Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang RCI Tabung Haji

Artikel

Secara ringkasnya, siasatan yang dijalankan mendapati kedudukan kewangan Tabung Haji berada dalam keadaan bebanan hutang sewaktu hibah dan bonus kakitangan dengan kadar tinggi diagihkan.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 31/07/2026

Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan institusi utama di Malaysia yang bertanggungjawab dalam menguruskan jemaah bagi tujuan menunaikan haji.

Di samping itu, TH turut berfungsi mewujudkan instrumen simpanan dan pengurusan dana di mana pendeposit boleh melakukan simpanan dan pelaburan patuh syariah.

Pendeposit di TH juga menerima agihan keuntungan yang cukup memberangsangkan bagi sebuah instrumen simpanan berisiko rendah, dengan dividen 3.5% dicatatkan bagi tahun 2025. Hibah ini juga diberikan selepas potongan zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit.

Menerusi TH, pendeposit akan didaftarkan giliran haji secara automatik apabila baki mencapai jumlah minimum RM1,300.

 

Kerajaan Dedah RCI Lembaga Tabung Haji

Namun pada 29 Julai, kabinet kerajaan telah mengklasifikasikan semula (declassify) dan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan setebal kira-kira 200 muka surat itu kini telah dimuat naik di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan boleh diakses oleh orang ramai.

Sebagai info, RCI ini telah ditubuhkan pada tahun 15 Julai 2021 bagi menyiasat isu-isu berkaitan pengurusan operasi TH dalam tempoh itu, termasuk aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan-keputusan yang memberi kesan kepada kedudukan kewangannya.

Secara ringkasnya, siasatan yang dijalankan mendapati TH dalam tempoh terbabit telah membuat bayaran agihan keuntungan kepada pendeposit serta bonus kepada kakitangan dan ahli lembaga subsidiari pada jumlah yang tinggi walaupun kewangan institusi itu berada dalam keadaan bebanan hutang.

“LTH dalam mengira pengagihan keuntungan (hibah) seperti di atas tidak menggunakan nilai aset dan liabiliti seperti yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan. Sebaliknya LTH menggunakan Nilai Aset Yang Boleh Direalisasi dalam menentukan pematuhan kepada seksyen 22 Akta 535,” kata suruhanjaya itu.

Rosot nilai bagi TH pada mulanya hanya dibuat apabila nilai pasaran jatuh sebanyak 70% daripada kos pelaburan asal, sebelum diubah kepada 85% dan 90% dalam tempoh satu hari bagi tahun kewangan 2017.

Ketua Audit Negara ketika itu bagaimanapun berpandangan polisi rosot nilai ini tidak salah dengan pandangan bahawa Menteri yang memberi kelulusan tertakluk kepada kuasa di bawah Seksyen 11(b) Akta 240. Pandangan ini tidak dipersetujui pihak suruhanjaya.

Sumber: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji

 

Agihan Keuntungan TH Diberikan Terlalu Tinggi Hingga Riza Menyusut

Dalam mengulas isu agihan keuntungan (hibah), suruhanjaya mendapati kadar yang dibayar adalah lebih tinggi berbanding kadar deposit ditawarkan bank-bank Islam di dalam negara dan tidak selari dengan ciri-ciri deposit TH iaitu:

  • Pengeluaran dijamin oleh kerajaan Malaysia
  • Pelaburan hanya dibuat dalam aset-aset patuh syariah
  • Zakat yang berkenaan telah dibayar oleh TH
  • Sebahagian daripada keuntungan daripada pelaburan telah digunakan untuk memberi subsidi ke atas kos mengerjakan haji

Kadar keuntungan yang tinggi bagi tempoh 2014 hingga 2017 juga didapati telah menyebabkan rizab TH menyusut, seterusnya memberi kesan kepada kedudukan kewangan lembaga itu.

Sumber: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji

“Kadar yang tinggi ini juga telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi dan ini menyebabkan LTH tergelincir daripada matlamat asalnya,” ujar suruhanjaya tersebut.

