Pada tahun 2026, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah ditetapkan pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan jatuh pada 1 Ogos.
Dalam masa sama, timbul juga ura-ura bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan menyusul tidak lama lagi.
Buat para pengundi, khususnya mereka yang pertama kali akan mengundi, di sini kami kongsikan langkah-langkah yang harus diambil bagi persediaan mengundi.
Sejak 15 Disember 2021, warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.
Namun, menjadi tanggungjawab pengundi untuk menyemak pendaftaran mereka bagi mengenal pasti lokaliti tempat mengundi, yang kebiasaannya akan mengikut alamat terkini pada Kad Pengenalan.
Semakan boleh dibuat menerusi laman web MySPR Semak [DI SINI] atau melalui perkhidmatan SMS dengan menghantar SPR SEMAK <NO. KAD PENGENALAN> ke 15888.

Jika anda ingin mengundi di tempat bermastautin atau tempat tinggal semasa, alamat perlulah ditukar pada MyKad terlebih dahulu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kemudian, lakukan permohonan pertukaran tempat mengundi menerusi Borang A (Pertukaran Bahagian Pilihan Raya) selepas log masuk ke laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
Apabila tarikh PRN atau PRU ditetapkan, pengundi akan dimaklumkan mengenai lokasi spesifik membuang undi yang selalunya diadakan di dewan awam atau institusi pendidikan kerajaan.
Lokasi spesifik ini juga boleh disemak menerusi laman web MySPR Semak [DI SINI] di bawah ‘Maklumat Pengundian’ yang merangkumi maklumat berikut:
Ingat ya, jika tiada sebarang pilihan raya yang dijalankan di negeri anda, maklumat ini tidak akan dipaparkan sama sekali.
Pastikan anda membawa dokumen pengenalan diri bersama, seperti MyKAD, pasport atau kad kuasa Jabatan Kerajaan. Jika tidak, anda tidak akan dibenarkan untuk mengundi.
Apabila tiba di pusat mengundi, maklumkan nombor saluran anda kepada pihak bertugas untuk mengetahui tempat atau bilik mengundi yang harus ditujui.
Anda juga amat disarankan untuk hadir mengikut masa keluar mengundi yang ditetapkan pada ‘Maklumat Pengundian’ untuk mengawal kesesakan di pusat mengundi.
Sebaik sahaja anda masuk ke bilik mengundi selepas dibenarkan oleh anggota polis bertugas, serahkan dokumen pengenalan diri kepada Kerani Pengundian Pertama. Anda akan diminta untuk menunjukkan kedua-dua tangan untuk diperiksa.
Kemudian, pastikan nombor kad pengenalan dan nama penuh anda yang dibaca oleh Kerani Pengundian Kedua adalah tepat.
Seterusnya, Kerani Pengundian Kedua akan meminta anda untuk mencelupkan jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya. Ini bertujuan sebagai bukti bahawa anda telahpun mengundi.
Kerani Pengundian Ketiga akan menyerahkan kertas undi kepada anda, sebelum perlu bergerak ke meja mengundi.
Ketika membuang undi, pastikan anda hanya menggunakan tanda ‘X’ pada SATU (1) ruang bersebelahan logo parti yang ingin diundi.
Sebarang tanda lain seperti tanda semak atau bulat, tulisan atau memilih lebih daripada satu (1) calon akan menyebabkan undi anda menjadi undi rosak dan akan ditolak apabila kiraan undi dibuat.

Lipat kertas undi tersebut dan masukkan ke dalam peti undi yang betul sama ada Peti Undi Parlimen atau Peti Undi Negeri.
Keluar dari tempat mengundi dengan segera bagi memberi laluan kepada pengundi lain dan melancarkan proses pengundian.
Buat mereka yang pertama kali mengundi, penting untuk tahu bahawa PRN yang diadakan di peringkat negeri adalah berbeza dengan PRU.
Secara ringkasnya, PRN dijalankan bagi melantik wakil rakyat peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri, manakala PRU pula bertujuan memilih wakil rakyat di peringkat persekutuan (Dewan Rakyat).
Oleh itu, tempoh PRN diadakan bagi satu negeri boleh jadi berbeza dengan negeri lain. Dalam masa sama, terdapat juga negeri-negeri yang mengadakan PRN pada masa sama dengan PRU.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Terdapat Sebarang Kebaikan Mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Berasingan?
Kebiasaannya terdapat dua ke tiga kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen yang sama, manakala kawasan Wilayah Persekutuan pula hanya mempunyai kerusi Parlimen dan tiada ADUN yang dilantik.
Seperti Ahli Parlimen, Ahli DUN (ADUN) juga bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang, namun hanya tertakluk bagi perkara-perkara yang tersenarai dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama, seperti hal ehwal tanah, pertanian, dan kebajikan sosial, bagi negeri masing-masing.
Sebaliknya, Wakil Dewan Rakyat atau Ahli Parlimen bertanggungjawab dalam penggubalan undang-undang di peringkat kebangsaan dan perlu bersidang di Parlimen.
Walaupun PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan lebih awal dan berasingan dengan PRU, namun tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa keputusan PRN boleh mengubah kerajaan di peringkat Persekutuan.
Kedua-dua PRU dan PRN perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali bagi setiap penggal, iaitu dalam tempoh masa lima tahun sekali.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Keputusan PRN Boleh Mengubah Kerajaan Persekutuan?
Sama ada bagi PRN mahupun PRU, rakyat Malaysia diingatkan agar memilih calon yang berkaliber dan memegang amanah yang diberikan, bukanlah berdasarkan kepada parti yang diwakili semata-mata.
Bagi peringkat kerajaan Persekutuan, orang ramai boleh menyemak secara ringkas berkenaan latar belakang dan pencapaian politik Ahli Parlimen sedia ada menerusi laman web MYMP.
Laman web ElectionData.MY pula menyediakan data keputusan undian, peratus keluar mengundi dan statistik mengundi bagi PRN dan PRU terdahulu.
Baca Artikel Berkaitan: Jumlah Pengundi Dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya Bagi Pilihan Raya Umum ke-15
Baca Artikel Berkaitan: Membandingkan Kumpulan Umur Pengundi Berdaftar Dan Ahli Parlimen PRU15