Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Minyak Pati Sebelum Amalkan Aromaterapi
Written by sharifahtrp — March 17, 2026

Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Minyak Pati Sebelum Amalkan Aromaterapi

Oleh : sharifahtrp

Diterbitkan : 3/17/26 - Disunting : 3/17/26

Keputusan:

Please complete the required fields.



Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah individu yang mengamalkan aromaterapi bagi tujuan kesihatan mental dan fizikal, iaitu dengan menggunakan minyak pati atau lebih dikenali sebagai ‘essential oil’ (EO). Antara minyak pati yang terkenal ialah lavender, pudina, pokok teh (tea tree), lemon, rosemary dan eucalyptus.

Sebagai info, minyak pati ini diekstrak daripada bahagian tumbuh-tumbuhan termasuk bunga, kulit kayu, daun atau buah untuk mendapatkan kompaun yang menghasilkan aroma.

Aromaterapi dipercayai dapat menguruskan beberapa masalah kesihatan termasuk sakit kepala, masalah kulit, masalah penghadaman, insomnia, tekanan dan keresahan. Namun menurut Hopkins Medicine, tiada kajian yang secukupnya dijalankan bagi menentukan keberkesanan aromaterapi terhadap kesihatan manusia.

 

Aromaterapi Didakwa Datangkan Mudarat Jika Diguna Secara Salah

Dalam masa sama, terdapat juga dakwaan bahawa aromaterapi boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan sekiranya minyak pati digunakan secara salah, seperti dimakan sebagai ubat, dititiskan di dalam nebulizer bagi rawatan asma, dititis di dalam air minuman dan sebagainya.

Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Che Puteh Osman berkata minyak pati hanya boleh digunakan sebagai ubat jika berdaftar sebagai ubat farmaseutikal, dan bukannya yang didaftar sebagai kosmetik.

 

View on Threads

 

 

Aromaterapi Tak Sesuai Digunakan Oleh Semua Orang

Berdasarkan laman web Poison Control National Capital Poison Center, ramai yang menganggap minyak pati tidak berbahaya kerana ia merupakan bahan semula jadi. Namun katanya, banyak minyak pati boleh menyebabkan keracunan jika diserap menerusi kulit atau ditelan, contohnya minyak pennyroyal yang beracun buat hati.

Medical News Today turut menyenaraikan potensi risiko penggunaan minyak pati bagi tujuan aromaterapi, antaranya:

  • Reaksi alahan, termasuk dermatitis kontak
  • Gangguan perut dan usus apabila ditelan
  • Kesukaran bernafas jika minyak pati dihidu
  • Kebakaran kimian jika minyak pati terkena mata
  • Minyak pati sitrus boleh membuatkan kulit lebih sensitif terhadap cahaya UV, meningkatkan risiko selaran matahari (sunburn)

Malah minyak pati juga dikatakan tidak sesuai digunakan oleh semua orang kerana terdapat bahan kimia yang mungkin boleh memburukkan lagi masalah kesihatan seseorang atau mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan yang diambil. Individu dengan masalah kesihatan berikut diingatkan agar berwaspada apabila mengamalkan aromaterapi:

  • Epilepsi atau sawan
  • Masalah pernafasan seperti asma atau penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD)
  • Tekanan darah tinggi
  • Kulit sensitif

Healthline turut menegaskan bahawa keselamatan minyak pati bergantung kepada beberapa faktor termasuk umur, keadaan kesihatan serta pengambilan ubat-ubatan.

 

Hidu Minyak Pati Boleh Ganggu Sistem Kardiovaskular

Memetik American Lung Association, minyak pati yang tidak dikawal selia bermakna tidak dapat dipastikan kualitinya termasuk kepekatan bahan kimia di dalamnya. Minyak pati yang sangat pekat dan kuat boleh membebaskan sebatian organik meruap (VOC) yang boleh memberi kesan buruk kepada sistem pernafasan jika dihidu.

