepfake.
Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengeluarkan Garis Panduan Negara Tentang Tadbir Urus & Etika AI. Kami bagaimanapun mendapati ia tidak menggariskan larangan terhadap pengguna dalam menggunakan teknologi AI, sebaliknya hanya perkara yang boleh dilakukan oleh pengguna serta syarikat bagi memastikan keselamatan mereka.
Secara umumnya, kesalahan penyuntingan gambar menggunakan AI diambil tindakan bagi kes melibatkan imej lucah. Carian kami masih belum menemui sebarang tindakan yang dikenakan terhadap seseorang atau sebuah syarikat yang menggunakan gambar orang lain tanpa izin dalam suntingan AI untuk mempromosikan produk ataupun perkhidmatan mereka.
Selain itu, terdapat juga kes penggunaan wajah selebriti, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang disunting menggunakan AI bagi iklan palsu. Perkara ini boleh mewujudkan berita palsu bahawa seseorang yang terkemuka mengesahkan atau menyokong suatu produk, walhal tidak pernah menggunakannya.
Walaupun mungkin masih tidak jelas secara undang-undang, tetapi penggunaan wajah seseorang tanpa meminta izin terlebih dahulu perlu dilihat dari sudut pandang etika.



0
Komen