Keadaan ini seterusnya membawa kepada amalan perakaunan yang kreatif (creative accounting) agar kadar keuntungan tinggi dapat terus diberikan. Ini menyebabkan kedudukan kewangan sebenar TH tidak dipaparkan dengan betul.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata amalan ini yang bertujuan untuk menyembunyikan kerugian kewangan boleh menjadi satu niat jenayah sekadar kelemahan pentadbiran semata-mata.

Ini kerana amalan itu dilakukan dengan sengaja dan bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa niat.

Dalam masa sama, suruhanjaya turut berpendapat bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) tidak tegas dalam mengaudit penyata kewangan TH. 

Ini kerana siasatan mendapati TH menerima Sijil Audit Bersih bagi penyata kewangan 2014 hingga 2017. RCI menegaskan bahawa sijil tersebut tidak sepatutnya diberikan bagi laporan audit tahun 2017 memandangkan terdapat perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ iaitu suatu ketidakpatuhan.

 

Kakitangan TH Terima Bonus Tinggi, Sehingga 13 Gaji Bulanan Pada 2014

Dalam masa sama, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa kakitangan TH menerima bonus tahunan yang tinggi antara 2010 hingga 2017, iaitu sekitar dua ke 13 kali gaji bulanan.

“Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan yang dihadapi oleh LTH bermula pada tahun 2014 hingga 2017 di mana nilai aset adalah lebih rendah daripada liabiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh JAN, ini membuktikan bahawa pemberian bonus dengan jumlah tinggi adalah tidak wajar,” katanya.

Peruntukan bonus yang paling tinggi diberikan adalah sebanyak RM74 juta pada tahun 2014, termasuk dua bulan Bonus Khas dan Bonus Prestasi Tahunan mencecah 11 bulan.

Namun suruhanjaya turut mengambil maklum bahawa pemberian bonus kakitangan bermula tahun kewangan 2018 telah dikawal mengikut kemampuan lembaga itu.

Memetik The Edge, suruhanjaya tersebut menjelaskan semakan kewangan yang dijalankan oleh PwC mendedahkan bahawa LTH telah pun berada dalam keadaan defisit apabila dua jumlah tertinggi bonus diberikan pada tahun 2014 dan 2015, serta beberapa tahun kebelakang.

Sumber: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji

 

Bonus Kepada Lembaga Pengarah TH Properties Menyalahi Peraturan

Bukan bonus terhadap kakitangan sahaja yang menjadi isu, suruhanjaya mendapati bahawa bonus juga telah dibayar kepada Lembaga Pengarah TH Properties Sdn. Bhd., dengan beberapa individu terpilih diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1.148 juta pada 2017 dan RM1.045 juta pada 2018.

Senarai penerima dan kadar bonus yang diagihkan pada kedua-dua tahun tersebut boleh dirujuk di muka surat 104 dan 105 laporan berkenaan.

Dalam pada itu, suruhanjaya bersetuju dengan pandangan Firma Guaman MD. Tajuddin & Co bahawa bayaran bonus pada tahun 2017 bagi Lembaga Pengarah TH Properties melanggar seksyen 230(2) dan 230(4) Akta Syarikat 2016 (Akta 777), manakala bagi tahun 2018 melanggar seksyen 230(33) akta sama.

“Dengan ini, Suruhanjaya mencadangkan supaya usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada mereka yang terlibat, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Laporan sama turut menyenaraikan empat orang anggota lembaga yang terlibat dengan anak-anak syarikat TH termasuk sebagai Pengerusi dan ALH. Malah terdapat juga pegawai di peringkat pengurusan tertinggi TH turut terlibat dalam pengurusan anak-anak syarikat lembaga itu. Kesemua nama individu terbabit boleh dirujuk pada muka surat 46 hingga 52 laporan.

 

Tabung Haji Lakukan 14 Pelaburan Yang Bawa Kerugian

Di samping isu pemberian hibah dan bonus yang tinggi, laporan oleh RCI turut menjelaskan mengenai pelaburan bermasalah yang dilakukan oleh TH.