Memetik kajian yang diterbitkan pada tahun 2022, peserta yang menghidu minyak pati sekurang-kurangnya satu jam setiap hari didapati mempunyai kadar jantung dan tekanan darah yang tinggi serta kadar fungsi paru-paru menurun.

Persatuan itu turut mengingatkan walaupun terdapat dakwaan minyak pati tertentu dapat mengurangkan keradangan dan simptom seperti lelah, sesak nafas dan sukar bernafas, namun kajian dijalankan ke atas individu yang sedia ada sihat dan bukan pesakit asma mahupun COPD.

 

Kajian Dapati EO Lavender & Tea Tree Tak Sebabkan Lebih Banyak Gangguan Hormon

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa penggunaan sesetengah minyak pati dapat mengakibatkan gangguan hormon terutamanya pada kanak-kanak.

Pun begitu, satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2021 mendapati kanak-kanak yang kerap terdedah kepada minyak pati lavender atau pokok teh mengalami risiko gangguan endokrin sama seperti mereka yang tidak terdedah kepada kedua-dua komponen ini. Kajian tersebut membuat kesimpulan bahawa minyak pati lavender dan pokok teh selamat digunakan di dalam produk penjagaan diri kanak-kanak.

Satu artikel jurnal lain menerangkan bahawa bahan kimia dalam minyak pati lavender dan pokok teh turut ditemui dalam beratus minyak pati lain. Oleh itu jika kedua-dua minyak pati itu dikatakan memberi kesan terhadap hormon, ini bermakna lain-lain minyak pati juga akan menyebabkan kesan sama dengan alasan mengandungi bahan kimia serupa.

Namun satu kajian yang dijalankan pada 2007 mendapati penggunaan minyak pati lavender dan pokok teh secara berterusan mungkin boleh menyebabkan pertumbuhan tisu payudara sebelum baligh dalam tiga kanak-kanak lelaki, keadaan yang dikenali sebagai prepubertal gynecomastia.

 

Penggunaan EO Untuk Bayi & Kanak-Kanak

Di samping itu, minyak pati juga dikatakan berbahaya bagi bayi dan kanak-kanak kerana kulit mereka yang lebih nipis serta hati dan sistem imun yang belum berkembang sepenuhnya, membuatkan mereka lebih terdedah kepada potensi keracunan. Healthline menegaskan agar orang ramai mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan minyak pati ke atas atau berhampiran si kecil.

Sesetengah minyak pati boleh digunakan setelah kanak-kanak mencecah usia dua tahun, tetapi pada kepekatan yang kurang berbanding dewasa, iaitu sekitar 0.5% ke 2.5%. Namun terdapat juga minyak pati yang hanya boleh digunakan apabila kanak-kanak lebih berusia seperti pudina pada usia enam tahun, dan eucalyptus pada usia 10 tahun.

Dalam masa sama, kanak-kanak tidak boleh memakan atau menelan minyak pati sama sekali. Oleh itu, simpan minyak pati di tempat yang selamat dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

 

Gunakan Minyak Pati Dengan Betul Untuk Elak Kesan Sampingan

Jika seseorang mahu menggunakan minyak pati dalam amalan aromaterapi, penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berdepan kesan sampingan daripada penggunaannya. Ini termasuklah:

  • Mencairkan kepekatan minyak pati dengan mencampurnya bersama carrier oil
  • Tidak memakan minyak pati yang tidak dilabel sebagai ‘food grade’
  • Melakukan ‘patch test’ dahulu untuk kenal pasti sebarang reaksi kulit
  • Elakkan pendedahan kepada matahari selepas menggunakan jenis minyak pati tertentu
  • Beli minyak pati berkualiti
  • Jangan gunakan minyak pati secara berlebihan
  • Elakkan penggunaan minyak pati berhampiran mata, telinga dan hidung

Namun, kesan penggunaan minyak pati dalam amalan aromaterapi mungkin berbeza terhadap lain-lain individu. Lebih elok sekiranya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan aromaterapi, terutamanya buat pengguna yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.


Rujukan:

0

Komen