Menurut The Edge, suruhanjaya itu telah mengesyorkan agar audit forensik dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah yang dilakukan oleh lembaga itu, iaitu:

  • PT TH Indo Plantations
  • Emrail Sdn Bhd
  • Wellspring Worldwide Ltd
  • Deru Semangat Sdn Bhd
  • Trurich Resources Sdn Bhd
  • Abraj Sdn Bhd
  • Putrajaya Perdana Bhd
  • Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd.
  • Alfareeda Residential Fund
  • TH Plantations Bhd
  • TH Properties Sdn Bhd
  • Alam Maritime Resources/ TH Marine
  • TH Hotel & Residences
  • FGV Holdings Bhd

RCI mendapati keputusan pelaburan dibuat menerusi penyelarasan yang lemah antara ketua pegawai pelaburan, ketua pegawai kewangan, ketua harta dan ketua perbendaharaan, tanpa penelitian bebas terhadap proposal pelaburan atau nasihat pihak ketiga yang bebas.

Malah, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, TH tidak mempunyai kepakaran institusi yang mencukupi untuk menguruskan portfolio pelaburan berisiko tinggi.

Beliau menegaskan bahawa lembaga itu ditubuhkan bukan sebagai institusi pengurusan pelaburan profesional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB), tetapi membuat keputusan itu bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

 

75% Syor RCI Telah Berjaya Dilaksanakan

Sehubungan itu, suruhanjaya turut menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75% daripadanya telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.

“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik,” jelas Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil.

Salah satunya adalah dengan memindahkan aset kurang berdaya saing TH kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang ditubuhkan pada 14 Disember 2018, sebagai solusi jangka panjang untuk mengatasi krisis kewangan lembaga tersebut.

“Ia supaya aset kurang berdaya saing TH diganti dengan instrumen yang dapat menjana pendapatan yang lebih stabil pada nilai premium bagi memastikan penutupan jurang defisit,” menurutnya.

Menurut laporan Berita Harian, aset TH bernilai RM19.9 bilion telah dipindahkan kepada UJSB ketika itu berbanding nilai pasaran RM9.7 bilion atau pada nilai premium sebanyak RM10.2 bilion kepada nilai pasaran.

Antara syor lain yang diberikan oleh RCI termasuk melarang ahli politik aktif daripada memegang jawatan sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga dan anak-anak syarikat TH. Suruhanjaya itu turut berpandangan agar kuasa Menteri terhadap penyeliaan dan pengurusan TH dibahagikan kepada dua individu, iaitu:

  • Menteri Hal Ehwal Agama – Mengekalkan perkara-perkara mengenai pengurusan haji
  • Menteri Kewangan – Dicadangkan bagi perkara berkaitan pengurusan kewangan, dana dan pelaburan

Namun pindaan terhadap Akta Tabung Haji (Akta 535) harus dibuat bagi perkara ini berkuatkuasa.

 

Mengapa Laporan RCI TH Tak Didedahkan Lebih Awal?

Dalam memahami isu kewangan TH ini, mungkin ada pihak yang mempersoalkan mengapakan laporan RCI berkenaan tidak didedahkan dengan lebih awal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, menjelaskan ini adalah bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji ketika institusi itu sedang melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula.

Sekiranya perkara ini didedahkan lebih awal, terdapat risiko berlakunya penarikan deposit dari lembaga tersebut (bank run), yang seterusnya akan mendedahkan TH kepada defisit kewangan yang lebih besar.

Laporan penuh RCI Lembaga Tabung Haji boleh diakses [DI SINI].

Rujukan:

  1. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji
  2. https://www.therakyatpost.com/news/2026/07/30/creative-accounting-could-indicate-criminal-intent-says-crime-analyst/
  3. https://theedgemalaysia.com/node/812538
  4. https://theedgemalaysia.com/node/812543
  5. https://www.therakyatpost.com/news/2026/07/30/tabung-haji-lacks-expertise-for-high-risk-investments-says-economist/
  6. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/07/1595311/laporan-rci-aset-th-dipindahkan-kepada-ujsb-bagi-atasi-krisis